Abu Darda’ (أبو الدرداء) RA

Nama dan Gelaran

Abu Darda’ RA, seorang sahabat Nabi SAW yang mulia, nama beliau ‘Uwaimir bin Zaid bin Qais al-Ansari al-Khazraji (عويمر بن زيد بن قيس الأنصاري الخزرجي) RA. Kata al-Imam al-Bukhari RH:

سألت رجلًا من ولد أبي الدرداء، فقال: اسمه عامر بن مالك، ولقبه عويمر

“Aku pernah bertanya kepada seorang lelaki dari kalangan anak Abu Darda’ tentang namanya sebenar Abu Darda’, anaknya berkata: “Nama beliau ialah ‘Amir bin Malik dan gelarannya ‘Uwaimir.”

 

Kedudukan Mulia di Kalangan Sahabat

Rasulullah SAW memuji Abu Darda’ RA dengan sabdanya: نعم الفارس عويمر "Sebaik-baik penunggang kuda adalah ‘Uwaimir." Baginda juga bersabda: هو حكيم أمتي "Beliau adalah hakim (seorang yang bijaksana) umatku."

 

Keislaman Abu al-Darda’

Abu Darda’ RA adalah orang Ansar terakhir yang memeluk Islam. Sebelum Islam, beliau menyembah berhala. Pernah suatu hari dua sahabatnya, Abdullah bin Rawahah (عبد الله بن رواحة) dan Muhammad bin Maslamah (محمد بن مسلمة) RA pergi ke rumahnya dan memecahkan berhala sembahannya. Apabila pulang, Abu Darda’ mendapati berhala sembahan yang dianggapnya sebagai tuhan, tidak berdaya berhalanya melindungi dirisendiri. Isterinya, Ummu Darda’, berkata

لو كان ينفع أو يدفع عن أحد، دَفَع عن نفسه ونفعها

"Jika berhala itu mampu memberi manfaat atau melindungi seseorang, ia pasti akan melindungi dirinya sendiri."


Kata-kata isterinya ini benar-benar memberi kesan kepada hati Abu Darda’. Beliau segera berkata:

أعدِّي لي ماء في المغتسل، فاغتسل، ولبس حلته، ثم ذهب إلى النبي صلى الله عليه وسلم، فنظر إليه ابن رواحة رضي الله عنه مقبلًا

 “Sediakan air mandi untukku di bilik mandi.” Beliau segera mandi dan memakai pakaian hullahnya. Setelah itu pergi menemui Rasulullah SAW untuk memeluk Islam. Ketika itu Abdullah bin Rawahah ada bersama Nabi SAW, kata beliau:  

يا رسول الله صلى الله عليه وسلم، هذا أبو الدرداء، وما أراه إلا جاء في طلبنا

“Wahai Rasulullah SAW, Abu Darda’ ini, aku lihat sedang mencari kita.” Jawab Nabi SAW:

إنما جاء ليُسْلِمَ، إن ربي وعدني بأبي الدرداء أن يسلم

“Dia datang mencari kita hanya kerana ingin memeluk Islam. Sesungguhnya
Tuhanku telah berjanji bahawa Abu Darda’ akan memeluk Islam."

Abu Darda’ memeluk Islam pada hari peperangan Badar. Setelah itu beliau turut serta dalam peperangan Uhud dan berjuang mempertahankan Nabi SAW. Beliau turt menyertai Nabi SAW dalam  peperangan berikutnya.

Abu Darda’ dari kalangan sahabat yang menghafaz al-Quran keseluruhannya dan seorang dari kalangan Kuttab al-Wahy iaitulah para penulis al-Quran.

Dalam Sahih al-Bukhari, daripada hadith Anas RA, beliau berkata:

مات النبي صلى الله عليه وسلم ولم يجمع القرآن غير أربعة: أبو الدرداء، ومعاذ، وزيد بن ثابت، وأبو زيد

"Rasulullah wafat dan hanya empat orang yang menghimpunkan al-Quran (di masa itu): Abu al-Darda', Mu'adz, Zaid bin Thabit, dan Abu Zaid."

Abu al-Darda' RA terkenak sebagai seorang yang sangat tekun dalam beribadah. Beliau sering berpuasa pada siang hari dan menghidupkan malam dengan menunaikan solat. Sehingga Salman al-Farisi RA pernah menegurnya. Kisah ini diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari RH dalam Sahihnya:

عَنْ أَبِي جُحَيْفَةَ رضي الله عنه قَالَ: آخَى النَّبِيُّ ﷺ بَيْنَ سَلْمَانَ وَأَبِي الدَّرْدَاءِ، فَزَارَ سَلْمَانُ أَبَا الدَّرْدَاءِ فَرَأَى أُمَّ الدَّرْدَاءِ مُتَبَذِّلَةً فَقَالَ لَهَا: مَا شَأْنُكِ؟ قَالَتْ: أَخُوكَ أَبُو الدَّرْدَاءِ لَيْسَ لَهُ حَاجَةٌ فِي الدُّنْيَا، فَجَاءَ أَبُو الدَّرْدَاءِ فَصَنَعَ لَهُ طَعَامًا فَقَالَ: كُلْ، قَالَ: فَإِنِّي صَائِمٌ، قَالَ: مَا أَنَا بِآكِلٍ حَتَّى تَأْكُلَ، قَالَ: فَأَكَلَ، فَلَمَّا كَانَ اللَّيْلُ ذَهَبَ أَبُو الدَّرْدَاءِ يَقُومُ، قَالَ: نَمْ، فَنَامَ، ثُمَّ ذَهَبَ يَقُومُ فَقَالَ: نَمْ، فَلَمَّا كَانَ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ قَالَ سَلْمَانُ: قُمِ الآنَ، فَصَلَّيَا.

Daripada Abu Juhaifah RA yang berkata: “Rasulullah telah mempersaudarakan antara Salman al-Farisi dengan Abu Darda’ RA. Suatu hari, Salman datang menziarahi Abu al-Darda' dan melihat isterinya, Ummu al-Darda', dalam keadaan yang tidak berhias. Salman bertanya: "Apa yang terjadi kepadamu?" Isteri Abu Darda’ menjawab: "Saudaramu, Abu al-Darda', tiada lagi hajat kepada dunia ini." Apabila Abu al-Darda' datang bertemu dengan Salman, beliau menyediakan makanan untuk Salman sebagai tetamunya. Kata Abu Darda’ kepada Salman: "Makanlah, aku berpuasa.” Kata Salman: “Aku tidak akan makan, sehinggalah kamu makan (bersama denganku)”. Lalu Abu Darda’ terpaksa berbuka puasa untuk memenuhi permintaan Salman. Pada malam harinya, Abu al-Darda' bangun untuk menunaikan solat malam, tetapi Salman berkata: "Tidurlah." Abu al-Darda' pun tidur. Kemudian dia bangun lagi, dan Salman berkata: "Tidurlah." Sehingga pada akhir malam, Salman berkata: “Sekarang bangunlah." Mereka berdua pun bangun dan menunaikan solat malam bersama. Setelah itu, Salman menasihati Abu Darda’ dengan berkata:

إِنَّ لِرَبِّكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَلِنَفْسِكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَلأَهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، فَأَعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ

"Sesungguhnya Tuhanmu mempunyai hak ke atasmu, dirimu mempunyai hak ke atasmu, dan keluargamu juga mempunyai hak ke atasmu. Maka, berikanlah hak kepada setiap yang berhak." Abu al-Darda' kemudian menemui Rasulullah dan menceritakan apa yang berlaku. Rasulullah bersabda: صَدَقَ سَلْمَانُ "Benar apa yang dikatakan oleh Salman."

Abu Darda’ seorang lelaki yang bijaksana, seorang yang memiliki firasat seorang mukmin, seorang yang bertakwa dan zuhud. Beliau hakim atau qadhi pertama di Dimasq (Damascus). Ketika Cyprus dibuka, beliau melihat tahanan perang dibawa melaluinya dan menangis. Ada yang bertanya: “Mengapa engkau menangis pada hari ini, sedangkan Allah memuliakan Islam dan umatnya?” Beliau menjawab:

بينما هذه الأمة قاهرة ظاهرة، إذ عصَوا الله فلقوا ما ترى، ما أهون العباد على الله إذا هم عصوه

Sewaktu umat ini berkuasa dan berjaya terserlah, jika mereka menderhakai Allah, maka mereka akan menghadapi apa yang kamu lihat ini. Betapa hinanya hamba-hamba di sisi Allah apabila mereka menderhakai-Nya!"

 

Mutiara Kata Abu al-Darda' RA

Kata Abu Darda’ RA:

ما لي أرى علماءكم يذهبون، وجهالكم لا يتعلمون، تعلموا؛ فإن العالم والمتعلم شريكان في الأجر

"Mengapa aku melihat para ulama kalian semakin hilang, sedangkan orang-orang jahil kalian tidak belajar? Belajarlah, kerana orang alim dan orang yang belajar itu berkongsi (sama) ganjaran pahala."

Beliau juga berkata:

اعبُدِ الله كأنك تراه، وعُدَّ نفسك في الموتى، وإياك ودعوة المظلوم، واعلم أن قليلًا يغنيك خير من كثير يلهيك، وأن البر لا يبلى، وأن الإثم لا يُنسى

"Sembahlah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya. Anggaplah dirimu dari kalangan orang yang telah mati. Takutlah kamu doa orang yang dizalimi. Ketahuilah bahawa sedikit yang mencukupi itu lebih baik daripada banyak yang melalaikan. Ketahuilah bahawa kebaikan tidak akan musnah dan dosa tidak akan dilupakan."

Selain itu, beliau berkata lagi:

أضحكني ثلاث وأبكاني ثلاث؛ أضحكني مُؤمِّل دنيا والموت يطلبه، وغافل وليس بمغفول عنه، وضاحك بملء فِيه ولا يدري أرضى الله أم أسخطه؟! وأبكاني فراق الأحبة محمد صلوات ربي وسلامه عليه، وحزبه، رضوان الله عليهم، وهول المطلع عند غمرات الموت، والوقوف بين يدي الله، ولا أدري إلى الجنة أم إلى النار

"Tiga perkara membuatku tertawa, dan tiga perkara membuatku menangis. Aku tertawa kerana seorang yang mengharapkan sangat habuan dunia sedangkan maut sedang mencarinya, seorang yang lalai sedangkan dia tidak pernah dilupakan, dan seorang yang ketawa sepenuh hati, sedang dia tidak tahu sama ada Allah reda atau murka kepadanya. Aku menangis kerana perpisahan dengan kekasihku, Muhammad dan para sahabat yang diredhai oleh Allah, aku menangis kerana ingatkan sukarnya sakaratul maut, dan kerana ingatkan ketika aku berdiri di hadapan Allah, tidak tahu apakah aku ke syurga atau ke neraka."

Abu al-Darda' RA meriwayatkan 179 hadith. Sahih al-Bukhari meriwayatkan tiga daripadanya, manakala Sahih Muslim meriwayatkan lapan. Beliau berpindah ke Syam semasa zaman Umar RA untuk mengajar al-Quran kepada umat Islam. Beliau juga disebut sebagai orang pertama yang memulakan halaqah menghafal al-Quran. Abu al-Darda' RA wafat pada tahun 32 Hijriyyah.


Cetak  
Wallahu a'lam