Soalan:
salam,
apakah benar imam ahmad bin hanbal pernah solat 300 rakaat seperti hadis berikut? "Beliau adalah seorang yang sangat kuat ibadahnya. Putra beliau yang bernama Abdullah menceritakan tentang kebiasaan ayahnya: ” Dahulu ayahku shalat sehari semalam sebanyak 300 rakaat. Dan tatkala kondisi fisik beliau mulai melemah akibat pengaruh dari penyiksaan yang pernah dialaminya maka beliau hanya mampu shalat sehari semalam sebanyak 150 rakaat.”
Jawapan:
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
Sememangnya ada diriwayatkan hal ini antaranya oleh al-Imam Abu Nu'aim alAsfahani di dalam alHilyah 9/181 daripada Abdullah bin Ahmad bin Hambal yang berkata:
كان أبي يصلي في كل يوم وليلة ثلاثمائة ركعة ، فلما مرض من تلك الأسواط أضعفته ، فكان يصلي في كل يوم وليلة مائة وخمسين ركعة وكان قرب الثمانين
Maksudnya: "Dahulunya bapaku akan menunaikan solat setiap sehari semalam sebanyak 300 rakaat, ketikamana beliau sakit disebabkan penyiksaan yang melemahkannya, beliau menunaikan solat pada setiap sehari semalam sebanyak 150 rakaat, ketika itu usia beliau hampir mencecah 80 tahun."
Kisah-kisah sebegini dari para Imam seperti al-Imam Ahmad bukanlah suatu yang pelik. Kisah yang sama dinukilkan oleh alZahabi di dalam Tazkirah alHuffaz 4/113 berkenaan al-Imam 'Abd alGhaniy alMaqdisi yang juga menunaikan solat sebanyak rakaat yang ditunaikan oleh Imam Ahmad. Beliau membaca dalam setiap rakaat selepas alFatihah, surah alFalaq dan alNas, bagi tujuan membanyakkan sujud, kerana membanyakkan sujud adalah lebih afdhal berbanding solat berdiri lama dan kurang sujud berdasarkan pandangan yang masyhur dalam kalangan sebahagian ulama Salaf.
Sebahagian ulama ada yang berpandangan kisah-kisah sebegini menceritakan keadaan mereka ketika beriktikaf, atau pada 10 hari akhir bulan Ramadhan, atau ketika mereka dipenjara dan seumpamanya.