Kelahiran Nabi SAW

Tahun 53 Sebelum Hijrah Bersamaan Tahun 571 Masihi

Ahli sirah dan sejarah berbeza pandangan dalam menentukan hari dan bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW. Namun mereka bersepakat baginda SAW dilahirkan pada hari Isnin, Tahun Gajah (عامِ الفيلِ). Kata Ibn al-Qayyim: "Tiada perbezaan bahawa baginda SAW dilahirkan di tengah kota Mekah dan baginda dilahirkan pada Tahun Gajah." Daripada Ibn Abbas RA yang berkata: 

وُلِدَ رسولُ الله صلى الله عليه وسلم عامَ الفيلِ

maksudnya: "Rasulullah SAW dilahirkan pada Tahun Gajah." Perkara ini tiada sebarang keraguan di kalangan seorang ulama pun, sehinggakan Khalifah bin Khayyath (خليفةُ بنُ خيَّاط), Ibn al-Jazzar (ابنُ الجزَّار), Ibn Dihyah (ابنُ دِحيةَ) dan Ibn al-Jauzi (ابنُ الجوزيِّ) antara ulama yang  menukilkan telah berlaku ijmak dalam perkara ini.

Kelahiran baginda SAW pada hari Isnin pula berdasarkan hadis sabit yang diriwayatkan daripada Abi Qatadah (أبي قَتادةَ الأنصاريِّ) RA yang berkata: 

سُئل صلى الله عليه وسلم  عن صومِ يومِ الاثنينِ؟ قال: "ذاكَ يومٌ وُلدتُ فيهِ، ويومٌ بُعثتُ أو أُنزلَ عليَّ فيهِ

maksudnya: "Pernah ditanya kepada baginda SAW tentang puasa pada hari Isnin. Baginda menjawab: "Hari tersebut (hari Isnin) adalah hari daku dilahirkan dan pada hari itu daku diangkat menjadi Nabi dan diturunkan wahyu kepadaku pada hari tersebut." 

Ibn Kathir RH berkata: "Amat jauh (dari kebenaran) bahkan tersilap sesiapa yang berkata baginda dilahirkan pada hari Jumaat 17 Rabi' al-Awwal." 

Ibn Ishak meriwayatkan dari sekumpulan sahabat Nabi SAW yang pernah bertanya kepada baginda: 

يا رسولَ الله، أخبرنا عن نَفسِك. قال: (نعمْ، أنا دعوةُ أبي إبراهيمَ، وبُشرى عيسى، ورأتْ أمِّي حين حملتْ بي أنَّه خرج منها نورٌ أضاءَ لها قُصورَ الشَّام

maksudnya: "Wahai Rasulullah, ceritakan kepada kami tentang dirimu. Lalu baginda bersabda: "Baik, daku  membawa dakwah yang sama dengan moyangku Ibrahim (AS), perkhabaran gembiran Isa (AS). Dan ibuku ketika hamilkan daku, dia telah melihat telah keluar darinya cahaya yang menerangi sehingga ibuku dapat melihat istana raja Sham." Berkata al-Albani:"Isnadnya Jayyid dan Qawiy."  

Baginda SAW dilahirkan setelah bapa baginda Abdullah meninggal dunia dan baginda masih di dalam kandungan ibu baginda, Aminah. baginda dibesarkan sebagai seorang yatim dan baginda dilahirkan di rumah bapa saudara baginda Abu Talib, di perkampungan Bani Hashim (بني هاشمٍ). 


Cetak  
Wallahu a'lam