Jabir bin Abdillah رضي الله عنه

Jabir bin Abdillah adalah salah seorang tokoh penting dalam periwayatan hadis Nabi Muhammad . Beliau adalah perawi kedua dari kalangan Ansar yang banyak meriwayatkan hadis selepas Anas bin Malik رضي الله عنه. Jabir banyak meriwayatkan ilmu daripada Rasulullah dan juga daripada sahabat-sahabat besar seperti Abu Bakar, Umar, Ali, Abu Ubaidah, Muadz bin Jabal, Zubair, dan lain-lain رضي الله عنهم.

 

Nasab Jabir bin Abdullah

Beliau adalah seorang imam besar, mujtahid, hafiz, dan sahabat Rasulullah . Nama penuh beliau ialah Jabir bin Abdullah bin Amru bin Haram al-Ansari al-Salami (جابر بن عبد الله بن عمرو بن حرام الأنصاري السلمي) daripada Bani Salamah bin al-Khazraj (بني سلمة بن الخزرج). Beliau digelar Abu Abdullah, walaupun ada yang mengatakan beliau juga digelar Abu Abdurrahman atau Abu Muhammad, tetapi pendapat yang pertama lebih sahih.

Ibunya bernama Anisah (أنيسة) atau Nusaibah binti Uqbah bin Adi (نسيبة بنت عقبة بن عدي). Ibu dan bapanya dari keturunan yang sama, iaitulah pada datok mereka bernama Haram (حرام). Ayah Jabir bernama Abdullah bin Amr bin Haram (عبد الله بن عمرو بن حرام), adalah seorang sahabat yang mulia, syahid dalam peperangan Uhud. Beliau adalah antara orang yang awal memeluk Islam, dan turut serta dalam Bai’ah Ridhwan (بيعة الرضوان). Jabir menyaksikan Bai’ah Aqabah Kedua bersama bapanya ketika masih kecil.

 

Sumbangan Dalam Ilmu Hadis

Jabir bin Abdullah رضي الله عنه adalah salah seorang sahabat yang banyak meriwayatkan hadis Nabi . Beliau meriwayatkan sebanyak 1,540 hadis, 58 hadis daripadanya disepakati oleh al-Bukhari dan Muslim, 26 hanya dalam al-Bukhari, dan 126 hanya dalam Muslim.

Beliau juga mengadakan halaqah di Masjid Nabawi untuk mengajar dan memberi kefahaman agama kepada orang ramai. Sekumpulan sahabat Nabi ada yang meriwayatkan hadis daripadanya termasuk anaknya Muhammad dan Uqail.

 

Riwayat Jabir Bin Abdullah Dan Sumbangannya Dalam Sunnah Nabi

Kesungguhan Jabir dalam Mengumpulkan Hadis

Jabir bin Abdullah رضي الله عنه memiliki kesungguhan yang luar biasa dalam mengumpulkan hadis Nabi . Salah satu contoh kesungguhan tersebut apabila beliau sanggup bermusafir dari Madinah menuju ke Syam hanya untuk mendapatkan satu hadis. Beliau sendiri meriwayatkan:

بَلَغَنِي حَدِيثٌ عَنْ رَجُلٍ سَمِعَهُ مِنْ رَسُولِ اللهِ ﷺ فَاشْتَرَيْتُ بَعِيرًا، ثُمَّ شَدَدْتُ عَلَيْهِ رَحْلِي، فَسِرْتُ إِلَيْهِ شَهْرًا، حَتَّى قَدِمْتُ عَلَيْهِ الشَّامَ فَإِذَا عَبْدُ اللهِ بْنُ أُنَيْسٍ رضي الله عنه، فَقُلْتُ لِلْبَوَّابِ: قُلْ لَهُ: جَابِرٌ عَلَى الْبَابِ. فَقَالَ ابْنُ عَبْدِ اللهِ؟ قُلْتُ: نَعَمْ. فَخَرَجَ يَطَأُ ثَوْبَهُ فَاعْتَنَقَنِي، وَاعْتَنَقْتُهُ، فَقُلْتُ: حَدِيثًا بَلَغَنِي عَنْكَ أَنَّكَ سَمِعْتَهُ مِنْ رَسُولِ اللهِ ﷺ فِي الْقِصَاصِ، فَخَشِيتُ أَنْ تَمُوتَ، أَوْ أَمُوتَ قَبْلَ أَنْ أَسْمَعَهُ. قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ ﷺ يَقُولُ: يُحْشَرُ النَّاسُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ -أَوْ قَالَ: الْعِبَادُ- عُرَاةً غُرْلًا بُهْمًا، قَالَ: قُلْنَا: وَمَا بُهْمًا؟ قَالَ: «لَيْسَ مَعَهُمْ شَيْءٌ ثُمَّ يُنَادِيهِمْ بِصَوْتٍ يَسْمَعُهُ مِنْ قُرْبٍ: أَنَا الْمَلِكُ أَنَا الدَّيَّانُ، وَلَا يَنْبَغِي لِأَحَدٍ مِنْ أَهْلِ النَّارِ أَنْ يَدْخُلَ النَّارَ وَلَهُ عِنْدَ أَحَدٍ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ حَقٌّ حَتَّى أَقُصَّهُ مِنْهُ، وَلَا يَنْبَغِي لِأَحَدٍ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ أَنْ يَدْخُلَ الْجَنَّةَ، وَلِأَحَدٍ مِنْ أَهْلِ النَّارِ عِنْدَهُ حَقٌّ حَتَّى أَقُصَّهُ مِنْهُ حَتَّى اللَّطْمَةُ، قَالَ: قُلْنَا: كَيْفَ وَإِنَّا إِنَّمَا نَأْتِي اللَّهَ عُرَاةً غُرْلًا بُهْمًا؟ قَالَ: ِالْحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ

"Aku mendengar ada sebuah hadis yang disampaikan oleh seseorang yang pernah mendengarnya daripada Rasulullah . Aku pun membeli seekor unta, kemudian aku menyiapkan pelana di atasnya, lalu aku bermusafir selama sebulan sehingga tiba di Syam. Apabila aku sampai, ternyata orang itu adalah Abdullah bin Unais رضي الله عنه. Aku berkata kepada penjaga pintunya: “Beritahu dia bahawa Jabir berada di pintu.” Dia bertanya: “Jabir bin Abdullah?” Aku menjawab, “Ya. Abdullah pun keluar dengan dipijaknya kainnya yang menyapu tanah (menggambarkan keadaan tergesa-gesa), lalu dia memelukku dan aku memeluknya. "Aku berkata kepadanya: “Aku datang untuk mendengar sebuah hadis yang aku dengar engkau meriwayatkannya daripada Rasulullah tentang qisas (hukum balas). Aku bimbang engkau atau aku meninggal dunia sebelum aku sempat mendengarnya. Abdullah bin Unais رضي الله عنه pun berkata: “Aku mendengar Rasulullah bersabda: “Manusia akan dikumpulkan pada hari kiamat – atau baginda berkata: “para hamba – dalam keadaan telanjang, tidak berkhatan, dan tidak membawa apa-apa. Kami bertanya (kepada baginda): “Apa maksud “tidak membawa apa-apa (بُهْمًا)?” Rasulullah menjawab: “Mereka tidak memiliki apa-apa bersama mereka.” Kemudian Allah memanggil mereka dengan suara yang dapat didengar oleh semua, dekat maupun jauh (semua mendengarnya seperti suara yang dilaungkan dari dekat): “Akulah Raja, Akulah Pengadil (yang akan memberi keputusan)! Tidak akan ada seorang pun dari penghuni neraka masuk ke neraka sementara dia masih memiliki hak terhadap penghuni syurga, sehingga aku akan mengadilinya (mengembalikan haknya) kepadanya. Tidak akan ada seorang pun dari penghuni syurga masuk syurga sementara dia masih memiliki hak terhadap penghuni neraka, sehingga aku mengadilinya (mengembalikan haknya) kepadanya, bahkan meskipun hanya satu tamparan. Kami bertanya: “Bagaimana mungkin sedangkan kami semua akan datang kepada Allah dalam keadaan telanjang, tidak berkhatan, dan tidak memiliki apa-apa?” Rasulullah menjawab: “Dengan (pertukaran) pahala dan dosa.”

 

Jihad Jabir bin Abdullah

Jabir bin Abdullah رضي الله عنه menyertai hampir semua pertempuran bersama Rasulullah kecuali dua; Perang Uhud, kerana dilarang oleh bapanya untuk keluar berjihad bersama. Kedua Perang Badar kerana ditugaskan menyedia dan memberi minuman kepada para tentera.

Setelah bapanya syahid dalam Perang Uhud, Jabir رضي الله عنه tidak lagi ketinggalan dalam mana-mana jihad bersama Rasulullah . Jabir berkata:

فَلَمَّا قُتِلَ عَبْدُ اللَّهِ يَوْمَ أُحُدٍ لَمْ أَتَخَلَّفْ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِى غَزْوَةٍ قَطُّ

"Setelah Abdullah (bapaku) gugur syahid dalam medan Uhud, aku tidak pernah ketinggalan dalam mana-mana pertempuran bersama Rasulullah .”

Imam Muslim meriwayatkan, Jabir رضي الله عنه menyebut:

غَزَوْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم تِسْعَ عَشْرَةَ غَزْوَةً

"Aku menyertai 19 peperangan bersama Rasulullah ."

Selain itu, Jabir رضي الله عنه turut menyertai Perang Siffin bersama Saidina Ali رضي الله عنه semasa era konflik antara kaum Muslimin selepas kewafatan Rasulullah .

 

Kewafat Jabir bin Abdullah رضي الله عنه

Di penghujung usia, Jabir رضي الله عنه kehilangan penglihatannya. Beliau meninggal dunia di Madinah, meskipun ada riwayat yang mengatakan beliau meninggal dunia di Mekah atau Quba'. Terdapat perbezaan pendapat ahli Sejarah tentang Tarikh kewafatan beliau antaranya:

  • Tahun 74 Hijrah – Pendapat yang lebih kuat.
  • Tahun 78 Hijrah, atau
  • Tahun lain seperti 68, 72, dan sebagainya.

Beliau meninggal dunia pada usia 94 tahun, dan jenazahnya disolatkan oleh Aban bin Uthman (أبان بن عثمان), yang ketika itu adalah gabenor Madinah.


Cetak  
Wallahu a'lam