Apakah Nabi Ibrahim AS Sezaman Dengan Nabi Lut AS?

 

Waalaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh

Soalan dari Tina:

Adakah Nabi Ibrahim sezaman dengan Nabi Luth Alaihissalam, cuma tempat tinggal sahaja berlainan? maknanya dua nabi pada satu zaman?

Jawapan:

Ya, Nabi Ibrahim dan Nabi Luth adalah dua nabi diutuskan pada satu zaman. Bahkan jika kita tengok al-Imam Ibnu Katsir di dalam kitab beliau al-Bidayah wa al-Nihayah, ketika menerangkan biografi Nabi Luth Alaihissalam, ataupun ketika menceritakan kisah yang berlaku di zaman Nabi Ibrahim Alaihissalam, antaranya itulah kisah Nabi Luth. al-Imam Ibnu Katsir menyatakan nama Nabi Luth iaitulah Luth bin Haran bin Tarah لوط بن هاران بن تارح. Tarah ini adalah Azar (آزر), itulah bapak Nabi Ibrahim. Kerana itu al-Imam Ibnu Katsir mengatakan Luth ini adalah anak saudara kepada Nabi Allah Ibrahim.

Nabi Luth ialah Luth bin Haran bin Tarah. Tarah ini adalah Azar, bapa kepada Nabi Ibrahim. Manakala Haran adalah adik-beradik Nabi Ibrahim. Jadi apabila Luth adalah anak kepada Haran, maka Nabi Luth adalah anak saudara kepada Nabi Allah Ibrahim berdasarkan kenyataan atau penjelasan yang disebut oleh al-Imam Ibn Katsir di dalam al-Bidayah wa al-Nihayah, dan Ibn Katsir juga menyatakan bahawasanya Nabi Luth berhijrah bersama dengan Nabi Ibrahim dan berpindah ke satu tempat atau satu kota yang bernama kota Sadum (سدوم) dan perpindahan baginda Nabi Luth ke Sadum dengan keizinan dan sebenarnya merupakan perintah dari Nabi Ibrahim Alaihissalam juga, kerana melaksanakan tugas dakwah terhadap kaum yang telah tersesat jauh, iaitulah kita semua tahu kaum yang melakukan perbuatan sumbang yang dilakukan oleh kaum Nabi Luth.

Jadi ringkasnya, Nabi Ibrahim dan Nabi Luth adalah diutuskan pada satu zaman yang sama. Perkara ini tak pelik kerana Nabi Musa juga se zaman dengan Nabi Harun. Bahkan mereka adik-beradik. Kedua-duanya diutuskan Allah kepada kaum Bani Israel.


Cetak  
Wallahu a'lam