Golongan munafik Bersekongkol Dengan Musuh Islam

Sememangnya demikianlah sifat orang-orang munafik. Salah satu kisah yang menggambarkan sikap cinta dan setia orang-orang munafik kepada musuh Islam ialah kisah kepungan Nabi SAW terhadap Yahudi Bani Qainuqa’ yang telah mengkhianati janji. Kata Ibn Ishak: “menceritakan kepadaku ‘Asim bin ‘Umar bin Qatadah bahawa Bani Qainuqa’ adalah golongan Yahudi yang  terawal mengkhianati janji yang termeterai antara mereka dengan Rasulullah SAW.” Pertembungan antara Nabi SAW dengan Yahudi Bani Qainuqa berlaku setelah peristiwa peperangan Badr. Abu Daud meriwayatkan di dalam Sunannya daripada Ibn ‘Abbas RA yang berkata:

لَمَّا أَصَابَ رَسُولُ اللَّهِ قُرَيْشًا يَوْمَ بَدْرٍ، وَقَدِمَ الْمَدِينَةَ جَمَعَ الْيَهُودَ فِي سُوقِ بَنِي قَيْنُقَاعَ، فَقَالَ: "يَا مَعْشَرَ يَهُودَ، أَسْلِمُوا قَبْلَ أَنْ يُصِيبَكُمْ مِثْلُ مَا أَصَابَ قُرَيْشًا". قَالُوا: يَا مُحَمَّدُ، لاَ يَغُرَّنَّكَ مِنْ نَفْسِكَ أَنَّكَ قَتَلْتَ نَفَرًا مِنْ قُرَيْشٍ، كَانُوا أَغْمَارًا لاَ يَعْرِفُونَ الْقِتَالَ، إِنَّكَ لَوْ قَاتَلْتَنَا لَعَرَفْتَ أَنَّا نَحْنُ النَّاسُ، وَأَنَّكَ لَمْ تَلْقَ مِثْلَنَا

Maksudnya: “Ketika mana Rasulullah berjaya mengalahkan Quraisy pada peperangan Badr, apabila kembali pulang ke Madinah, baginda mengumpulkan orang-orang Yahudi di pasar Bani Qainuqa dan bersabda: “Wahai sekalian orang-orang Yahudi. Peluklah agama Islam sebelum menimpa kamu seperti apa yang menimpa orang-orang Quraisy.” Orang-orang Yahudi menjawab: “Wahai Muhammad, jangan kamu terpedaya dengan diri kamu sendiri. Kamu berperang dengan segolongan orang-orang Quraisy. Mereka itu golongan yang tiada pengalaman dan tidak tahu berperang. Sesungguhnya jika engkau berperang dengan kami, pasti baru engkau tahu bahawa kami adalah orangnya, dan engkau tidak pernah bertemu mana-mana golongan seumpama kami.” (Dinilai Dhaif oleh al-Albani di dalam Dhaif Abi Daud, hadis bil.: 647)  

                Allah SWT menurunkan ayat al-Quran:

قَدْ كَانَ لَكُمْ آيَةٌ فِي فِئَتَيْنِ الْتَقَتَا ۖ فِئَةٌ تُقَاتِلُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَأُخْرَىٰ كَافِرَةٌ يَرَوْنَهُم مِّثْلَيْهِمْ رَأْيَ الْعَيْنِ ۚ وَاللَّهُ يُؤَيِّدُ بِنَصْرِهِ مَن يَشَاءُ ۗ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَعِبْرَةً لِّأُولِي الْأَبْصَارِ

Maksudnya: Sesungguhnya telah ada tanda bagi kamu semua (wahai orang-orang Yahudi) pada dua golongan yang telah bertemu (bertempur). Segolongan berperang di jalan Allah dan (segolongan) yang lain kafir yang dengan mata kepala melihat (seakan-akan) orang-orang muslimin dua kali jumlah mereka. Allah menguatkan dengan bantuan-Nya siapa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai mata hati.” (Ali Imran: 13) 

                Yahudi yang sombong dan angkuh terhadap Rasulullah SAW telah memulakan tindakan jahat mereka mengkhianati janji seperti mana yang diriwayatkan oleh Ibn Hisham dengan katanya: “Abdullah bin Ja’far bin al-Miswar bin Makhramah daripada Abi ‘Aun yang berkata:

أن امرأة من العرب قدمت بجلب لها فباعته بسوقهم، وجلست إلى صائغ بها. فجعلوا يريدونها على كشف وجهها، فلم تفعل. فعمد الصائغ إلى طرف ثوبها فعقده إلى ظهرها فلما قامت انكشفت سوءتها فضحكوا، فصاحت. فوثب رجل من المسلمين على الصائغ فقتله وكان يهودياً فشدت اليهود على المسلم فقتلوه فأغضب المسلمون ووقع الشر

Maksudnya: “Pernah seorang wanita ‘Arab bersama barang jualan yang dibawa oleh tunggangannya sampai ke Madinah, lalu wanita tersebut menjual barang-barang dagangannya di pasar Bani Qainuqa. Ketika wanita itu singgah dan duduk berhampiran tukang tempa barang perhiasan di pasar tersebut, orang-orang Yahudi mahu dia membuka wajahnya, namun wanita tersebut enggan. Lalu tukang tempa barang perhiasan tersebut mengikat hujung pakaian wanita itu ke belakangnya, apabila wanita itu bangun, terbukalah auratnya. Lalu orang-orang Yahudi ketawa melihatnya. Tindakan Yahudi tersebut menjadikan wanita itu menjerit. Bangun seorang lelaki muslim dan membunuh tukang tempa Yahudi tersebut, akhirnya lelaki muslim itu dibunuh oleh orang-orang Yahudi. Perkara ini menimbulkan kemarahan umat Islam dan berlakulah keburukan selepas itu.” (Tarikh al-Islami oleh al-Zahabi 2/146 dan al-Sirah al-Nabawiah oleh Ibn Hisham 2/48)

                Tindakan Yahudi Bani Qainuqa yang mengkhianati janji, mendorong Rasulullah SAW dan orang-orang Islam memerangi mereka. Dalam bulan Syawal tahun kedua Hijriyyah, Nabi SAW bersama orang-orang beriman mengepung perkampungan Yahudi Bani Qainuqa sehinggalah mereka kegerunan dan bersedia menerima hukuman dari Nabi SAW setelah dikepung selama dua minggu. Ketika ini tersingkaplah sikap sebenar golongan munafikin. Berdirilah ketua golongan munafik Madinah, Abdullah bin Ubai bin Salul membela teman karibnya orang-orang Yahudi yang berlaku biadan terhadap seorang wanita Muslimah dan membunuh seorang muslim, berkata: “Wahai Muhammad, bertindak baiklah terhadap Yahudi Qainuqa yang telah mengikat kesetiaan dengaku. Mereka telah berjanji setia dengan golongan khazraj.” Dia mengulang permintaannya ini namun tidak dipedulikan oleh Rasulullah SAW sehinggalah dia bertindak memasukkan tangannya ke leher bahu besi yang dipakai oleh Rasulullah dan mencekak baginda (Lihat Sirah Ibn Hisham). Demikianlah sikap golongan munafik yang sanggup menyokong golongan kafir yang jelas memulakan permusuhan dan perbalahan dengan umat Islam.

                     Antara perkara yang disebut oleh Ibn Kathir berlaku pada tahun 656H iailah perancangan jahat yang dilakukan oleh al-‘Alqami membantu Hulaku Khan (هولاكو خان) memerangi umat Islam Baghdad. Sebelumnya al-‘Alqami telah berusaha bersungguh-sungguh menggunakan jawatannya mengurangkan jumlah tentera Islam sehingga yang tinggal hanya sekitar 10 ribu tentera sahaja, menyebabkan negara Islam ketika itu tidak lagi dapat berdepan dengan kekuatan tentera Tatar sekitar 200,000 orang yang diketuai oleh Hulaku Khan. Tidak terhenti sekadar itu, al-‘Alqami juga telah menulis surat kepada Hulaku mendedahkan kelemahan yang ada di pihak tentera Islam. Kata Syeikh Islam Ibn Taimiyyah RH:

وكان وزير الخليفة ببغداد الذي يقال له ابن العلقمي منهم -أي من الرافضة- فلم يزل يمكر بالخليفة والمسلمين ويسعى في قطع أرزاق عسكر المسلمين وضعفهم، وينهى العامة عن قتالهم -أي التتار- ويكيد أنواعًا من الكيد

Maksudnya: “Seorang menteri kepada khalifah Baghdad yang digelar Ibn al-‘Alqami seorang syi‘ah rafidhah, berterusan merancang muslihat terhadap khalifah dan umat Islam. Dia berusaha memberhentikan saraan kepada para tentera Islam dan melemahkan mereka dan melarang umat islam memerangi Tatar, dia merancang berbagai tipu-daya (untuk menjatuhkan Islam).” (Minhaj al-Sunnah al-Nabawiah 5/155)  


Cetak  
Wallahu a'lam