Ibn 'Umar RA

Ibn ‘Umar ialah Abu ‘Abd al-Rahman, ‘Abdullah bin ‘Omar bin al-Khattab RA. Seorang faqih, ‘alim, Zahid dan Wara’. Seorang yang banyak berpuasa.  Kata Abu al-Hanafiyyah: “Beliau adalah orang yang terbaik bagi umat ini. Menyertai peperangan Khandak dan semua peperangan selepas itu. Termasuk salah seorang dalam peristiwa Bai’ah al-Ridzwan.” Ketika peperangan Uhud beliau tidak dibenarkan turut serta kerana masih kecil ketika itu beliau berumur 13 tahun. Beliau dilahirkan setahun sebelum turunkan wahyu kepada Rasulullah SAW. Beliau adalah adik beradik seibu-sebapa (شقيق) dengan ‘Hafsah Isteri Nabi SAW. Ibu mereka berdua bernama Zainab binti Maz’aun (زينب بنت مظعون). Kata Ibn Hibban ibu mereka berdua bernama Raitah (ريطة) binti Maz’aun.

Beliau termasuk dari kalangan sahabat yang banyak meriwayatkan hadis dari Nabi SAW iaitulah sebanyak 1630 hadis. Yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim sebanyak 168 hadis. Yang diriwayatkan oleh al-Bukhari sahaja sebanyak 81 hadis. Manakala yang diriwayatkan oleh Muslim sahaja sebanyak 31 hadis. Hadis daripada beliau diriwayatkan oleh anak-cucunya, maulanya bernama Nafi’ dan ramai dari kalangan tabi’ien.

Beliau adalah salah seorang العبادلة الأربعة, dan bakinya ialah ‘Abdullah bin al-Zubair, ‘Abdullah bin ‘Abbas, ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash. Tidak dinamakan العبادلة selain mereka berempat secara istilah sekalipun terdapat ramai lagi dari kalangan para sahabah yang bernama ‘Abdullah. Dikhususkan kerapa mereka gelaran ini kerana mereka adalah أصاغر الصحابة  dan fuqaha’. Mereka agak terkemudian, justeru ramai generasi beikutnya mengambil ilmu daripada mereka, meriwayat dan berhujjah dengan ilmu mereka. Ada juga yang mengatakan mereka digelar sebagai al-‘Abadilah al-Arba’ah kerana mereka adalah sahabat dan anak kepada sahabat (صحابي ابن صحابي). Ditanya kepada Imam Ahmad: “Dan Ibn Mas’ud (juga dari al-‘Abadilah al-Arba’ah)? Jawab Imam Ahmad: “Beliau bukan dari kalangan al-‘Abadilah” al-Baihaqi berkata di dalam Sunannya: “Ibn Mas’ud lebih awal kewafatan beliau, sedang mereka (berempat) hidup sehingga orang ramai memerlukan kepada ilmu mereka. Maka apabila mereka berempat bersepakat dalam sesuatu perkara, dikatakan: هذا قول العبادلة أو فعلهم أو مذهبهم.

Beliau seorang yang sangat menyayangi Nabi SAW dan akan mengikuti baginda dalam setiap keadaan, sehingga Nafi’ (نافع) berkata: “Sekiranya kamu melihat beliau apabila mengikuti athar Rasulullah SAW, sudah pasti kamu mengatakan dia seorang yang gila.”

Beliau meninggal dunia di Mekah pada tahun 73/74 H, ketika berumur 84 ada yang mengatakan 86, ada juga yang mengatakan 87 tahun. 3 bulan setelah kematian Ibn al-Zubair.


Cetak  
Wallahu a'lam