Mengenali Sunan al-Tirmizi (2): Kelahiran Dan Kewafatan al-Tirmizi

Beliau ialah Muhammad bin ‘Isa bin Saurah bin Musa bin al-Dhahhak, Abu ‘Isa al-Sulami al-Bughi al-Tirmizi (محمد بن عسى بن سورة بن موسى بن الضحاك، أبو عيسى السلمي البوغي الترمذي).

Beliau masyhur dengan kuniah Abu ‘Isa dan beliau sendiri membahasakan dirinya dengan kuniah ini di dalam kitabnya al-Jami’. Kuniah Abu ‘Isa tidak disukai oleh sebahagian ulama kerana terdapat riwayat dari Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya:

أن رجلا اكتنى بأبي عيسى، فقال النبي صلى الله عليه وسلم: "إن عيسى لا أب له

Maksudnya:  “Bahawa seorang lelaki berkuniah dengan Abu ‘Isa. Lalu Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya (nabi) ‘Isa tidak memiliki bapa.”[1]

‘Ali al-Qari menyatakan, difahami dari tidak sukanya ulama dengan kuniah Abu ‘Isa jika ia menjadi pilihan. Adapun jika sesiapa yang telah masyhur dengan gelaran tersebut, maka tidak dimakruhkan seperti yang telah disepakati oleh para ulama menggelarkan al-Tirmizi dengan nama Abu ‘Isa.

Sekalipun demikian beliau lebih terkenal dengan nama al-Tirmizi dinisbahkan kepada bandar Tirmiz ترمذ tempat beliau dibesarkan. al-Sam‘ani  السمعاني menyatakan orang tempatan menyebut dengan sebutan Tarmiz (fathah huruf “ta” dan kasrah huruf “mim”), akan tetapi yang masyhur dengan Tirmiz (dikasrahkan huruf “ta” dan “mim”) seperti yang dinyatakan oleh al-Zahabi.

Ahli sejarah tidak menjelaskan tahun kelahiran al-Tirmizi. Cumanya al-Zahabi di dalam Siyar A’lam al-Nubala menyebut beliau dilahirkan di pembatasan tahun 210H. Salah al-Din Khalil bin Aibak al-Safadi (صلاح الدين خليل بن أيبك الصفدي) meninggal tahun 764H di dalam Nakt al-Hamyan Fi Nakt al-‘Amyan (نكث الهميان في نكت العميان) menyebut al-Tirmizi dilahirkan antara 203-210H (سنة بضع ومائتين). Dalam masa yang sama kebanyakan ahli sejarah sepakat al-Imam al-Tirmizi meninggal dunia pada tahun 279H. al-Zahabi di dalam Mizan al-I’tidal menyatakan: “al-Tirmizi dari kalangan mereka yang berusia 70 tahun.” Hal ini menunjukkan kemungkinan besar al-Tirmizi dilahirkan pada tahun 209H.

-------------------------------

 [1] Hadis ini Mursal dengan sanad yang Hasan. Kata al-‘Iraqi di dalam Takhrijnya kepada hadis-hadis Ihya’ ‘Ulum al-Din: “Diriwayatkan oleh Abu ‘Umar al-Nawqani (أبو عمر النوقاني) di dalam kitab Mu‘asyarah al-Ahlin معاشرة الأهلين dari hadis Ibn ‘Umar dengan sanad yang daif. (Lihat nota kaki oleh Muhammad ‘Awwamah kepada al-Musannaf Li Ibn Abi Syaibah (159-235H), jilid 13/570, cetakan pertama 1327H/2006M, Dar Qurtabah, Beirut Lebanon)

Abu Daud pula di dalam Sunannya meriwayatkan daripada Zaid bin Aslam daripada bapanya (iaitulah Aslam al-Habasyi yang merupakan maula ‘Umar bin al-Khattab)  yang berkata:

أن عمر بن الخطاب ضرب ابنا له تَكَنَّى أبا عيسى، وأن المغيرة بن شعبة تَكَنَّى بأبي عيسى، فقال له عمر: "أما يكفيك أن تُكَنَّى بأبي عبد الله، فقال: إن رسول الله صلى الله عليه وسلم كَنَّاني، فقال: إن رسول الله صلى الله عليه وسلم: قد غفر له ما تقدم من ذنبه وما تأخر وأنا في جَلْجَتِنا، فلم يزل يُكْنَى بأبي عبد الله حتى هلك

Maksudnya:  “Bahawa ‘Umar bin al-Khattab pernah memukul anak lelakinya yang berkuniah Abu ‘Isa. Dan al-Mughirah bin SYu’bah juga berkuniah dengan Abu Isa. Lalu ‘Umar berkata kepadanya: “Tidakkah cukup kamu berkuniah dengan Abu ‘Abdillah? Jawab al-Mughirah: “Sesungguhnya Rasulullah SAW yang memberikan kuniah Abu Isa ini kepadaku.” Kata ‘Umar bin al-Khattab RA: “Sesungguhnya baginda telah diampunkan dosanya yang dahulu mahupun yang kemudian. Adapun aku, sama seperti orang lain, tidak diketahui bagaimana kesudahan kita.” Kata Aslam: “Setelah itu, sentiasalah al-Mughirah dipanggil dengan kuniah Abu ‘Abdillah sehinggalah dia meninggal dunia.” (al-‘Iraqi menilai riwayat ini sebagai “Isnadnya Sahih” 1/494)


Cetak  
Wallahu a'lam