SDI 1493: Bolehkah Orang Islam Makan Produk Makanan Yang Ada Logo Kosher Iaitu Halal Yahudi?

 

Waalaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh soalan yang bertanya: Bolehkah orang Islam makan produk makanan yang ada logo kosher iaitu halal Yahudi?

Jawapan:

Wallahu ta'ala a'lam. Asalnya makanan orang ahli kitab dihalalkan untuk orang Islam: وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حِلٌّ لَّكُمْ  dalam ayat al-Quran, yang bermaksud: “makanan orang-orang yang dikurniakan kitab kepada mereka adalah halal untuk kamu semua orang Islam.”

Jadi kerana itu saya kata; asal hukum makanan ahli kitab adalah halal untuk orang Islam berdasarkan firman Allah di dalam al-Quran. Cumanya, jika kita dapat tahu sesuatu makanan yang dicop halal Yahudi itu melakukan perkara-perkara yang ditegah dalam penyembelihan Islam. Sebagai contoh katakan ada Yahudi itu, mereka sembelih atas nama Uzair sebagai contoh, kerana kita kena tahu, di kalangan Yahudi juga ada yang beranggapan Uzair itu adalah anak Allah, sepertimana Allah subhanahu wa ta'ala berfirman dalam al-Quran: وَقَالَتِ الْيَهُودُ عُزَيْرٌ ابْنُ اللَّهِ  maksudnya: “dan berkata Orang Yahudi itu, Uzair itu adalah anak Allah.”

Maka jika mereka sembelih sesuatu haiwan sembelihan dengan nama Uzair ataupun dengan niat mendekatkan diri kepada Uzair, maka sembelihan itu termasuk dalam sembelihan yang haram, sekalipun yang sembelih itu orang Yahudi, sama seperti seorang yang mengaku muslim sembelih atas nama Wali, atas nama nabi, atas nama penghuni kubur dan seumpamanya. Sembelihan-sembelihan seperti ini termasuk dalam sembelihan yang haram.

Namun pada asasnya, kalau kita hanya tahu sembelihan itu adalah sembelihan ahli kitab Yahudi, maka hukum asalnya adalah harus kita memakannya selagi kita tidak mengetahui ada perkara-perkara yang mengubah hukum halal kepada haram.


Cetak  
Wallahu a'lam