Soalan:
Pernahkah Nabi SAW membunuh seseorang dari kalangan musuh baginda?
Jawapan:
Ya, baginda SAW telah membunuh seorang lelaki musyrik yang bernama Ubai bin Khalaf dalam peperangan Uhud setelah Ubai mencari-cari baginda untuk membunuh baginda, sambil dia berkata: “Aku tidak akan terlepas bebas jika dia (Muhammad SAW) bebas.”
Kata ‘Abd al-Razzaq di dalam Musannafnya:
“Adapun Ubai bin Khalaf katanya: “Demi Allah aku pasti akan membunuh Muhammad.” Perkataanya itu sampai ke pengetahuan Rasulullah SAW, baginda bersabda: “Bahkan aku yang akan membunuhnya, InsyaAllah.” Kata ‘Abd al-Razzaq: “Seorang lelaki yang mendengar perkataan Nabi SAW tersebut berlalu dan pergi menemui Ubai bin Khalaf dan dikatakan kepadanya: “Ketika dikhabarkan kepada Muhammad apa yang engkau (Ubai bin Khalaf) katakana, beliau (Muhammad SAW) berkata: “Bahkan aku yang akan membunuhnya, Insyaallah.” Perkhabaran itu menyebabkan Ubai bin Khalaf ketakutan dan berkata: “Kamu bersumpah dengan Nama Allah yang kamu benar-benar mendengar dia berkata sedemikian?” lelaki itu menjawab: “Ya!” lalu berita itu memberi kesan kepada dirinya, kerana mereka semua (orang-orang Quraisy) tidak pernah mendengar Rasulullah SAW mengucapkan sesuatu melainkan perkara itu benar. Pada hari peperangan Uhud, Ubai bin Khalaf keluar ke medan perang bersama dengan orang-orang muysrikin lainnya. Ubai mencari-cari peluang baginda dalam keadaan lalai untuk bertindak ke atas baginda. Tiba-tiba seorang lelaki dari kalangan muslimin menghalang Ubai dengan Nabi SAW. Apabila Rasulullah melihat keadaan itu, baginda bersabda: “Biarkan dia.” Lalu baginda mengambil sebilah senjata dan menikamnya – ada juga yang berkata: baginda membalingnya dan tepat mengenai bahagian bawah lehernya, di bawah pelindung lehernya di bahagian atas baju besinya. Darah tidak banyak keluar dan kesemuanya terhimpun di bahagian lehernya, menjadikan dia berteriak seperti teriak seekor lembu. Kawan-kawannya datang dan memikulnya dalam keadaan dia berteriak . mereka berkata: “kenapa ini? Demi Allah tiada apa denganmu melainkan toresan.” Lalu Ubai bin Khalaf berkata: “Demi Allah, jika tidak kena kepadaku melainkan air liurnya, pasti sudah cukup untuk membunuhku. Bukankah dia (Muhammad SAW) telah berkata: “Aku akan membunuhnya (Ubai bin Khalaf), Insyaallah?” setelah berlalu sehari diapun mati dan termasuk dari kalangan ahli neraka.”
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata: “Nabi SAW adalah manusia yang paling sempurna dalam keberanian yang amat diperlukan bagi seseorang pemimpin perang. Baginda tidak pernah membunuh seorangpun dengan tangan baginda sendiri melainkan Ubai bin Khalaf, yang dibunuh baginda dalam peperangan Uhud yang baginda tidak pernah membunuh seorang lain sebelum atau selepasnya sama sekali.” (Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah)
Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya daripada Ibn Mas’ud:
Maksudnya: “Sesungguhnya manusia yang paling dahsyad diazab pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang dibunuh oleh Nabi atau membunuh seorang Nabi, pemimpin kesesatan dan pembuat berhala.” (HR Ahmad dan dinilai Hasan oleh al-Arnaut)