Abdullah bin Haram, Bapa Jabir bin Abdillah رضي الله عنهما

Bapa Jabir bin Abdillah, iaitulah Abdullah bin ‘Amr bin Haram (عبد اللَّه بن عمرو بن حرام). Imam Tirmizi (3010) dan Ibn Majah (190) meriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah yang berkata:

لَقِيَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ لِي: يَا جَابِرُ مَا لِي أَرَاكَ مُنْكَسِرًا؟ قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ اسْتُشْهِدَ أَبِي، وَتَرَكَ عِيَالًا وَدَيْنًا . قَالَ: (أَفَلَا أُبَشِّرُكَ بِمَا لَقِيَ اللَّهُ بِهِ أَبَاكَ؟) . قَالَ: بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ: (مَا كَلَّمَ اللَّهُ أَحَدًا قَطُّ إِلَّا مِنْ وَرَاءِ حِجَابٍ، وَأَحْيَا أَبَاكَ فَكَلَّمَهُ كِفَاحًا. فَقَالَ: يَا عَبْدِي تَمَنَّ عَلَيَّ أُعْطِكَ. قَالَ: يَا رَبِّ تُحْيِينِي فَأُقْتَلَ فِيكَ ثَانِيَةً. قَالَ الرَّبُّ عَزَّ وَجَلَّ: إِنَّهُ قَدْ سَبَقَ مِنِّي أَنَّهُمْ إِلَيْهَا لَا يُرْجَعُونَ ) . قَالَ: وَأُنْزِلَتْ هَذِهِ الآيَةُ: (وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا

"Rasulullah bertemu denganku dan bersabda: “Wahai Jabir, mengapa aku melihat kamu dalam keadaan sedih?” Aku berkata: “Wahai Rasulullah, ayahku telah syahid dan meninggalkan keluarga serta hutang.” Rasulullah bersabda: “Mahukah aku khabarkan kepadamu tentang apa yang Allah berikan kepada ayahmu?” Aku menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Allah tidak pernah bercakap secara langsung dengan sesiapa pun kecuali dari balik hijab. Tetapi apabila Allah menghidupkan ayahmu, Allah berbicara dengannya secara langsung tanpa hijab. Allah berfirman kepada bapamu: “Wahai hamba-Ku, mintalah kepada-Ku, Aku akan memberikannya kepadamu.” Ayahmu berkata: “Ya Tuhanku, hidupkanlah aku buat kali kedua agar aku dapat terbunuh di jalan-Mu sekali lagi.’”Allah berfirman: ‘Telah terdahulu ketetapan-Ku bahawa mereka  yang telah mati tidak akan kembali ke dunia lagi.” Lalu diturunkanlah ayat ini: “Dan janganlah kamu mengira orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati…” (Ali Imran: 169). (Hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani dalam Sahih al-Tirmizi.)

Abdullah bin Amr bin Haram رضي الله عنه mencapai kedudukan yang mulia di sisi Allah sebagai satu anugerah besar kepadanya dari Allah disebabkan keimanannya yang teguh kepada Allah dan Rasul-Nya, amalan soleh yang sentiasa dilakukannya, sikap bersegera melakukan kebaikan darinya dan pengorbanannya dalam jihad demi menegakkan kalimah Allah. Allah berfirman:

﴿... إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجۡرَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ ١٢٠

“…Sesungguhnya Allah tidak akan menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat baik.” (Surah At-Taubah: 120).

            Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Jabir yang berkata:

لَمَّا قُتِلَ أَبِي جَعَلْتُ أَكْشِفُ الثَّوْبَ عَنْ وَجْهِهِ أَبْكِي، وَيَنْهَوْنِي عَنْهُ، وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لاَ يَنْهَانِي، فَجَعَلَتْ عَمَّتِي فَاطِمَةُ تَبْكِي، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: (تَبْكِينَ ، أَوْ لاَ تَبْكِينَ ؛ مَا زَالَتِ المَلاَئِكَةُ تُظِلُّهُ بِأَجْنِحَتِهَا ، حَتَّى رَفَعْتُمُوهُ

"Ketika ayahku terbunuh (syahid), aku membuka kain yang menutupi wajahnya sambil menangis, dan orang ramai melarang aku melakukannya, tetapi Nabi tidak melarangku. Kemudian, ibu saudaraku Fatimah juga menangis. Nabi bersabda: “Sama ada kamu menangis atau tidak, malaikat terus menaungi jasadnya dengan sayap mereka sehingga kamu semua mengangkatnya (untuk dikebumikan)." (Hadis riwayat Bukhari, no. 1244; Muslim, no. 2471)

Kata Ibn Sa‘ad:

شهد عَبْد الله بْن عَمْرو العقبة مع السبعين من الأَنْصَار، وهو أحد النقباء الاثني عشر، وشهد بدْرًا وأحدًا، وقتل يومئذٍ شهيدًا، عَلَى رأس اثنين وثلاثين شهرا من الهجرة

Abdullah bin Amru bin Haram رضي الله عنه menyertai Bai’ah Aqabah bersama 70 orang Ansar. Beliau adalah salah seorang daripada 12 naqib (pemimpin) yang dipilih oleh Rasulullah dalam perjanjian tersebut. Beliau turut serta dalam Perang Badar dan Perang Uhud dan gugur sebagai syahid dalam Perang Uhud. Kejadian itu berlaku selepas 32 bulan penghijrahan Rasulullah ke Madinah. (al-Tabaqat al-Kubra 3/423)

Kata Abu Nu‘aim:

عَبْدُ اللهِ بْنُ عَمْرِو بْنِ حَرَامٍ الْأَنْصَارِيُّ ثُمَّ السُّلَمِيُّ أَبُو جَابِرٍ، شَهِدَ الْعَقَبَةَ وَبَدْرًا، مِنَ النُّقَبَاءِ، اسْتُشْهِدَ يَوْمَ أُحُدٍ، وَدُفِنَ مَعَ صَفِيِّهِ وَوَدِيدِهِ [أي: حبيبه، وصفيه] عَمْرِو بْنِ الْجَمُوحِ، كَلَّمَ اللهُ رُوحَهُ بِالْكِفَاحِ، وَأَظَلَّتِ الْمَلَائِكَةُ جِسْمَهُ بِالْجَنَاحِ، قَاتَلَ الْمُشْرِكِينَ بِالْجَدِّ وَالثَّبَاتِ، فَقَتَلُوهُ مُحْتَسِبًا عَنْ تِسْعٍ مِنَ الْبَنَاتِ

Abdullah bin Amru bin Haram al-Ansari al-Sulami (Abu Jabir), menyertai Bai’ah Aqabah dan peperangan Badar, salah seorang ketua (dalam perjanjian aqabah), gugur syahid dalam perang Uhud. Dikebumikan bersama sahabat karibnya Amr bin al-Jamuh رضي الله عنه (yang turut gugur syahid dalam medan Uhud). Allah berbicara dengan ruh Abdullah secara langsung tanpa hijab, para malaikat menaungi jasadnya dengan sayap-sayap mereka. memerangi kaum musyrikin dengan penuh semangat dan ketabahan sehingga beliau gugur sebagai seorang syahid. Beliau meninggalkan Sembilan orang anak Perempuan. (Ma’rifah al-Sahabah 3/1717)

Kata Ibn ‘Abd al-Barr:

كان نقيبا، وشهد العقبة، ثُمَّ بدرا، وقتل يوم أحد شهيدا، قتله أسامة الأعور ابن عُبَيْد، وقيل: بل قتله سُفْيَان بْن عبد شمس أَبُو أَبِي الأعور السُّلَمِيّ، وصلى عَلَيْهِ رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قبل الهزيمة، وَهُوَ أول قتيل قتل من المسلمين يومئذ

Beliau adalah seorang naqib (pemimpin) yang dipilih dalam Bai’ah Aqabah, menyertai Perang Badar, dan gugur syahid dalam Perang Uhud. beliau dibunuh oleh Usamah al-A’war bin Ubaid, manakala riwayat lain menyatakan pembunuhnya adalah Sufyan bin Abd Syams, bapa kepada Abu al-A’war al-Sulami. Rasulullah menunaikan solat jenazah ke atasnya sebelum berlaku kekalahan dalam pertempuran Uhud. Beliau menjadi syuhada pertama yang gugur dalam kalangan umat Islam pada hari itu.

Dalam riwayat Bukhari daripada Jabir yang berkata:

لَمَّا حَضَرَ أُحُدٌ دَعَانِي أَبِي مِنَ اللَّيْلِ، فَقَالَ: مَا أُرَانِي إِلَّا مَقْتُولًا فِي أَوَّلِ مَنْ يُقْتَلُ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَإِنِّي لاَ أَتْرُكُ بَعْدِي أَعَزَّ عَلَيَّ مِنْكَ، غَيْرَ نَفْسِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَإِنَّ عَلَيَّ دَيْنًا فَاقْضِ، وَاسْتَوْصِ بِأَخَوَاتِكَ خَيْرًا، فَأَصْبَحْنَا، فَكَانَ أَوَّلَ قَتِيلٍ، وَدُفِنَ مَعَهُ آخَرُ فِي قَبْرٍ، فَاسْتَخْرَجْتُهُ بَعْدَ سِتَّةِ أَشْهُرٍ، فَإِذَا هُوَ كَيَوْمِ وَضَعْتُهُ هُنَيَّةً، غَيْرَ أُذُنِهِ

"Ketika malam sebelum Uhud, ayahku memanggilku dan berkata: “Aku rasa, esok aku akan menjadi orang pertama yang akan gugur dalam kalangan sahabat Rasulullah . Aku tidak meninggalkan apa-apa yang lebih aku banggakan melainkan engkau, selepas Rasulullah sendiri. Aku memiliki hutang, maka lunaskanlah hutang itu, dan berbuat baiklah kepada saudara-saudaramu yang perempuan. Pada keesokan harinya ternyata bapaku, Abdullah رضي الله عنه benar-benar menjadi orang syahid pertama. Bapaku dikebumikan bersama seorang lain yang turut gugur dalam kubur yang sama. Selepas berlalu enam bulan pengkebumian bapaku, aku mengeluarkan semula jenazahnya dari kubur. Aku mendapati jasadnya seperti baru sahaja dikebumikan, tanpa telinganya (kerana cedera dalam peperangan Uhud).”


Cetak  
Wallahu a'lam