Kisah Mimpi Pelik Diceritakan Oleh Ibn Kathir di Dalam Tafsirnya

 

Ibn Kathir sebut satu kisah di dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Quran al-‘Azim, satu cerita yang pelik. Iaitulah kisah seorang lelaki hamba, cerita ini Ibn Kathir sebut ketika menafsirkan ayat al-Quran:

أَيْنَمَا تَكُونُواْ يُدْرِككُّمُ ٱلْمَوْتُ وَلَوْ كُنتُمْ فِى بُرُوجٍۢ مُّشَيَّدَةٍۢ

Maksudnya: “Di mana jua kamu berada, maut pasti akan mendatangi kamu, sekalipun kamu berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh.” (al-Nisa’: 78)

Ibn Kathir cerita kisah seorang lelaki yang merupakan hamba kepada satu keluarga kaya. Di mana isteri tuannya sedang mengandung. Pada satu malam, si hamba tersebut bermimpi, isteri tuannya itu akan melahirkan anak yang sedang dikandung itu, seorang anak perempuan. Anak itu pula apabila membesar, menjadi seorang gadis yang cantik, dan dia akan berzina dengan 100 orang lelaki dan akhirnya wanita itu akan berkahwin dengan dia, iaitulah dengan lelaki hamba yang bermimpi itu. Dan wanita itu pula akan mati disebabkan disengat oleh labah-labah.

Apabila isteri tuannya melahirkan anak, ternyata anak yang dilahirkan adalah anak perempuan. Bimbang mimpi itu akan menjadi kenyataan, si hamba itu mengambil pisau dan menikam anak yang baru sahaja dilahirkan itu. Setelah itu dia segera melarikan diri jauh dari kampungnya itu.   

Setelah berlalu tempoh yang lama, si hamba itu pun, setelah berusaha, dia berjaya menjadi seorang lelaki yang kaya-raya. Tibalah masa untuk dia mendirikan rumah tangga. Dia mengambil keputusan untuk pulang semula ke kampung halamannya untuk berkahwin. Dia meminta seorang wanita tua di kampungnya itu untuk mencarikan calon isteri yang sesuai untuknya. Maka wanita tua itu mendapatkan seorang wanita yang paling cantik di kampung tersebut. Berkahwinlah lelaki itu dengan wanita yang dicarikan untuknya itu.

Pada malam hari ketika ingin bersama dengan isterinya, si lelaki mendapati terdapat parut di perut isteri yang baru dikahwininya itu, kesan dari luka yang parah, seperti ditikam. Lelaki itu benar-benar terkejut dan dia segera bertanya kepada isterinya, minta supaya isterinya menceritakan asal-usul kisah, sehingga ada kesan parut yang parah sebegitu.

Maka siisteri bercerita kisahnya yang asalnya dari keluarga yang kaya. Ayah dan ibunya dahulu ada seorang hamba lelaki. Apabila ibunya melahirkan anak perempuan, hamba lelaki itu menikam perut bayi perempuan yang baru dilahirkan itu, dan si hamba segera melarikan diri entah ke mana. Namun dengan kuasa Allah, bayi perempuan yang malang itu tidak meninggal dunia disebabkan tikaman pisau tersebut dan dia terus membesar. Bayi perempuan itu adalah aku. kata si isteri.

Terkejutlah lelaki itu dan segera bertanya: “Cuba kamu berterus terang dengaku, apakah kamu ada melakukan zina? Jawab isterinya, setelah melihat seperti ada sesuatu rahsia yang diketahui oleh suaminya: “ya, aku pernah berzina sebelum ini.” Tanya si suami lagi: “Kamu pernah berzina dengan 100 orang lelaki?” Jawab isterinya: “Aku tak ingat, tetapi lebih kurang jumlah itulah.”

Jawab sisuami, sebenarnya hamba kepada ibu dan bapamu dan yang menikam kamu itu adalah aku. Sesungguhnya tindakan aku menikam kamu adalah disebabkan aku bimbang mimpiku menjadi kenyataan. Lalu si lelaki menceritakan mimpi yang dilihatnya kepada si isteri dan memberitahu, semua mimpi yang dibimbanginya itu berlaku satu-persatu. Cuma yang belum berlaku ialah si isterinya akan meninggal dunia disebabkan sengatan labah-labah.

Disebabkan terlalu sayangkan isterinya. Sisuami berusaha membina rumah yang cantik lagi besar dan menutup semua lubang yang ada, bagi memastikan tiada labah-labah yang boleh masuk ke dalam rumahnya.

Pada suatu hari, ketika sisuami keluar dari rumah, seekor labah-labah masuk ke dalam rumahnya. Apabila si isteri ternampak labah-labah tersebut, dengan geram si isteri berkata: “Apakah kamu ini yang akan membunuh aku? Sedangkan kamu begitu lemah dan hina.” Lalu si isteri dengan segera mengangkat kaki dan menghentakkan tumitnya ke atas labah-labah tersebut. tanpa disangka, labah-labah itu adalah dari kumpulan labah-labah yang berbisa, lalu dengan segera bisanya masuk ke dalam tubuh si isteri, sehingga menyebabkan si isteri meninggal dunia. Sedihlah lelaki tersebut, semua yang berlaku sama seperti mimpi yang dilihatnya di dalam tidurnya.

Siapa yang menceritakan kisah ini? iaitulah al-Imam Ibn Kathir RH di dalam tafsirnya Tafsir al-Quran al-‘Azhim. Ibn Kathir juga menyatakan sanad cerita ini adalah sahih.


Cetak  
Wallahu a'lam