SDI 0650: Hukum Wanita Bekerja Membuka Salon Kecantikan

Soalan:
Apakah hukum seorang wanita muslimah membuka kedai salon kecantikan? Apakah dibenarkan atau dilarang. Terima kasih.

Jawapan:

Harus hukumnya seorang wanita membuka salon kecantikan dengan syarat bebas dari perkara-perkara yang haram seperti mengubah ciptaan Allah dan mencabut bulu kening. Dalam masa yang sama perlu diperingatkan bahawa keelokan dalaman adalah yang lebih diutamakan di dalam Islam. Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “dan pakaian takwa Itulah yang paling baik.” (al-A’raf: 26)

Di mana di awal ayat ini Allah berfirman:

Maksudnya: “Hai anak Adam, Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan…” (al-A’raf: 26)

Ayat ini berbicara persoalan berhias dan bercantik secara umum termasuk di dalamnya menghias dan mencantikkan orang lain. Allah SWT juga berfirman:

Maksudnya: “Katakanlah: "Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan (siapakah pula yang mengharamkan) rezeki yang baik?" Katakanlah: "Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus pula (untuk mereka saja) di hari kiamat." Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang mengetahui.” (al-A’raf: 32)

Ketika seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana dengan seorang lelaki yang suka pakaian dan kasutnya elok.” Baginda bersabda:

إن الله جميل يحب الجمال

Maksudnya: “Sesunguhnya Allah itu elok, dan Dia suka kepada keelokan.”

Dr. Khalid al-Muslih, pensyarah bidang Fekah di Universiti al-Qasim menyebut, semua dalil-dalil ini menunjukkan kecantikan, kekemasan dan keelokan itu adalah suatu yang disukai oleh Allah SWT. Justeru membuka salon kecantikan asal hukumnya adalah harus.

Sekalipun demikian, tidak dinafikan sememangnya terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama dalam persoalan ini. Imam Ahmad berpandangan makruh menerima hasil kerja sebagai tukang sikat. Demikian juga terdapat ulama yang menukilkan dari al-Hasan yang berpandangan haram melakukan kerja-kerja kecantikan ini dengan hujah pada kebiasaannya ia tidak terlepas dari melakukan perkara-perkara yang haram atau melakukan perubahan kepada ciptaan Allah. Beliau seterusnya berkata: “Namun yang zahir bagi saya adalah harus perkara ini selama mana dia tidak melakukan perkara haram seperti mencabut bulu kening atau apa-apa yang dilarang oleh Allah dan Rasulullah.”


Cetak  
Wallahu a'lam