Nasab Nabi SAW & Asal Nama Quraisy

Nasab baginda Nabi SAW, nama baginda Muhammad bin Abdillah bin 'Abd al-Mutallib عَبْدِ المُطَّلِبِ (nama 'Abd al-Muttalib ialah Syaibah) bin Hashim هاشم (nama Hashim ialah 'Amr عمرو) bin 'Abd Manaf (nama 'Abd Manaf ialah al-Mughirah) bin Qusyai قصي (nama Qusyai ialah Zaid) bin Kilab كِلاَبِ bin Murrah مُرَّةَ bin Ka'ab كَعْبِ bin Lu-aiy لُؤَيِّ bin Ghalib غَالِبِ bin Fihrin فِهْرِ bin Malik bin al-Nadhar النضر bin Kinanah كنانة bin Khuzaimah خزيمة bin Mudrikah مدركة (nama Mudrikah ialah 'Amir عامر) bin Ilyas إِلْيَاسَ bin Mudhar مُضَرَ bin Nazar نزَارِ bin Ma'addin مَعَدِّ bin 'Adnan عدنان.  

Adnan ini dari Ismail bin Ibrahim AS dengan sepakat semua para ulama. 

Para ulama berbeza pandangan antara Adnan dengan Nabi Ismail ada berapa nama. Ada di kalangan ulama yang  mengata terdapat tujuh nama lagi, ada yang kata sembilan, ada yang kata 15 nama, bahkan ada pandangan yang kata ada 40 nama. Selain itu mereka juga berbeza dalam menentukan nama-nama tersebut 

Abu 'Umar Ibn 'Abd al-Barr berkata: 

"Berdasarkan para imam dalam bidang ini, beliau ('nasab Adnan) ialah:

 عَدْنانُ بْنُ أُدَدِ بْنِ مُقَوِّمِ بْنِ ناحُورَ بْنِ تَيْرَحِ بْنِ يَعْرُبَ بْنِ يَشْجُبَ بْنِ نابِتِ بْنِ إسْماعِيلَ بْنِ إبْراهِيمَ الخَلِيلِ بْنِ آزَرَ واسْمُهُ تارَحُ بْنُ ناحُورَ بْنِ سارُوغَ بْنِ راغُو بْنِ فالَخَ بْنِ عَيْبَرَ بن شالخ بن أَرْفَخْشَذ بن سام بن نُوحٍ -عَلَيْهِ السَّلامُ- بْنِ لَمَّكِ بْنِ مَتُّوشَلَخَ بن خنوخ، وهو إدريس -عليه السلام- بن يَرْدَ بْنِ مِهْلِيلَ بْنِ قَيْنَنَ بْنِ يانِشَ بْنِ شِيثَ بْنِ آدَمَ أبِي البَشَرِ -عَلَيْهِ السَّلامُ

'Adnan bin Udad bin Muqawwim bin Nahur bin Tairah bin Ya'rub bin Yasyjub bin Nabit bin Ismail bin Ibrahim al-Khalil bin Azar, namanya Tarah bin Nahur bin Sarugh bin Raghu bin Falakh bin 'Aibar bin Syalikh bin Arfakhsyaz bin Sam bin Nuh AS bin Lammak bin Mattusyalakh bin Khanukh, iaitulah Idris AS bin Bard bin Mihlil bin Qainan bin Yanisy bin Syith bin Adam, bapa manusia AS.  Inilah yang dipegang oleh Muhammad bin Ishak di dalam kitab sirahnya. Namun kata Ibn Sa'ad: "Sepatutnya kita diam (tidak membicarakan) nama siapa selepas 'Adnan sehingga ke Ismail." (Lihat al-Siyar oleh al-Zahabi 1/143-145)

Kata Ibn Hibban RH:

نسبة رسول الله صلى الله عليه وسلم تصح إلى عدنان، وما وراء عدنان فليس عندي فيه شيء صحيح أعتمد عليه

maksudnya: "Nasab Rasulullah SAW sahih sehingga 'Adnan. Adapun selepas 'Adnan tiada di sisiku sesuatu yang sahih yang dapat aku berpegang kepadanya." (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah Wa Akhbar al-Khulafa' 1/39)

Adapun Quraisy, para ulama berbeza pandangan sebab penamaannya dan siapa orang pertama yang diberi nama Quraisy. Kata Muhammad bin Ka'ab bin Salim al-Qaradzi, seorang tabi'ie: "Dinamakan Quraisy sebagai Quraisy kerana perkumpulan semula mereka setelah mereka berpecah dan berselerak." Kata Muhammad bin Salam: "Ketika mana Qusyai menghimpunkan semula kabilah Mudhar dan memerangi Khuza'ah yang akhirnya mereka berjaya menguasai tanah haram, maka mereka dinamakan sebagai Quraisy disebabkan kesatuan mereka semula." Ada juga yang berpandangan selain dari ini.

Kata al-Sya'bi: "al-Nadhar bin Kinanah adalah Quraisy. Beliau dinamakan sebagai Quraisy kerana beliau memerhatikan kekurangan dan keperluan ornag ramai, lalu menampungnya dengan hartanya sendiri. Maka al-Taqrisy التقريش adalah al-Taftish التفتيش. Anak-anaknya juga mencari dan memerhatikan orang ramai di musim haji dan memberi bekalan kepada mereka semua. Lalu mereka diberi nama Quraisy dengan sebab perbuatan mereka tersebut." 

 Terdapat riwayat daripada Ibn 'Abbas yang pernah ditanya  mengapa Quraisy dinamakan dengan Quraisy? Beliau menjawab berdasarkan al-Qirsy القِرْش iaitulah haiwan lautan yang memakan haiwan lautan yang lain. Ada juga yang mengatakan al-Qirsy adalah ketua haiwan laut, demikian itulah Quraisy yang memimpin orang ramai di Mekah. (lihat Nihayah al-Arab Fi Funun al-Adab 16/17) 


Cetak  
Wallahu a'lam