SDI 1684: Benarkah Ubaidillah bin Maimun al-Qoddah Pemimpin Bani Fatimiyah Pertama Yang Memulakan Sambuatan Maulid Nabi SAW?

Soalan:

Adakah betul Ubaid bin Maimun al Qoddah merupakan Pemimpin Bani Fatimiyah yang pertama kali melakukan perayaan Maulid Nabi SAW ?

Jawapan:

Jika ditanya apakah betul Ubaidillah bin Maimun al-Qaddah adalah orang pertama yang memulakan perayaan maulid, maka jawapannya betul. Ini kerana di zaman pemerintahan Bani ‘Ubaidiah, disebut juga sebagai Daulah Fatimiyyah Batiniyyah, adalah Daulah yang tertegak ketika kelemahan zaman pemerintahan Bani ‘Abbasiyyah. Di mana khalifah ketika itu hanya seperti lambang sahaja. Namun yang memerintah negara ialah pihak lain yang menguasai pentadbiran ketika itu. Di samping itu timbul pula kerajaan-kerajaan yang berbagai disebabkan kelemahan pentadbiran dan masalah dalaman dalam kerajaan Bani ‘Abbasiyyah. Antara kerajaan yang timbul ialah kerajaan ‘Ubaidiah, di mana Ubaidillah bin Maimun al-Qaddah ini adalah pengasasnya.

Kerajaan ‘Ubaidiyyah ini mula timbul di sebelah barat, iaitulah sebelah Maghribi kemudian mereka berjaya meluaskan kuasa sehingga ke Mesir, ke Mekah dan Madinah, namun mereka tidak berjaya menguasai pusat pentadbiran Bani ‘Abbasiyyah di Baghdad dengan adanya bantuan dari kumpulan Salajiqah atau al-Saljuqiyyah.

Ada dalam kalangan ahli sejarah yang mengatakan kelemahan Bani ‘Abbasiyyah ketika itu disebabkan kesilapan al-Muktasim yang membawa masuk ramai orang-orang Turki ke Baghdad untuk dijadikan pengawal dan tentera. Akhirnya mereka berjaya menduduki jawatan-jawatan tinggi dan utama ketenteraan. Perkara ini sehingga membawa kepada pembunuhan khalifah Jaafar bin Muhammad al-Mutawakkil ‘Ala Allah di dalam bilik khalifah di istana. Ketika ini mulalah kelemahan pentadbiran Bani ‘Abbasiyyah. Iaitulah ketika zaman pemerintahan anak sulung al-Mutawakkil bernama Muhammad yang naik menjadi khalifah dengan bantuan pengawal dan tentera yang kebanyakannya orang Turki. Khalifah ketika itu tinggal lambang sahaja. Nama khalifah hanya disebut ketika berdoa dalam khutbah. Namun yang menentukan hala tuju dan polisi kerajaan adalah kumpulan atrak atau orang-orang Turki yang asal didatangkan oleh al-Muktasim untuk berkhidmat sebagai pengawal dan tentera negara.

Selain itu kelemahan Bani ‘Abbasiah juga menyebabkan timbul kerajaan-kerajaan lain yang jauh dari Baghdad. Seperti kerajaan di Mesir dan lainnya. Mereka mengistiharkan mereka bukan lagi di bawah kerajaan Bani ‘Abbasiah. Antara kerajaan yang timbul tersebut iaitulah kerajaan ‘Ubaidiah di Maghribi yang diasaskan oleh ‘Ubaidillah bin Maimun al-Qaddah. Dikatakan asal-usul Ubaidillah ini adalah Parsi. Namun dia mendakwa berketurunan Nabi SAW dari Fatimah binti Rasulillah SAW. Hal ini dilakukan bagi mendapat sokongan umat Islam yang mudah terpedaya dengan dakwaan-dakwaan seumpama ini. Lalu kerana mereka dinamakan sebagai kerajaan Fatimiyyah merujuk kepada puteri Nabi SAW, Fatimah RA. Di hujung pemerintahan kerajaan Fatimiyyah ini, mereka terpengaruh dengan aliran Isma’iliah sehingga ke tahap pemimpinnya mendakwa diri sebagai tuhan seperti dakwaan pemimpin mereka al-Hakim bi Amrillah, Abu ‘Ali Mansur bin ‘Aziz. Dia juga mendakwa dirinya sebagai al-Mahdi.

Ada kisah sadis yang berlaku di zaman al-Hakim bi amrillah ini. Di zaman pemerintahannya di Mesir, ramai para ulama melarikan diri disebabkan kezaliman dan kejahatannya. Namun bangun seorang ulama sunni bernama Abu Bakr al-Nabulsi melawan secara terang-terangan kesesatan al-Hakim Bi Amrillah, beliau berkata: “Jika aku memiliki 10 anak panak, satu daripadanya akan aku halakan kepada Kristian yang memusuhi umat Islam. Manakala bagi Sembilan anak panah lagi, akan aku halakan kepada kerajaan ‘Ubaidiah pimpinan al-Hakim Bi Amrillah.”

Akhirnya Abu Bakr al-Nabulsi ditangkap dan dibawa ke hadapan al-Hakim Bi Amrillah. Ketika beliau ditanyanya kamukah yang berkata:

“Jika aku memiliki 10 anak panak, satu daripadanya akan aku halakan kepada Kristian yang memusuhi umat Islam. Manakala bagi Sembilan anak panah lagi, akan aku halakan kepada kerajaan ‘Ubaidiah pimpinan al-Hakim Bi Amrillah.”

Jawab Abu Bakr al-Nabulsi: “Tidak. Sebaliknya aku berkata: “Jika aku memiliki 10 anak panak, kesemua anak panah tersebut akan aku halakan kepada kerajaan ‘Ubaidiah pimpinan al-Hakim Bi Amrillah.”

Akhirnya al-Hakim Bi Amrillah memerintahkan jazzar atau seorang Yahudi tukang lapah kulit haiwan, melapah kulit Abu Bakr al-Nabulsi hidup-hidup. Ketika kulit beliau dilapah, bermula dari kulit kepala, ked ahi, ke telinga, Abu Bakr al-Nabulsi kekal berzikir kepada Allah sehingga menimbulkan rasa belas kasihan di hati pelapah Yahudi tersebut. Apabila sampai di bahagian dada Abu Bakr al-Nabulsi, si Yahudi pelapah kulitnya, segera menusukkan pisau lapahnya ke jantung al-Syeikh Abu Bakr al-Nabulsi RH, gugurlah beliau sebagai seorang syahid di jalan Allah.  

Inilah kerajaan ‘Ubaidiah, Batiniyyah. Merekalah yang memulakan perayaan maulid Nabi SAW untuk membuktikan kasih-sayang palsu mereka kepada Nabi SAW bagi mendapat sokongan umat Islam.


Cetak  
Wallahu a'lam