Tawus bin Kaisan
Nama beliau Tawus bin Kaisan al-Yamani al-Hamdani (طاوس بن كيسان اليماني الهمداني). Kuniahnya ialah Abu ‘Abdir Rahman. Ibn al-Jauzi di dalam al-Alqab mendakwa Tawus ini adalah laqab. Nama sebenar beliau adalah Zakwan (ذكوان). Beliau meninggal dunia pada tahun 106H.
أخْبَرَنا عَبْدُ الرَّزّاقِ، قالَ: سَمِعْتُ النُّعْمانَ بْنَ الزُّبَيْرِ الصَّنْعانِيَّ، يُحَدِّثُ أنَّ مُحَمَّدَ بْنَ يُوسُفَ، أوْ أيُّوبَ بْنَ يَحْيى بَعَثَ إلى طاوُسٍ بِسَبْعِ مِائَةِ دِينارٍ - أوْ خَمْسِ مِائَةٍ -، وقِيلَ لِلرَّسُولِ: إنْ أخَذَها مِنكَ فَإنَّ الأمِيرَ سَيَكْسُوكَ ويُحْسِنُ إلَيْكَ، قالَ: فَخَرَجَ بِها حَتّى قَدِمَ عَلى طاوُسٍ الجُنْدُ، فَقالَ: يا أبا عَبْدِ الرَّحْمَنِ نَفَقَةٌ بَعَثَ بِها الأمِيرُ إلَيْكَ، قالَ: «ما لِي بِها حاجَةٌ»، فَأرادَهُ عَلى أخْذِها، فَفَعَلَ طاوُسٌ، فَرَمى بِها فِي كُوَّةِ البَيْتِ، ثُمَّ ذَهَبَ، فَقالَ: قَدْ أخَذَها، فَلَبِثُوا حِينًا، ثُمَّ بَلَغَهُمْ عَنْ طاوُسٍ شَيْءٌ يَكْرَهُونَهُ، فَقالُوا: ابْعَثُوا إلَيْهِ، فَلْيَبْعَثْ إلَيْنا بِمالِنا، فَجاءَهُ الرَّسُولُ فَقالَ: المالُ الَّذِي بَعَثَ بِهِ إلَيْكَ الأمِيرُ؟ قالَ: «ما قَبَضْتُ مِنهُ شَيْئًا»، فَرَجَعَ الرَّسُولُ فَأخْبَرَهُمْ، فَعَرَفُوا أنَّهُ صادِقٌ، فَقالَ: انْظُرُوا الرَّجُلَ الَّذِي ذَهَبَ بِها، فابْعَثُوا إلَيْهِ، فَبَعَثُوهُ، فَجاءَهُ، فَقالَ: المالُ الَّذِي جِئْتُكَ بِهِ يا أبا عَبْدِ الرَّحْمَنِ؟ فَقالَ: «هَلْ قَبَضْتُ مِنكَ شَيْئًا؟»، قالَ: لا، فَقِيلَ لَهُ: «تَدْرِي حَيْثُ وضَعْتَهُ؟»، قالَ: نَعَمْ، فِي تِلْكَ الكُوَّةِ، قالَ: فانْظُرْهُ حَيْثُ وضَعْتَهُ، قالَ: فَمَدَّ يَدَهُ، فَإذا هُوَ بِالصُّرَّةِ قَدْ بَنَتْ عَلَيْهِ العَنْكَبُوتُ، قالَ: فَأخَذَها فَذَهَبَ بِها إلَيْهِمْ "
‘Abdul Razzak menceritakan, katanya: "Aku mendengar al-Nukman bin al-Zubair al-San’ani menceritakan, bahawa Muhammad bin Yusuf atau Ayyub bin Yahya pernah mengutuskan untuk Tawus 700 atau 500 dinar (wang emas). Diperintahkan kepada orang utusan dengan pesanan: “jika Tawus menerima pemberian yang kamu bawa ini, maka pemimpin kita akan memberi anugerah pakaian dan anugerah lainnya kepada kamu.” Pergilah utusan itu kepada Tawus membawa pemberian dari pemimpin umat Islam. Apabila dia sampai ke rumah Tawus, dia berkata: “Wahai Abu Abdul Rahman (gelaran untuk Tawus), bersama aku ini belanja pemberian yang diutuskan oleh pemimpin kita kepadamu.” Jawab Tawus: “Aku tidak ada keperluan terhadap harta tersebut.” Namun utusan itu mahu Tawus menerima pemberian tersebut, lalu dia mencampak wang tersebut ke salah satu lubang yang ada di dinding rumah Tawus. Seterusnya lelaki itu pergi dan memberitahu kepada pemimpin, bahawa Tawus telah menerima pemberian tersebut. Setelah berlalu beberapa tempoh, sampai kepada mereka (pemerintah) sesuatu berita yang mereka tidak suka dari Tawus. Lalu pemerintah berkata: “hantarkan utusan kepada Tawus dan ambil semula harta yang telah kita berikan kepada Tawus.” Pergilah seorang utusan kepada Tawus dan berkata: “kembalikan semula harta yang telah diberikan kepada kamu sebelum ini oleh pemimpin kita.” Kata Tawus: “Aku tidak mengambil sedikitpun dari harta tersebut.” Utusan itu segera pulang dan menceritakan apa yang dinyatakan oleh Tawus dan mereka semua tahu bahawa Tawus seorang yang bercakap benar. Lalu pemerintah berkata: “hantarkan semula lelaki dahulu yang membawa pemberian tersebut kepada Tawus.” Apabila lelaki itu sampai di pintu rumah Tawus, dia berkata: “Pulangkan semula harta yang pernah aku bawakan untuk kamu sebelum ini wahai Abu Abdul Rahman.” Jawab Tawus: “Apakah aku ada mengambil sedikit dari hartu itu daripada kamu?” Jawab lelaki itu: “Tidak!” Dikatakan kepada lelaki itu: “Kamu tahu di mana kamu letakkan harta tersebut?” Jawab lelaki itu: “Ya aku tahu, itulah dia, lubang pada dinding tersebut.” Kata orang lain yang bersamanya: “Pergilah periksa ke tempat yang kamu letakkan harta tersebut.” Lalu lelaki itu memasukkan tangannya ke dalam lubang tersebut. Ternyata di dalamnya terdapat longgokan sarang labah-labah di atas harta tersebut (harta tersebut langsung tidak dipedulikan oleh Tawus). Lalu lelaki itu ambil semula harta tersebut dan membawanya untuk dipulangkan kepada pemerintah.” (Hilyah al-Awliya’ wa Tabaqat al-Asfiya’ oleh Abu Nu’aim al-Asbahani (W430H), cetakan Dar al-Fikr Beirut, 1416H/1996M, jld: 4, hal: 14-15)