Umar bin 'Abd alAziz pernah menghantar seorang utusan kepada penguasa Rom di zamannya. Lalu utusan itu mendatangi penguasa Rom, seterusnya keluar meninjau.
Tiba-tiba dia melalui satu tempat, terdengar di dalamnya suara seorang lelaki membaca alQuran dan sedang mengisar tepung. Dia segera mendatangi lelaki itu dan memberi salam. Namun salamnya itu tidak dijawab oleh lelaki tersebut, dua kali atau tiga kali. Dia terus memberi salam. Lalu lelaki itu berkata:
"Di manakah keselamatan di negeri ini?"
Lalu utusan itu memperkenalkan diri yang dia adalah utusan dari 'Umar bin 'Abd alAziz kepada penguasa Rom, dan bertanya: "Apa yang terjadi kepadamu?"
Lelaki itu menjawab: "Aku telah ditawan (dalam satu peperangan) pada satu tempat demikian dan demikian. Lalu aku dibawa kepada penguasa Rom ini, dan dia menawarkan kepadaku agama Kristian, namun aku enggan. Lalu dia berkata kepadaku:
"Jika kamu tidak mahu memeluk Kristian, kedua-dua matamu akan dicungkil dengan besi panas. Maka aku memilih untuk tetap dalam agamaku (Islam) berbanding penglihatanku. Lalu dia mencungkil dua mataku dan meletakkan aku di tempat ini. Dia akan berikan kepadaku setiap hari gandum untuk aku kisar menjadi tepung dan roti untuk dimakan."
Kembalilah utusan tersebut kepada 'Umar bin 'Abd alAziz dan menceritakan kisah lelaki itu. Utusan itu berkata: "Tidaklah aku menghabiskan cerita itu, melainkan aku melihat air mata 'Umar bercucuran. Dengan segera dia mengarahkan ditulis surat kepada raja Rom:
أما بعد: فقد بلغني خبر فلان بن فلان فوصف له صفته،
"Amma ba'd: sesungguhnya telah sampai kepadaku berita tentang seorang lelaki fulan bin fulan." 'Umar menyebut ciri-ciri lelaki itu.
وأنا أقسم بالله لئن لم ترسله إلي لأبعثنَّ إليك من الجنود جنوداً يكون أولها عندك وأخرها عندي.
"Aku bersumpah dengan nama Allah, jika kamu tidak bebaskan dan serahkannya kepadaku, aku akan mengutuskan sekumpulan tentera memerangimu, ketika barisan yang paling hadapan sampai kepadamu, barisan yang paling akhir masih berada di sisiku."
Apabila utusan itu kembali semula kepada penguasa Rom, lalu segera menyerahkan surat 'Umat bin 'Abd alAziz kepadanya. Apabila raja Rom membacanya, dia berkata:
"Kami tidak akan berperang dengan seorang pemimpin yang soleh ('Umar bin 'Abd alAziz) atas perkara ini. Bahkan kami akan menyerahkan tawanan itu kepadanya."
Kata utusan itu: "Aku bermukim di situ (Rom) beberapa hari, menunggu hari penguasa Rom hendak membebas dan menyerahkan tawanan itu kepadaku. Satu hari aku pergi berjumpanya (penguasa Rom). Ketika itu dia sedang duduk di singgahsananya dengan wajah yang sedih seraya berkata: "apakah kamu tahu kenapa aku begini?" Jawab utusan itu: "Tidak, sebaliknya aku berasa hairan dengan apa yang aku lihat sekarang ini."
Jawab penguasa Rom: "sesungguhnya telah sampai berita kepadaku dari sebahagian orangku, bahawa pemimpin yang soleh ('Umar bin 'Abd alAziz) telahpun meninggal dunia. Kerana itu aku sebegini."
Seterusnya dia berkata: "sesungguhnya seorang lelaki yang baik, jika bersama dengan satu kaum yang buruk, dia tidak akan tinggal lama bersama mereka melainkan dia akan pergi."
Lalu aku (utusan itu) berkata kepadanya: "Apakah kamu izinkan aku untuk pulang - ketika itu aku telah putus harapan dari dia serahkan tawanan itu kepadaku - Tiba-tiba dia (penguasa Rom) berkata:
"Bukanlah kami orang yang telah memenuhi permintaannya ('Umar bin 'Abd alAziz) ketika beliau hidup, kemudian menarik semula permintaannya setelah dia meninggal dunia."
Lalu penguasa Rom itu menyerahkan tawanan tersebut kepada utusan 'Umar bin 'Abd alAziz untuk dibawa pulang.
Sirah 'Umar bin 'Abd alAziz oleh Ibn 'Abd alHakam 168.