SDI 1202: Perkara Bertentangan Dengan Hukum Fiqh Dalam Kisah Ibrahim Adham Dengan Sebiji Kurma

Soalan: 

Assalamualaikum.. Maaf ganggu ustaz. Sekadar mahu bertanya kesahihan Kisah Sebiji Kurma yg melibatkan Ibrahim bin Adham spt di link di bwh:

Kisah Sebiji Kurma.  
Setelah selesai menunaikan ibadah haji, Ibrahim bin Adham berniat untuk berziarah ke Masjidil Aqsa. Sebagai bekal di perjalanan, dia membeli kurma dari pedagang tua yang berdagang dekat Masjidil Haram. Setelah kurma ditimbang dan dibungkus, Ibrahim melihat sebutir kurma terjatuh dari meja dekat dengan timbangan. Menyangka kurma itu adalah sebahagian dari yang dia beli, Ibrahim memungut dan memakannya.
 
Setelah itu dia terus berangkat menuju Al Aqsa. Empat bulan kemudian, Ibrahim tiba di Al Aqsa. Seperti biasa, dia suka memilih satu tempat beribadah dalam ruang di bawah Kubah Sakhra. Dia solat dan berdoa dengan khusyuk sekali. Tiba tiba dia mendengar perbualan dua Malaikat tentang dirinya.
 
"Itu, Ibrahim bin Adham, ahli ibadah yang zuhud dan warak yang doanya selalu dikabulkan Allah SWT," kata malaikat yang satu.
 
"Tapi sekarang tidak lagi. Doanya ditolak kerana empat bulan yang lalu dia memakan sebutir kurma yang jatuh dari meja seorang pedagang tua di dekat Masjidil haram," jawab malaikat yang satu lagi ..
 
Ibrahim bin Adham terkejut, dia merasa sangat takut, jadi selama 4 bulan ini ibadahnya, solatnya, doanya dan mungkin amalan-amalan lainnya tidak diterima oleh ALLAH SWT gara-gara memakan sebutir kurma yang bukan haknya.
 
"Astaghfirullahal 'Adzhim" Ibrahim beristighfar. Terus dia berkemas untuk berangkat lagi menuju ke Mekah untuk menemui pedagang tua penjual kurma. Untuk meminta dihalalkan sebutir kurma yang telah dimakannya.
 
Sesampai di Mekah dia bergegas terus menuju ke tempat penjual kurma itu, tetapi dia tidak menemukan pedagang tua itu melainkan seorang anak muda. "Empat bulan yang lalu saya membeli kurma di sini dari seorang pedagang tua. Di manakah dia sekarang? " Tanya Ibrahim.
 
"Oo, beliau sudah meninggal sebulan yang lalu, sekarang saya lah yang menyambung pekerjaannya berdagang kurma" jawab anak muda itu.
 
"Innalillahi wa innailaihi roji'un, jika begitu kepada siapakah saya boleh meminta untuk dihalalkan?". Lantas Ibrahim menceritakan peristiwa yang dialaminya, anak muda itu mendengarkan dengan penuh khidmat.
 
"Ha.., begitulah" kata Ibrahim setelah bercerita.
 
"Saudara sebagai ahli waris orang tua itu, bolehkah  saudara menghalalkan sebutir kurma milik ayahmu yang terlanjur saya makan tanpa izinnya?".
 
"Bagi saya tiada masaalah. Insya Allah saya halalkan. Tapi tidak pasti dengan saudara-saudara saya yang jumlahnya 11 orang. Saya tidak berani menghalalkan bagi pihak mereka kerana mereka memiliki hak waris yang sama dengan saya. "
 
"Tolong berikan alamat saudara-saudaramu, biar saya temui mereka satu persatu."
 
Setelah menerima alamat, Ibrahim bin Adham pergi menemui saudara-saudara anak muda itu. Biarpun berjauhan, akhirnya urusan itu selesai juga. Mereka semua setuju menghalalkan sebutir kurma milik ayah mereka yang dimakan oleh Ibrahim secara tidak sengaja.
 
Empat bulan kemudian, Ibrahim bin Adham kembali berada di bawah Kubah Sakhra. Tiba-tiba dia mendengar dua malaikat yang dulunya berbual terdengar bercakap-cakap lagi. "Itulah Ibrahim bin Adham yang doanya tertolak gara-gara makan sebutir kurma milik orang lain."
 
"Oo, tidak lagi! Sekarang doanya sudah makbul, dia telah mendapat penghalalan dari ahli waris pemilik kurma itu. Diri dan jiwa Ibrahim kini telah bersih kembali dari kotoran sebutir kurma yang haram kerana masih milik orang lain. Sekarang dia sudah bebas. "
 
Cerita ni byk dishare jika kita google. Saya ingin kongsikan kisah tersebut dlm group rakan sekerja. Sekadar sebagai tauladan dan iktibar namun risau juga kalau ia kisah palsu atau rekaan. Besarlah harapan saya semoga ustaz dpt bantu saya.
 

Jawapan: 

Pada asalnya, apa-apa kisah yang tidak dikaitankan dengan Nabi SAW, tidak memerlukan kesahihan sanad. Dalam ertikata lain, BOLEH meriwayatkan apa-apa kisah pengajaran yang tidak dikaitkan dengan Nabi SAW selagi ia memiliki maksud yang benar dan tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip agama. 

Cuma kisah yang dinyatakan, terdapat unsur melampau dan rekaan berlebihan.

Antaranya, kesalahan yang begitu besar diletakkan kepada Ibrahim bin Adham kerana memakan kurma tersebut, sedangkan seperti yang disebut di dalam cerita, kurma itu dimakannya setelah menyangka kurma itu adalah haknya. Maka bagaimana mungkin beliau dihukum sebegitu berat dan menyusahkan?

Jika beliau hendak mengambil jalan wara' sekalipun, tidak perlu untuk beliau berjumpa dengan semua waris peniaga tersebut. Sebaliknya cukup dengan dengan membayar harga atau ganti rugi sebiji kurma kepada salah seorang waris peniaga tersebut. Tidak perlu untuk berjumpa setiap orang daripada mereka.

Selain itu, dakwaan yang mengatakan Ibrahim dan Adham mendengar perbualan malaikat itu juga merupakan dakwaan melampau. Ini kerana siapa yang dapat pastikan yang berbual itu malaikat?

Rekaan-rekaan seperti ini dan gambaran fiqh yang rosak dan salah, yang terdapat di dalam kisah ini menuntut kita menolak cerita ini dan menjelaskan kesalahannya kepada masyarakat.

 

Cetak  
Wallahu a'lam