Thursday, August 7, 2008
Kisah Harut dan Marut
Soalan :
Assalamu'alaikum warahmatullah Ustaz. Mintak penjelasan tentang kisah dua malaikat yang bernama Harut dan Marut. Benarkah mereka telah meminum arak, melakukan maksiat dan seterusnya kufur kepada ALLAH swt ?
Jawapan :
Kisah Harut dan Marut yang kononnya telah meminum arak seterusnya kufur kepada ALLAH swt adalah kisah dusta. Kisah ini disebut di dalam sebahagian kitab ketika menafsirkan ayat 102 dari surah al-Baqarah. Dr. Mohammad bin Muhammad Abu Syahbah di dalam bukunya "al-Israiliyyat wa al-Maudhu'aat fi Kutub al-Tafsir" (Kisah-kisah Israiliyyat dan palsu di dalam kitab-kitab tafsir) menyenaraikan kisah tersebut sebagai salah satu daripada kisah-kisah Israiliyyat (dari orang-orang Yahudi) yang termasuk ke dalam kitab-kitab umat Islam.
Beliau menyenaraikan beberapa ulama yang menghukum kisah tersebut sebagai palsu, antaranya al-Imam Abu al-Farj bin al-Jauzi, al-Syihab al-'Iraqi sehingga beliau mengatakan:
"Sesiapa yang beri'tiqad dalam kisah Harut dan Marut bahawasanya mereka berdua adalah malaikat yang diazab atas kesalahan mereka, maka orang itu kafir terhadap ALLAH yang maha agung.".
Demikian juga yang menolak kisah ini ialah al-Imam al-Qadhi 'Iyadh, al-Hafidz 'Imaduddin Ibn Kathir dan lain-lain.
Di dalam kisah asal cerita tersebut terdapat dailog yang menunjukkan dua malaikat tersebut membantah pengkhabaran ALLAH. Ketika ALLAH berkata kepada mereka: "Kalaulah aku uji kamu berdua dengan apa yang aku uji terhadap Bani Adam, pasti kamu berdua akan bermaksiat kepadaku." Lalu riwayat tersebut menyebut kononnya dua malaikat itu menjawab: "Kalaulah kamu lakukan kepada kami (dengan ujian tersebut) wahai tuhan, kami tidak akan menderhakai Mu."
Ungkapan ini menunjukkan bahawa dua malaikat ini telah membantah perkhabaran ALLAH swt. Perkara ini berlawanan dengan ayat al-Quran yang menceritakan sifat malaikat yang tidak menderhakai ALLAH dan sentiasa mematuhi arahanNYA.
ALLAH berfirman di dalam al-Quran:
لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يؤمرون
Maksudnya : "(Mereka para Malaikat) tidak menderhakai ALLAH atas apa yang diarahkan kepada mereka, dan mereka lakukan apa yang disuruh kepada mereka."
Membantah perkhabaran ALLAH adalah besar kesalahannya, ia boleh membawa kepada kafir. Ini adalah perkara yang mustahil dan berlawanan dengan sifat Malaikat yang disebut di dalam al-Quran. Kerana itu para ulama Hadith menolak dan menjelaskan bahayanya mempercayai cerita-cerita seumpama di atas.
Membantah perkhabaran ALLAH adalah besar kesalahannya, ia boleh membawa kepada kafir. Ini adalah perkara yang mustahil dan berlawanan dengan sifat Malaikat yang disebut di dalam al-Quran. Kerana itu para ulama Hadith menolak dan menjelaskan bahayanya mempercayai cerita-cerita seumpama di atas.
Dr. Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah di dalam bukunya tersebut telah menyebut tafsir yang sebenarnya terhadap ayat 102 dari surah al-Baqarah yang menyebut tentang Harut dan Marut itu. Sebenarnya sebab yang membawa turunnya ayat tersebut ialah apabila Syaitan-syaitan pada ketika dahulu boleh mencuri mendengar berita dari langit. Lalu mereka sampaikannya beserta tambahan kepada pendusta-pendusta yang terdiri daripada para dukun dan bomoh Yahudi yang menulisnya di dalam kitab-kitab mereka, lalu mereka mengajarkannya kepada manusia. Sehinggalah pada zaman Nabi Sulaiman orang menganggap ilmu tersebut adalah dari Nabi Sulaiman. Lalu pendeta-pendeta Yahudi mendakwa dengan ilmu tersebutlah Nabi sulaiman dapat menundukkan insan, jin dan angin yang mengikut perintahnya. Inilah perangai Yahudi yang sentiasa mempersendakan para Nabi as dengan pembohongan-pembohongan mereka. Kerana itu ALLAH berfirman:
وما كفر سليمان و لكن الشياطين كفروا يعلمون الناس السحر
Maksudnya : "Dan tidaklah Sulaiman itu kafir, akan tetapi para syaitanlah yang kafir, mereka mengajarkan manusia akan sihir." (al-Baqarah - 102)
Lalu sambungan ayat di atas ALLAH berfirman :
و ما أنزل على الملكين ببابل هاروت و ماروت
Maksudnya : "Dan tidaklah diturunkan kepada dua Malaikat di Babil, Harut dan Marut... " (hingga akhir ayat)
Yang dimaksudkan apa yang diturunkan kepada dua malaikat di dalam ayat tersebut ialah ilmu sihir yang diturunkan melalui mereka supaya mereka ajarkan kepada manusia bertujuan untuk manusia dapat membezakan antara sihir dan mukjizat Nabi Sulaiman. Maka apa yang berlaku kepada Nabi Sulaiman itu bukanlah sihir akan tetapi mukjizat kenabian daripara ALLAH swt. Dua malaikat tersebut iaitulah Harut dan Marut telah mengingatkan manusia terhadap sihir tersebut, ALLAH berfirman :
و ما يعلمان من أحد حتى يقولا إنما نحن فتنة فلا تكفر
Maksudnya : "Dan tidak mereka berdua (Harut dan Marut) mengajarkan seseorang manusiapun melainkan mereka berdua berkata : "Sesungguhnya kami ujian (atas kamu semua), maka janganlah kamu kufur."
Inilah secara ringkas yang dapat saya petik daripada buku tulisan Dr. Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah tersebut. Ia jelas tidak ada kaitan langsung dengan kisah dua Malikat yang kufur dengan ALLAH. Ia sekaligus menunjukkan betapa berbezanya penafsiran yang sebenarnya dengan cerita-cerita Israiliyyat kaum Yahudi. Semoga ALLAH menjauhkan kita dari tipu daya mereka.