Pengembaraan Untuk Memastikan Hadis

Ibn Juraij berkata: "Aku mendengar Abu Sa'ad al-A'ma أبو سعد الأعمى menceritakan daripada 'Atho' bin Abi Rabah عطاء بن أبي رباح yang berkata: "Abu Ayyub (al-Ansori) keluar (dari Madinah) pergi kepada 'Uqbah bin 'Amir yang berada di Mesir untuk bertanyakan satu hadis yang beliau mendengarnya dari Rasulullah SAW. Tiada lagi yang mendengar hadis tersebut dari Rasulullah SAW selain beliau (Abu Ayyub al-Ansori) dan 'Uqbah bin 'Amir. Ketika mana Abu Ayyub sampai di Mesir, beliau pergi ke rumah Maslamah bin Mukhallad al-Ansora مسلمة بن مخلد الأنصاري yang merupakan pemerintah di sana. Lalu diberitahu kepada Maslamah akan kehadiran Abu Ayyub. Dengan tergesa-gesa Maslamah keluar menemui Abu Ayyub dan segera memeluknya seraya berkata: 

ما جاء بك يا أبا أيوب

maksudnya: "Apa yang menyebabkan kamu datang ke sini wahai Abu Ayyub?" Jawab Abu Ayyub: 

حديث سمعته من رسول الله صل الله عليه وسلم، لم يبق أحد سمعه من رسول الله صلى الله عليه وسلم غيري وغير عقبة، فابعث من يدلني على منزله

maksudnya: "(Kerana) satu hadis yang aku pernah mendengarnya dari Rasulullah SAW. Tiada seorangpun lagi yang masih hidup yang mendengar hadis ini dari Rasulullah SAW, melainkan aku dan 'Uqbah. Maka tolong berikan seseorang yang dapat menunjukkan kepadaku rumah 'Uqbah"

Lalu diutuskan kepadanya seorang yang dapat menunjukkan rumah 'Uqbah. Berita kehadiran Abu Ayyub ke Mesir untuk mencari 'Uqbah, diceritakan kepada 'Uqbah. Lalu beliau segera keluar bagi berjumpa dengan Abu Ayyub. Sebaik sahaja berjumpa dengan Abu Ayyub, 'Uqbah segera memeluknya seraya bertanya: "Apa yang menyebabkan kamu datang ke sini wahai Abu Ayyub?" Jawab Abu Ayyub: 

حديث سمعته من رسول الله صل الله عليه وسلم، لم يبق أحد سمعه من رسول الله صلى الله عليه وسلم غيري وغيرك في ستر المؤمن

maksudnya: "(Kerana) satu hadis yang aku pernah mendengarnya dari Rasulullah SAW. Tiada seorangpun lagi yang masih hidup yang mendengar hadis ini dari Rasulullah SAW, melainkan aku dan engkau tentang menutup keaiban seorang yang beriman." Lalu segera disahut oleh 'Uqbah dengan berkata: 

نعم، سمعته رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول:

من ستر مؤمنا في الدنيا على خُرْبَةٍ، ستره الله يوم القيامة

maksudnya:  "Ya, aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang menutup keaiban seorang beriman di dunia. Allah akan menutup keaibannya di hari kiamat." Lalu ABu Ayyub berkata kepada 'Uqbah: "Benar apa yang kamu katakan." Kemudian Abu Ayyub berpaling dan pergi menuju ke tunggangannya, lalu menaikinya untuk pulang ke Madinah. Beliau tidak mendapat apa-apa anugerah dari Maslamah bin Makhallad melainkan dapat bertemu dengannya di 'Arisyh Mesir (عريش مصر). (al-Humaidi di dalam Musnadnya meriwayatkan kisah ini dengan panjang. Ini berdasarkan lafaz darinya. al-Khatib juga meriwayatkan kisah ini di dalam al-Rihlah Fi Talab al-Hadith dan Ahmad di dalam Musnadnya meriwayatkan secara ringkas. Kata  Nur al-Din 'Itr dalam tahkiknya kepada kitab al-RIhlah oleh al-Khatib: "Dalam sanad hadis ini ada Abu Sa'ad al-Makki al-A'ma, (beliau) seorang majhul yang tidak meriwayatkan darinya melainkan Ibn Juraij. Akan tetapi hadis ini dikuatkan dengan keberadaan dari bentuk periwayatan yang terlalu banyak, yang setiap satu riwayatnya tidak sunyi dari kecacatan kritikan, akan tetapi ia kuat dan naik kepada darjat Hasan. Dimaksudkan dengan خربة iaitulah menutup keburukan dan kemaksiatan yang dilakukannya dan tidak disebarkan. Lihat A'lam al-Huffadz wa al-Muhaddithin 'Abr Arba'ata 'Asyara Qarnan oleh 'Abd al-Sattar al-Syeikh 2/39. Selain itu terdapat perbezaan riwayat, sebahagian mengatakan yang menempuh pengembaraan itu adalah 'Uqbah bukan Abu Ayyub. Namun al-Khatib menjazamkan yang melakukan pengembaraan adalah Abu Ayyub RA)

 


Cetak  
Wallahu a'lam