Abdullah bin Mas'ud RA

 

وعن عبدالله رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ((لِيَلِنِي مِنكم أولو الأحلام والنهي، ثم الذين يلونهم - ثلاثًا –

Maksudnya: “Daripada ‘Abdillah RA katanya: “Sabda Nabi SAW: hendaklah mengiringiku/berhampiran denganku (di dalam solat berjemaah), mereka yang dewasa dan berakal. Setelah itu orang yang berikutnya dan yang berikutnya. dan yang berikutnya”

Dalam teks asal Bahr al-Mazi hanya disebutkan ‘Abbdullah, Abdullah ni siapa? Abdullah yang dimaksudkan di sini ialah Abdullah bin Mas'ud RA.

Sahabat Nabi ni ramai di kalangan mereka yang bernama ‘Abdullah. Yang masyhurnya Abdullah bin Mas‘ud, Abdullah bin ‘Abbas, ‘Abdullah bin ‘Umar bin al-Khattab, ‘Abdullah bin Zubair. Empat orang ni, walaupun masih ada ramai lagi Abdullah dari kalangan sahabat Nabi, tapi empat orang ni termasuk dalam kalangan yang disebut sebagai العبادلة الأربعة iaitulah empat orang Abdullah (berdasarkan salah satu pandangan ulama), kerana mereka ini banyak menyampaikan ilmu, sehingga jika berlaku perbezaan pendapat di kalangan orang Islam, mereka akan tanya; “apa pandangan Abdullah bin Mas’ud, apa pandangan Abdullah bin ‘Abbas, apa pandangan Abdullah bin ‘Umar, apa pandangan Abdullah bin Zubair?” Orang Islam nak tahu pandangan sahabat Nabi ini.

Apabila mereka berempat ini bersepakat, maka umat Islam akan berkata: هذا قول العبادلة الأربعة inilah pandangan empat orang sahabat Nabi yang bernama Abdullah, inilah mazhab empat orang Abdullah, inilah fatwa yang dikeluarkan oleh empat orang Abdullah.

Jadi bila mereka mengeluarkan satu pandangan, kuatlah pandangan itu, kerana keempat-empat mereka adalah anak murid Nabi SAW dan dari kalangan orang yang banyak menghafal hadis-hadis Nabi SAW.

Jadi pada malam ini syeikh Idris perkenalkan kepada kita satu hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud.

Sedikit lagi tentang Abdullah bin Mas‘ud, beliau adalah seorang sahabat yang awal masuk Islam. Sehingga di dalam riwayat dinyatakan oleh dia sendiri, dia adalah orang yang keenam memeluk Islam. Tak ada lagi orang Islam selain dari kami berenam. Awal dia masuk Islam.

Abdullah bin Mas‘ud ni, شديد الأدمة, iaitu berkulit gelap, bersangatan gelap. Orang kita sebut hitam lah, berkulit hitam dan orangnya نحيف kecil atau kurus, dua kakinya juga sangat kecil kerana saiz orangnya pun kecil. Tetapi, walaupun kecil, hebat orangnya.

Satu hari dia memanjat pokok, sahabat tengak dia naik pokok, tiba-tiba angin datang dan tiup kainnya sehingga menampakkan betisnya, menyebabkan semua sahabat gelak kerana melihat betisnya yang kecil. Bila Rasulullah SAW nampak para sahabat ketawa, baginda bertanya: ما يضحكون apa yang menyebabkan kamu semua ketawa? Apakah disebabkan kaki Abbdullah bin Mas’ud?” Jawab para sahabat: “Ya wahai Rasulullah.” Jawab Baginda SAW:

لرجل عبد الله مسعود أثقل في الميزان من أحد

Maksudnya: “Sungguh! kaki Abdullah bin Mas‘ud di atas mizan (timbangan) di akhirat kelak lebih berat pahalanya berbanding bukit Uhud.”

Kaki dia sahaja lebih berat pahalanya berbanding bukit Uhud. Kata sebahagian ulama, hadis ini menunjukkan di akhirat kelak, ada di kalangan umat Islam yang dia sendiri akan ditimbang di atas mizan. Bukan setakat buku cacatan amalannya, dia sendiri yang duduk di atas penimbang. Berdasarkan perkataan Nabi menerangkan besarnya pahala khidmat yang telah dilakukan oleh kaki Abdullah bin Mas‘ud untuk agama Islam.    

Tak pelik tuan-tuan, kerana Abdullah bin Mas'ud walaupun kecil orangnya. Tetapi dialah orang pertama yang memperdengarkan ayat al-Quran kepada orang musyrikin Mekah, ketika para sahabat berbincang, bersembang tentang tekanan yang mereka terima daripada orang-orang Quraisy. Lalu sebahagian mereka berkata, barangkali orang-orang Quraisy tidak menerima dakwah kerana mereka tidak pernah mendengar ayat al-Quran. Namun persoalannya siapa yang nak baca ayat al-Quran kepada orang-orang Quraisy?  Itu isunya. Lalu bila timbul persoalan itu, Abdullah bin Mas'ud yang kecil ini berkata: “Aku yang akan memperdengarkan ayat al-Quran kepada mereka.” Para sahabat bila tengak Abdullah bin Masud bersungguh, mereka berkata: “Kami bukan maksudkan engkau wahai Abdullah. Kami maksudkan orang lain, iaitulah orang yang memiliki keluarga yang besar sehingga orang Quraisy tak berani bertindak ke atas dia. Adapun kamu, orang Quraisy akan kenakan tindakan ke atas kamu.” Lalu kata Abdullah bin Masud: “Aku ada Allah SWT.” Lalu dia keluar menuju ke Kaabah dan dia pergi ke tempat yang tinggi sedikit, dengan suara yang kuat, dia membaca surah al-Rahman: الرحمن، علم القرآن، خلق الإنسان، علمه البيان sehinagga ke seterunya. Bla dia baca surah al-Rahman, tuan-tuan sekalian, orang-orang Quraisy ramai-ramai pergi kepadanya dan memukulnya sehingga pitam. Dialah orang pertama yang memperdengarkan ayat al-Quran kepada orang-orang Quraisy.

Selepas peristiwa itu, para sahabat halang beliau dari terus melakukan perkara yang sama berikutnya.

Antara kelebihan Abdullah bin Masud RA lagi, iaitulah dia sendiri pernah berakta

والله الذي لا إله إلا غيره، ما أنزلت سورة من كتاب الله إلا أنا أعلم في ما أنزلت، ولو أعلم أحدا أعلم مني بكتاب الله تبلغه الإبل لأتيته

Maksudnya: “Demi Allah yang tiada tuhan yang berhak disembah selain-Nya. Tidak diturunkan satu surah dari al-Quran melainkan akulah orang yang lebih mengetahui tentang apa surah itu diturunkan. Jika aku mendapat tahu ada seseorang yang lebih mengetahui berbanding aku dengan sesuatu dari al-Quran, yang dapat sampai kepadanya dengan menaiki unta, pasti aku akan mendatanginya (untuk berlajar daripadanya).”

Beliau juga berkata:

والله لقد أخذت من فيه رسول الله صلى الله عليه وسلم بضعا وسبعين سورة

Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku telah mengambil dari mulut Rasulullah SAW sebanyak 70 lebih dari surah al-Quran.” Al-Quran ada 114 surah, lebih 70 surah al-Quran, Ibn Masud ambil dan dengar sendiri dari mulut Rasulullah SAW. Kemudian kata dia:

والله، لقد علم أصحاب النبي صلى الله عليه وسلم أني من أعلمهم بكتاب الله، وما أنا بخيرهم

Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya semua sahabat Nabi tahu, bahawa aku adalah orang yang lebih mengetahui tentang al-Quran. Namun aku bukanlah orang yang lebih dari kalangan mereka.” Dia rendah diri. Tapi nak habaq kata, dalam bab al-Quran, akulah orang yang paling reti dan paling tahu tentang ayat al-Quran.

Kerana itu sahabat amat memuji Abdullah bin Mas'ud sehinggakan tuan-tuan, al-Imam al-Bukhari meriwayatkan di dalam kitab Sahih beliau daripada hadis Abdul Rahman bin Yazid RA yang berkata:

سألنا حذيفة عن رجل قريب السمت والهدي من النبي صلى الله عليه وسلم حتى نأخذ منه

Maksudnya: “Kami bertanya kepada Huzaifah, iaitulah Huzaifah bin al-Haman, siapakah lelaki yang paling hampir dengan caranya, pergerakannya dengan Nabi SAW? Sehingga kami dapat mencontohinya.”

Tuan-tuan kita juga sepatutnya begitu. Dalam hati kita perlu ada satu keingininan, iaitulah kita nak beramal ikut Nabi SAW, sekalipun tak boleh nak tepat disebabkan kita terlalu jauh dari Rasulullah SAW. Tetapi kita berusaha menghampiri yang tepat. Kerana dalam bab fekah, dalam bab amalan ni, perbezaan pendapat ulama tu banyak. Jadi untuk kita kata secara pasti tepat dalam setiap perkara kita tepat dengan Rasulullah, adalah sukar. Melainkan kita hanya dapat kata, berdasarkan usaha kami yang kami dapat kata, yang lebih hampir kepada maksud Nabi, inilah. Kita boleh nyatakan begitulah. Jadi yang penting kita berusaha ke arah itu, berusaha ke arah menghampiri apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Jadi bila Abdul Rahman bin Yazid bertanya kepada Huzaifah, siapa sahabat yang paling menghampiri tindakan Nabi, ibadah Nabi SAW, kata Huzaifah:

ما أعرف أحدا أقرب سمتا ولا هديا ولا دالا بالنبي صلى الله عليه سلم من ابن أم عبد

 Maksudnya: “Tidak aku ketahui seseorang yang lebih hampir dengan cara, petunjuk Nabi SAW melainkan Ibn Ummi Abdin, iaitulah Abdullah bin Masud RA.”

Ini kelebihan Abdullah bin Masud.

Abdullah bin Masud juga tuan-tuan, termasuk dari kalangan sahabat yang Nabi SAW suka suruh dia baca al-Quran untuk baginda dengar. Sehinggakan Nabi SAW pernah bersabda:

خذوا القرآن من أربعة

Maksudnya: “Ambil bacaan al-Quran dari empat orang.” Siapa mereka itu? Iaitulah:

من ابن أم عبد ومعاذ بن جبل وأبي بن كعب و سالم مولى أبي حذيفة

Nabi sebut Ibn Ummi Abdin iaitulah Abdullah bin Masud dahulu. Nabi kata: “Ambil bacaan al-Quran dari empat orang. Pertama Abdullah bin Masud (Ibn Ummi 'Abdin), kedua Muaz bin Jabal, ketiga Ubai bin Kaab dan keempat Salim, Maula Abi Huzaifah.”

Hebat Abdullah bin Mas'ud RA dan macamana dia boleh masuk Islam? sepatutnya cerita ini di awal tadi.

Abdullah bin Mas'ud ni satu hari dia mengembala kambing milik seorang musyrik di Mekah. Sedang dia mengembala kambing itu datang Rasulullah SAW dengan Abu Bakar. Lalu Abu Bakar berkata: يا غليم wahai budak. Waktu tu dia budak lagi, kerana waktu itu Rasulullah dan Abu Bakar amat dahaga. Abu Bakar kata: “Kamu ada susu?” Jawab Abdullah bin Masud: “Ada, ولكني غلام مؤتمن ada, akan tetapi aku ni orang yang diberi amanah.’ Susu ada tetapi bukan aku punya.

Barangkali ini antara sebab Allah Taala utus Nabi SAW dari bangsa Arab Quraisy. Walaupun Arab Quraisy ini mereka penyembah berhala. Tetapi banyak unsur-unsur murni yang ada dalam masyarakat mereka. Cuba bayangkan, hanya seorang budak, tetapi dia reti bersikap amanah. Sejak dari kecil mereka diajar amanah. Bahkan mereka termasuk dari kalangan orang yang menjaga tutur-kata.

Tuan-tuan baca kisah Abu Sufian keitka musyrik. Ketika dia pergi ke Rom. Ketika mana maharaja Rom, Herucles panggil dia, sebab surat Rasulullah sampai kepada Herusles. Lalu maharaja Rom panggil Abu Sufian kerana Abu Sufian pergi ke Rom untuk berniaga. Maharaja Rom perintahkan rombongan Abu Sufian berada di belakang Abu Sufian. Bila maharaja Rom tanya kepada Abu Sufian, kalau dia berbohong, bagitahu isyarat yang dia berbohong. Supaya Abu Sufian tak tahu siapa yang bagitahu yang dia berbohong.

Dalam riwayat hadis sebut, saya dengar syarah hadis ini dari al-Syeikh Dr. Abdul Karim Khudair, panjang syarah hadis ini, saya ingat berpuluh siri dia mensyarahkan hadis ini satu persatu. Tapi yang penting, Abu Sufian bagitahu dalam hadis Bukhari: “Kalaulah tidak disebabkan aku malu orang Quraisy akan berkata: “Abu Sufian ini, pemimpin kita bercakap bohong. Pasti aku akan berbohong.”

Tuan-tuan Abu Sufian, ketika seorang musyrik, malu jika pengikut mengatakan dia sebagai ketua pernah berbohong dan seorang penipu. Lalu dia tidak bercakap bohong di hadapan maharaja Rom. Setiap soalan yang ditanya oleh maharaja Rom, dijawab satu-persatu oleh Abu Sufian dengan jawapan yang betul tanpa bohong. Sedangkan ketika itu Abu Sufian bermusuh dengan Rasulullah SAW. semua soalan dijawab dengan betul. Ini antara unsur-unsur mulia yang ada dalam masyarakat Quraisy. Kata para ulama, barangkali disebabkan itu Allah memilih rasul yang terakhir itu dibangkitkan dalam kalangan mereka.

Saya juga telah beritahu kepda tuan-tuan bagaimana wanita Quraisy, penyembah berhala tidak sanggup mengeluarkan perkataan-perkataan lucah. Menunjukkan mereka ini masyarakat yang mulia.

Kita tak nafikan ada cerita mereka tanam anak hidup-hidup. Itu perbuatan sekumpulan dari kalangan Arab. Tetapi Arab Quraisy itu sendiri, satu bangsa yang menjaga maruah dan memiliki kehebatan yang tersendiri.

Jadi Abdullah bin Masud kata, aku ada susu, akan tetapi susu itu bukan aku punya, sebaliknya aku ini budak yang diberi amanah. Lalu kata Nabi SAW, jika begitu bawakan kepada aku seekor kambing betina yang masih belum bunting, sudah tentu belum ada susu. Lalu Ibn Masud bawakan seekor kambing yang masih belum bunting dan belum ada susu lagi. Kata Abdullah bin Mas'ud aku lihat Rasulullah SAW melakukan sapuan di bawah perut kambing tersebut. Tiba-tiba keluar kantung susunya. Lalu Abu Bakar datang bawakan batu yang berlubang dan beliau memerah susu tersebut seterusnya memberi Rasulullah minum, beliau juga minum dan memberi kepada aku untuk minum. Kemudian Rasulullah kata اقلص masuk balik, maka masuk semula kantung susu tersebut. Kata Abdullah bin Mas'ud, aku tengak Rasulullah SAW buat begitu, aku kata, ya Rasulullah ajarkan kepada aku. Lalu Rasulullah SAW sapu kepala Ibn Masud dan baginda bersabda:

إنك غلام معلم

Maksudnya: “Sesungguhnya engkau adalah seorang budak yang pasti akan diberi ilmu.” Dan ternyata Abdullah bin Mas'ud membesar dan dari kalangan sahabat Rasulullah yang begitu alim. Bahkan Abdullah bin Mas'ud memiliki kedudukan yang begitu dekat dengan Rasulullah. Abu Musa al-Asy’ari RA ketika sampai di Madinah dari Yaman, dia datang dengan sahabat-sahabat dan keluarga, dia kata:

قدمت أنا وأخي من يمن، فمكثت حينا، وما نرى ابن مسعود وأمه إلا من أهل بيت رسول الله

Maksudnya: “Aku sampai di Madinah bersama saudaraku dari Yaman, kami tinggal beberapa ketika di Madinah. Tidaklah kami lihat Ibn Masطud dan ibunya melainkan (kami menyangka) mereka termasuk dari kalangan ahli keluarga Rasulullah.” Disebabkan banyaknya mereka masuk dan keluar dari rumah Rasulullah SAW tanpa terlebih dahulu meminta izin dari baginda. Bahkan baginda pernah berkata kepada Ibn Masud: “Aku benarkan kamu masuk ke dalam rumah aku tanpa meminta izin, sehinggalah aku melarangnya.” Demikian betapa amanahnya Ibn Mas'ud ini.

Ada satu lagi kisah yang menarik tentang Abdullah bin Masud ini. Setelah Rasulullah SAW wafat, Abbdullah bin Mas'ud kekal kuat beribadat sama seperti para sahabat yang lain. Antara kisah dia yang terlintas pada saya malam ini, iaitulah satu malam dia nak bangun malam, isterinya halang dia. Isteri dia kata: علينا الليل hari masih malam ni, masih awal. Kemudian isteri dia ambil baju dia, tak bagi bangun terlalu awal untuk bertahajud. Lalu Ibn Masud berkata: اللهم إني واحد، وهما اثنان، فأعني عليهما maksudnya: “Ya Allah, aku seorang diri, sedangkan mereka berdua. Bantulah aku untuk berhadapan dengan mereka berdua.” Siapa mereka berdua yang beliau maksudkan tuan-tuan? Beliau maksudkan isterinya dengan syaitan menghalang beliau dari bangun malam untuk bertahajud. Beliau minta Allah bantu untuk melawan halangan mereka berdua.

Abdullah bin Masud juga seorang yang sangat disayangi oleh ‘Umar bin al-Khattab. Beliau meninggal pada tahun 32 Hijriyyah di Madinah dan dikebumikan di perkuburan al-Baqi’ dekat dengan masjid Nabawi. Saya cerita ini supaya ada perasaan kita sayang kepada para sahabat. Supaya kita dapat bersama mereka di dalam syurga. Kata Nabi SAW: Sesungguhnya kamu bersama dengan siapa yang kamu sayang.” Jadi kita nak di akhirat nanti dapat bersama dengan Nabi SAW dan para sahabat RA.


Cetak  
Wallahu a'lam