Ciptaan Manusia Pertama Nabi Adam AS
Makhluk pertama yang diciptakan oleh ALlah SWT adalah 'Arasy. Setelah berlalu beberapa tempoh, ALlah menciptakan al-Qalam. ALlah SWT memerintahkan al-Qalam dengan firman-Nya: اكتب "tulislah." Jawab al-Qalam: "Apa yang perlu daku tuliskan wahai tuhan?" Firman Allah SWT kepadanya: "Tulislah setiap yang akan berlaku sehingga terjadinya hari kiamat."
Ini menunjukkan setiap sesuatu yang akan berlaku, dicatit dan tertulis sejak 50,000 tahun sebelum terciptanya bumi seperti yang dinyatakan di dalam hadis yang sahih.
Setelah itu ALlah menciptakan langit, bumi, matahari, bulan dan gunung-ganang, lautan dan sungai dan segala yang ada antara langit dan bumi. Penciptaan semua ini berlaku dalam tempoh enam hari. Setelah itu diciptakan jin. Namun jin melakukan kerosakan di atas muka bumi. Mereka menumpahkan darah sesama mereka, melakukan kerosakan di muka bumi, sehingga para malaikat turun ke bumi dan mengenakan hukuman ke atas mereka. Ada di kalangan mereka yang dikurung di mana-mana sudut di lautan.
Setelah itu Allah menciptakan makhluk yang baharu. Firman ALlah SWT:
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ
Maksudnya: "Dan ketika Tuhan kamu berfirman kepada para malaikat: "Sesungguhnya Aku akan menciptakan khalifah di muka bumi."
Lalu para malaikat ingin tahu, apakah makhluk baharu yang akan diciptakan ini akan melakukan perkara yang sama seperti perlakuan jin di muka bumi? melakukan kerosakan, pertumpahan darah dan akan merosakkan bumi? Pertanya para malaikat ini dirakamkan oleh ALlah SWT di dalam al-Quran dengan firman-Nya:
قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ
Maksudnya: "Mereka (para malaikat) berkata: "apakah Dikau akan menciptakan di atas muka bumi itu makhluk yang masih akan melakukan kerosakan dan menumpahkan darah di atasnya? namun kami para malaikat sentiasa bertasbih dan memuji dan mensucikan-Mu."
Allah SWT menjawab soalan malaikat dengan firman-Nya:
قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya: "Firman ALlah: "Sesungguhnya Aku lebih mengetahui apa-apa yang tidak kamu semua ketahui." (al-Baqarah: 30)
Para malaikat tidak mengetahui, bahawa dalam kalangan makhluk baharu yang dinamakan manusia ini, akan ada yang menjadi Nabi dan Rasul, ada yang akan menjadi syuhada' kerana mempertahankan kemuliaan ALlah SWT, ada yang mencapai tahap para siddiqun, dan kekasih ALlah SWT. Mereka ada makhluk baharu yang akan mengimarahkan bumi dengan pengibadatan kepada ALlah SWT.