Al-Imam Ibn al-Rif‘ah ابن الرفعة, salah seorang muta’akhkhirīn ashab mazhab Syafi‘i, yang banyak melakukan takhrīj dalam mazhab, sehingga dikatakan: Beliau telah menambahkan 1/3 dalam mazhab Syafi‘i.
Ibn Hajar al-Haitami berkata dalam al-Fatāwā al-Fiqhiyyah al-Kubra 3/6:
أَيْ بِاعْتِبَارِ الْأَوْجُهِ الَّتِي خَرَّجَهَا وَحَتَّى كَادَ أَنْ يُعَدَّ مَعَ أَصْحَابِ الْأَوْجُهِ لِانْفِرَادِهِ مِنْ بَيْنِ الْمُتَأَخِّرِينَ بِمَرْتَبَةِ ذَلِكَ التَّخْرِيجِ بَعْدَ انْقِطَاعِهَا بِانْقِطَاعِ أَصْحَابِ الْأَوْجُهِ وَمِنْ ثَمَّ لُقِّبَ بِالْفَقِيهِ دُون غَيْرِهِ بَلْ بَالَغَ بَعْضُهُمْ فَعَدَّهُ مَعَ أَصْحَابِ الْأَوْجُهِ وَأَبَى أَنْ يَعُدَّ الْغَزَالِيَّ وَإِمَامَهُ
“Yakni dengan iktibar Awjuh yang beliau lakukan takrij. Sehingga hampir-hampir beliau dikira sebagai salah seorang dari kalangan ashḥāb al-Awjuh, kerana beliau satu-satunya dari kalangan ulama muta’akhkhirīn yang mencapai martabat takhrīj tersebut setelah berakhirnya zaman ashḥāb al-Awjuh. Oleh itu, beliau digelar sebagai al-faqīh tidak yang lain, sehingga ada yang berlebihan menyenaraikan beliau bersama para ashḥāb al-Awjuh dan enggan menyenaraikan al-Ghazālī dan gurunya (Imam al-Haramayn) bersama mereka."
Ibn al-Rif'ah ini adalah individu yang dikatakan oleh Ibn Taymiyyah:
رَأَيْت شَيخا يتقاطر فقه الشَّافِعِيَّة من لحيته
“Aku telah melihat seorang syeikh yang fiqh mazhab Syafi‘i menitis dari janggutnya.” (al-Badr al-Tali' 1/110 oleh al-Syaukani)