SIFAT FIZIKAL RASULULLAH SAW
Hadis 1: Daripada Anas bin Malik RA katanya:
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ ، أَنَّهُ سَمِعَهُ , يَقُولُ : " كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ , لَيْسَ بِالطَّوِيلِ الْبَائِنِ ، وَلَا بِالْقَصِيرِ ، وَلَا بِالأَبْيَضِ الأَمْهَقِ ، وَلَا بِالآدَمِ ، وَلَا بِالْجَعْدِ الْقَطَطِ ، وَلَا بِالسَّبْطِ ، بَعَثَهُ اللَّهُ تَعَالَى عَلَى رَأْسِ أَرْبَعِينَ سَنَةً ، فَأَقَامَ بِمَكَّةَ عَشْرَ سِنِينَ ، وَبِالْمَدِينَةِ عَشْرَ سِنِينَ ، وَتَوَفَّاهُ اللَّهُ تَعَالَى عَلَى رَأْسِ سِتِّينَ سَنَةً ، وَلَيْسَ فِي رَأْسِهِ وَلِحْيَتِهِ عِشْرُونَ شَعْرَةً بَيْضَاءَ
Maksudnya: “Rasulullah SAW bukanlah seorang yang terlalu tinggi, bukan juga seorang yang rendah, bukan juga seorang yang terlalu putih. Bukan juga seorang yang berambut kerinting, bukan juga seorang yang berambut terlalu lurus. Allah melantik baginda menjadi rasul ketika baginda berumur 40 tahun. Baginda menetap di Mekah selama 10 tahun (sebagai Rasul) dan di Madinah selama 10 tahun. Allah mewafatkan baginda ketika penghujung umur baginda 60 tahun, (Ketika itu) uban di kepala dan janggut baginda tidak sampai 20 helai.” (HR al-Bukhari dan Muslim. Demikian juga al-Tirmizi di dalam kitab Jami’ beliau, 3623)
Maksud Ungkapan dan Perkataan:
لَيْسَ بِالطَّوِيلِ الْبَائِنِ ، وَلَا بِالْقَصِيرِ ayat ini menjelaskan tentang ketinggian baginda, iaitulah pertengahan antara الطَّوِيلِ الْبَائِنِ iaitulah terlalu tinggi dan الْقَصِيرِ iaitulah rendah. Namun baginda lebih hampir kepada tinggi berbanding rendah seperti yang dijelaskan di dalam sebahagian riwayat yang lain, seperti yang terdapat di dalam al-Adab al-Mufrad 1155. Di dalam Musnad oleh al-Bazzar 7789, Hadis daripada Abu Hurairah RA. Kerana itu Anas bin Malik RA mensifatkan baginda sebagai: “Baginda bukanlah seorang yang terlalu tinggi dan beliau tidak menyebut sifat lawan dengan terlalu rendah.
Kalimah الْبَائِنِ dikatakan dari بَانَ – يَبِيْنُ – بَيَانًا iaitulah apabila terzahir. Dikatakan juga ia dari بَانَ – يَبُونُ - بَوْنًا iaitulah apabila menjauh. Kalimah ini bermaksud ketinggian baginda tidak mengeluarkan baginda dari had ketinggian yang pertengahan dan sempurna.
Manakala ungkapan وَلَا بِالأَبْيَضِ الأَمْهَقِ ، وَلَا بِالآدَمِ pula menjelaskan keadaan warna kulit baginda. Orang Arab bila mereka menyebut أبيض أمهق ialah apabila putihnya dalam bentuk keputihan yang suci dan tidak bercampur dengan warna kesamaran mahupun kemerahan dan selainnya. Manakala الآدَمِ ialah warna kelabu (warna diantara putih dan hitam). Ia bermaksud baginda tidaklah bersangatan putih, kulit baginda tidak juga bewarna kelabu. Sebaliknya kulit baginda adalah seperti yang dijelaskan di dalam sebahagian hadis yang lain iaitulah بَيَاضٌ مُشْرَبٌ بِحُمْرَة.
Manakala ungkapan وَلَا بِالْجَعْدِ الْقَطَطِ ، وَلَا بِالسَّبْطِ menjelaskan sifat rambut baginda, iaitulah pertengahan diantara amat kerinting dan lurus.
Ungkapan بَعَثَهُ اللَّهُ تَعَالَى عَلَى رَأْسِ أَرْبَعِينَ سَنَةً bermaksud baginda diangkat menjadi nabi setelah umur baginda mencecah 40 tahun.
Ungkapan فَأَقَامَ بِمَكَّةَ عَشْرَ سِنِينَ bermaksud baginda menetap di Mekah setelah diangkat menjadi Nabi. Dalam sebahagian riwayat dinyatakan baginda menetap di Mekah setelah diangkat menjadi Nabi selama 13 tahun. Setelah sempurna tempoh menjadi Nabi selama 13 tahun ini, baginda berhijrah ke Madinah. Riwayat yang menyatakan baginda tinggal di Mekah selama 10 tahun dapat difahami ia dikira bermula baginda menzahirkan dakwah, kerana setelah diangkat menjadi Nabi, baginda menyembunyi atau berdakwah secara rahsia selama 3 tahun (Lihat Sifah al-Sofwah oleh Ibn al-Jauzi 1/116), iaitulah setelah turunnya surah al-Muddatthir yang di dalamnya terdapat arahan untuk menzahirkan dakwah.
Ungkapan وَبِالْمَدِينَةِ عَشْرَ سِنِينَ bermaksud baginda menetap di Madinah setelah berhijrah ke sana selama 10 tahun.
Ungkapan وَتَوَفَّاهُ اللَّهُ تَعَالَى عَلَى رَأْسِ سِتِّينَ سَنَةً bermaksud: Allah “mewafatkan baginda ketika penghujung umur baginda 60 tahun.” Dan riwayat yang lebih masyhur, thabit dan lebih sahih ialah Allah SWT mewafatkan baginda ketika baginda berumur 63 tahun. Riwayat yang menyatakan baginda wafat ketika berumur 60 tahun boleh juga difahami periwayat hadis menyatakannya dalam bentuk menggundarkan kepada bilangan puluh yang paling hampir (إلغاء الكسر), justeru 63 lebih hampir kepada 60.
Ungkapan وَلَيْسَ فِي رَأْسِهِ وَلِحْيَتِهِ عِشْرُونَ شَعْرَةً بَيْضَاءَ menunjukkan ketika baginda wafat, uban yang ada di kepala dan janggut baginda amat sedikit, tidak lebih dari 20 helai.