SDI 0664: Cerita Sayyidina 'Umar alKhattab Tanam Anak Perempuannya Hidup-Hidup Adalah PALSU

Soalan:
Ustaz mana yg benar ttg saidina umar al-khattab? Beliau pernah menanam anak perempuannya hidup2 atau tidak? Mohon penjelasan ustz bin sahak. Terima kasih.

Jawapan:

Sememangnya sebahagian orang Arab Jahiliyyah membunuh dengan menanam hidup-hidup anak-anak perempuan mereka. Kerana itu Allah SWT berfirman di dalam alQuran:

"Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa ia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati. Ia bersembunyi dari orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang ia beroleh anak perempuan; sambil ia berfikir): adakah ia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina, atau ia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu." (alNahl: 58-59)

NAMUN bukan semua orang Arab membunuh anak perempuan mereka. Termasuk orang Arab yang tidak membunuh anak perempuan mereka adalah Sayyidina 'Umar bin alKhattab. Adapun riwayat yang mengatakan beliau menanam hidup-hidup anak perempuan adalah riwayat yang BATIL. Ini kerana anak perempuan pertama sayyidina 'Umar ialah Hafsah, hasil perkahwinan antara 'Umar dengan isteri pertamanya, Zainab binti Maz'un, saudara kandung kepada 'Uthman bin Maz'un.

Dari isteri 'Umar yang bernama Zainab binti Maz'un ini lahirnya 'Abdul Rahman yang sulung, 'Abdullah dan Hafsah seperti yang dinyatakan oleh Imam Ibn Kathir di dalam kitabnya alBidayah wa alNihayah jilid 10, halaman:195.

Di dalam alMustadrak yang ditulis oleh alImam alHakim dinyatakan anak perempuan sulung sayyidini 'Umar yang bernama Hafsah ini dilahirkan di zaman jahiliyyah. Ini berdasarkan riwayat daripada 'Umar bin alKhattab sendiri yang berkata:

ولدت حفصة وقريش تبني البيت قبل مبعث النبي - صلى الله عليه وآله وسلم - بخمس سنين .

Maksudnya: "Dilahirkan Hafsah, ketika itu orang-orang Quraish baru membina Kaabah (setelah musnah), 5 tahun sebelum pengutusan baginda Nabi SAW ."

Hafsah ini kemudiannya berkahwin dengan Nabi SAW dan meninggal dunia ketika penghujung zaman pemerintahan 'Uthman bin 'Affan RA.


Cetak  
Wallahu a'lam