SDI 1656: Benarkah Nabi SAW Pernah Meminang Ummu Hani' binti Abu Talib?

Soalan:

Benarkan Nabi SAW pernah meminang Ummu Hani’ ketika Jahiliyyah dan ditolak?

Jawapan:

Terdapat dalam kalangan ulama Sirah yang menyebut Nabi SAW pernah meminang Ummu Hani’ binti Abi Talib sebanyak dua kali. Kali pertama di Mekah ketika zaman Ummu Hani ‘ masih jahiliyyah dan ditolak oleh bapanya Abu Talib. Kali kedua di zaman beliau telah memeluk Islam dan ditolak oleh Ummu Hani’ sendiri atas alasan dirinya telah tua dan mempunyai ramai anak.

Pinangan Nabi SAW untuk Ummu Hani’ setelah beliau memeluk Islam diriwayatkan antaranya dalam Sahih Muslim daripada Abu Hurairah RA yang berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، خَطَبَ أُمَّ هَانِئٍ، بِنْتَ أَبِي طَالِبٍ فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنِّي قَدْ كَبِرْتُ، وَلِي عِيَالٌ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:  خَيْرُ نِسَاءٍ رَكِبْنَ الإبلِ ، أَحْنَاهُ عَلَى وَلَدٍ فِي صِغَرِهِ، وَأَرْعَاهُ عَلَى زَوْجٍ فِي ذَاتِ يَدِهِ 

Maksudnya: “Bahawa Naib SAW telah meminang Ummu Hani’ binti Abi Talib dan Ummu Hani’ berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku telah tua dan mempunyai keluarga (anak-anak).” Jawab Nabi SAW: “Sebaik-baik wanita adalah wanita yang menunggang unta (wanita ‘Arab), paling sangat penyayang sanggup menjanda untuk anak yang masih kecil, paling sanggup memelihara anak suaminya.” (Muslim)

Kata al-‘Iraqi RH:

اعتذرت أُمِّ هَانِئٍ لَمَّا خَطَبَهَا النَّبِيُّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - بِكِبَرِ سِنِّهَا ، وَبِأَنَّهَا ذَاتُ عِيَالٍ، فَرَفَقَتْ بِالنَّبِيِّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - فِي أَنْ لَا يَتَأَذَّى بِتَزَوُّجِ كَبِيرَةِ السِّنِّ

Maksudnya: “Ummu Hani’ menolak pinangan Nabi SAW disebabkan beliau telah tua dan memiliki beberapa orang anak. Beliau kasihankan Nabi SAW bimbang terganggu disebabkan perkahwinan dengan seorang wanita berusia sepertinya...” (Tarh al-Tathrib 7/15)

Adapun kisah baginda pernah meminang Ummu Hani’ di zaman Jahiliyyah, antara riwayat tersebut terdapat dalam Tabaqat Ibn Sa‘ad 8/120 yang berkata:

أَخْبَرَنَا هِشَامُ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ السَّائِبِ الْكَلْبِيُّ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي صَالِحٍ عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: خَطَبَ النَّبِيُّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - إِلَى أَبِي طَالِبٍ ابْنَتَهُ أُمَّ هَانِئٍ فِي الْجَاهِلِيَّةِ، وَخَطَبَهَا هُبَيْرَةُ بْنُ أَبِي وهب بن عمرو بن عائذ بن عمران بن مخزوم. فتزوجها هبيرة فقال النبي صلى الله عليه وسلم: (يا عم زوجت هبيرة وتركتني؟) فقال: يا ابن أَخِي إِنَّا قَدْ صَاهَرْنَا إِلَيْهِمْ، وَالْكَرِيمُ يُكَافِئُ الْكَرِيمَ. ثُمَّ أَسْلَمَتْ فَفَرَّقَ الإِسْلامُ بَيْنَهَا وَبَيْنَ هُبَيْرَةَ، فَخَطَبَهَا رَسُولُ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - إِلَى نَفْسِهَا فَقَالَتْ: وَاللَّهِ إِنْ كُنْتُ لأُحِبُّكَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ فَكَيْفَ فِي الإِسْلامِ؟ وَلَكِنِّي امرأة مُصْبِيَة (أي: ذات صَبِيَّة) وَأَكْرَهُ أَنْ يُؤْذُوكَ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ: (خَيْرُ نِسَاءٍ رَكِبْنَ الْمَطَايَا نِسَاءُ قُرَيْشٍ. أَحْنَاهُ عَلَى وَلَدٍ فِي صِغَرِهِ وَأَرْعَاهُ عَلَى زَوْجٍ فِي ذَاتِ يَدِهِ

 

Maksudnya: “Menceritakan kepada kami Hisham bin Muhammad bin al-Sa’ib al-Kalbi daripada bapanya daripada Abu Salih daripada Ibn ‘Abbas RA yang berkata: “Nabi SAW pernah meminang Ummu Hani’ melalui Abu Talib di zaman Jahiliyyah. Ummu Hani’ juga dipinang oleh Hubairah bin Abi Wahb bin ‘Amr bin ‘A’idz bin ‘Imran bin Makhzum. Abu Talib mengahwinkan anaknya Ummu Hani’ dengan Hubairah dan Nabi SAW bertanya: “Wahai bapa saudara, kamu kahwinkan Ummu Hani’ dengan Hubairah dan tolak pinanganku.?” Jawab Abu Talib: “Wahai anak saudaraku, sesungguhnya keluarga kita telah ada hubungan perkahwinan dengan mereka (Bapamu telah berkahwin dengan Ibumu dari seorang Makhzumiah), maka seorang yang mulia apabila dia membalas budi orang yang mulia juga.” Setelah itu Ummu Hani’ memeluk Islam dan Islam memisahkan antara Ummu Hani’ dengan Hubairah. Lalu Rasulullah SAW masuk meminang beliau kali kedua, Ummu Hani’ berkata: “Demi Allah, jika engkau (wahai Rasulullah) benar-benar aku cintakan di zaman Jahiliyyah, maka bagaimana di zaman aku telah memeluk Islam? Akan tetapi aku seorang wanita yang mempunyai anak dan aku tidak suka mengganggu dirimu. Jawab Nabi SAW: “Sebaik-baik wanita yang menaiki haiwan tunggangan adalah wanita Quraish, paling peyayang kepada anaknya yang masih kecil dan paling sanggup menjaganya anak suaminya.”   

Hadis ini tidak sahih. Hisham bin Muhammad bin al-Sa’ib yang ada dalam sanad hadis ini adalah seorang matruk seperti yang dinyatakan oleh al-Daraqutni dan selain beliau. Bahkan Ibn ‘Asakir berkata beliau seorang Rafidhi dan bukan seorang yang thiqah. (Lihat Lisan al-Mizan 6/196)

Demikian juga perawi lain dalam sanad ini, bapa Hisham seorang yang ditohmah melakukan pemalsuan hadis, terutamanya apabila meriwayatkan daripada Abu Saleh seperti yang terdapat dalam Mizan al-I’tidal 3/557-559)

Tentang Muhammad bin al-Sa'ib al-Kalbi, Ibn Abi Hatim dalam al-Jarh wa al-Ta'dil 7/271 menyatakan: 

سألت أبي عن محمد بن السائب الكلبي فقال: الناس مجتمعون على ترك حديثه، لا يشتغل به، هو ذاهب الحديث

Maksudnya:Aku pernah bertanya kepada bapaku tentang Muhammad bin al-Sa'ib al-Kalbi, bapaku menjawab: "Orang ramai bersepakat ditinggalkan hadisnya dan tidak disibukkan diri dengannya, dia seorang Zahib al-Hadis."


Cetak  
Wallahu a'lam