Mus‘ab bin ‘Umair RA

 

Beliau ialah Mus‘ab bin Umair bin Hashim bin Abd Manaf bin Abd al-Dar bin Qusay bin Kilab al-Qurashi (مصعب بن عمير بن هاشم بن عبد مناف بن عبد الدار بن قصي بن كلاب القرشي).

Seorang sahabi yang mulia, dalam kalangan mereka yang terawal memeluk Islam. Dilahir dan dibesarkan di Mekah. Memeluk Islam secara sembunyi di Dar Al-Arqam kerana bimbangkan kezaliman kaumnya.

Bonda beliau bernama Khunas binti Malik bin al-Mudharrib al-Amiriyah (خناس بنت مالك بن المضرب العامرية).

Mus‘ab meninggal dunia pada tahun ketiga Hijrah dalam Perang Uhud. Beliau digelar sebagai duta pertama dalam Islam, kuniyyahnya ialah Abu Abdillah.

Sebelum Islam, Mus‘ab bin Umair terkenal sebagai seorang yang memiliki penampilan yang menarik dan cantik, memakai pakaian yang terbaik dan termahal, memakai minyak wangi yang terbaik. Terkenal sebagai seorang yang paling harum dengan wangian di antara penduduk Mekah.

Allah mengurniakan nikmat Islam kepada Mus‘ab bin Umair. Beliau menyebarkan Islam kepada orang ramai. Beliau dalam kalangan mereka yang berhijrah ke Habsyah apabila bertambah tekanan seksaan yang menimpa para Sahabat. Beliau juga berhijrah ke Madinah selepas bai‘ah pertama berlaku, diutus oleh Rasulullah SAW untuk mengajar al-Qur’an dan agama Islam kepada penduduk Madinah, hingga beliau digelar sebagai al-Muqri’ (المقرِئ).

Setelah itu beliau kembali ke Mekah bersama orang Ansar, antara yang memeluk Islam melalui beliau adalah Sa‘ad bin Mu‘az (سعد بن معاذ) dan Usaid bin Hudayr (أسيد بن حضير).

Semasa Perang Uhud, Musab bin Umair membawa panji-panji Muslimin dan maju ke hadapan. Semasa peperangan tersebut, Ibn Khalaf menyerang Rasulullah SAW untuk membunuh baginda, namun serangannya disambut oleh Musab bin Umair, seterusnya dia dibunuh hina oleh Musab. Mus‘ab terus maju ke hadapan mempertahankan Nabi SAW sambil membawa panji-panji Islam. Beliau gugur syahid ketiba berusia lebih 40 tahun, dibunuh oleh seorang yang keji bernama Ibn Qamiah al-Laithi (ابن قَمِيئَةَ اللَّيْثِيَّ) yang menyangka beliau adalah Rasulullah SAW.

Isteri Mus‘ab bin Umair ialah Hamnah binti Jahsh al-Asadiyyah (حمنة بنت جحش الأسدية), dari Bani Asad bin Khuzaymah (بني أسد بن خزيمة). Isteri beliau adalah salah seorang Sahabiah dan dari kalangan para wanita periwayat hadis Nabi SAW. Ibu beliau ialah Umaimah binti Abdul Mutthalib (أميمة بنت عبد المطلب), ibu saudara (عمة) Nabi Muhammad SAW. Saudara perempuannya pula adalah salah seorang isteri Rasulullah SAW, Ibu orang-orang beriman, Zainab binti Jahsy (زينب بنت جحش). Hamnah pernah dijatuhkan hukuman sebat dalam peristiwa al-Ifk (الإفك), bersama Hassan bin Thabit (حسان بن ثابت) dan Mistah bin Uthatha (مسطح بن أثاثة), kerana terlibat dalam menyebarkan fitnah ke atas Ibu orang beriman, Aisyah RA. Beliau berkahwin dengan Mus‘ab dan melahirkan anak perempuannya. Selepas syahidnya Mus‘ab, beliau berkahwin dengan Talhah bin Ubaidillah (طلحة بن عبيد الله) dan dikurniakan anak bernama, Muhammad al-Sajjad (محمد السجّاد) dan Imran (عمران).

Mus‘ab bukan seorang yang rendah dan bukan juga seorang yang tinggi, berambut elok mencecah bahu (حسن اللّمة) dan berkulit lembut (رقيق البشرة).

Mus‘ab dikebumikan oleh Amir bin Rabi‘ah (عامر بن ربيعة), Suwaibit bin Sa‘ad (سويبط بن سعد), dan saudaranya Abu al-Rum bin ‘Umair (أبو الروم بن عمير) setelah mati syahid. Beliau mempunyai seorang anak perempuan bernama Zainab, yang berkahwin dengan Abdullah bin Abdillah bin Abi Umayyah bin Al-Mughirah (عبد الله بن عبد الله بن أبي أمية بن المغيرة)


Cetak  
Wallahu a'lam