SDI 1688: Pandangan Ahli Sunnah Terhadap Yazid Bin Mu‘awiyyah

Soalan:

Ustaz, apa pandangan ahli sunnah tentang Yazid bin Muawiyah?

Jawapan:

Yazid bin Mu‘awiyah bin Abi Sufyan bin Harb bin Umayyah al-Umawi al-Dimasyqi. Banyak kisah yang tidak sahih tentang beliau. Antaranya kisah-kisah palsu melalui riwayat yang bermasalah seperti riwayat Abu Mikhnaf (أبي مخنف), namanya Luth bin Yahya (لوط بن يحيى).

               Oleh kerana itu Ahli Sunnah tidak menjadikan riwayat-riwayat seumpama ini sebagai sandaran dalam menilai Yazid bin Mu‘awiah. Namun suatu yang tidak dapat dinafikan perlantikan beliau sebagai khalifah tidak mendapat persetujuan dari sebahagian umat Islam. Ditambah lagi dengan berlaku tiga peristiwa besar yang melukai hati umat Islam ketika zaman pemerintahannya;

Pertama: Peristiwa pembunuhan cucu Nabi SAW, al-Husain bin ‘Ali RA. Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH dalam Majmu’ al-Fatawa 3/410:

وُلِدَ يَزِيدَ بْنَ مُعَاوِيَةَ فِي خِلَافَةِ عُثْمَانَ بْنِ عفان رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، وَلَمْ يكن مِنْ الْمَشْهُورِينَ بِالدِّينِ وَالصَّلَاحِ، وَكَانَ مِنْ شُبَّانِ الْمُسْلِمِينَ، وَتَوَلَّى بَعْدَ أَبِيهِ عَلَى كَرَاهَةٍ مِنْ بَعْضِ الْمُسْلِمِينَ، وَرِضًا مِنْ بَعْضِهِمْ، وَكَانَ فِيهِ شَجَاعَةٌ وَكَرَمٌ، وَلَمْ يَكُنْ مُظْهِرًا لِلْفَوَاحِشِ كَمَا يَحْكِي عَنْهُ خُصُومُهُ، وَجَرَتْ فِي إمَارَتِهِ أُمُورٌ عَظِيمَةٌ: – أَحَدُهَا مَقْتَلُ الْحُسَيْنِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ .

Maksudnya: “Yazid bin Mu‘awiah dilahirkan ketika zaman pemerintahan ‘Uthman bin ‘Affan RA. Dia bukan dari kalangan mereka yang terkenal sebagai orang yang kuat beragama dan dipenuhi kebaikan. Dia seperti anak-anak orang Islam lainnya. Diangkat menjadi khalifah selepas bapanya, namun tidak disukai oleh sebahagian orang Islam. Manakala sebahagian umat Islam lain menyetujuinya. Dia memiliki keberanian dan beberapa sifat yang mulia, bukan dari kalangan orang yang menzahirkan sikap-sikap yang keji seperti yang diceritakan oleh para musuhnya. Telah berlaku beberapa perkara besar ketika zaman pemerintahannya. Salah satunya adalah peristiwa pembunuhan al-Husain RA (cucu Nabi SAW) yang berlaku ketika pemerintahannya…”

Sekalipun pembunuhan Husain bin ‘Ali RA berlaku bukan dengan arahan daripada Yazin bin Mu‘awiah. Tiada juga bukti sahih beliau bergembira dengan pembunuhan tersebut. Cuma yang ada hanyalah arahan dari beliau supaya pemerintah di ‘Iraq, iaitulah ‘Ubaidullah bin Ziyad menghalang Husain bin ‘Ali dari masuk ke ‘Iraq. Namun ‘Ubaidullah bin Ziyad bersama ketua tenteranya Syamir bin Dzi al-Jaushan (شَمِر بن ذي الجَوْشَن) telah bertindak lebih dari yang diarahkan, sehingga membunuh al-Husain RA. Ibn Kathir RH dalam al-Bidayah wa al-Nihayah 11/651 menukilkan perkataan Yazid bin Mu‘awiah yang berkata:

لَعَنَ اللَّهُ ابْنَ مَرْجَانَةَ فَإِنَّهُ أَخْرَجَهُ وَاضْطَرَّهُ، وَقَدْ كَانَ سَأَلَهُ أَنْ يُخَلِّيَ سَبِيلَهُ، أَوْ يَأْتِيَنِي، أَوْ يَكُونَ بِثَغْرٍ مِنْ ثُغُورِ الْمُسْلِمِينَ حَتَّى يَتَوَفَّاهُ اللَّهُ تَعَالَى، فَلَمْ يَفْعَلْ، وَأَبَى عَلَيْهِ، وَقَتَلَهُ، فَبَغَّضَنِي بِقَتْلِهِ إِلَى الْمُسْلِمِينَ، وَزَرَعَ لِي فِي قُلُوبِهِمُ الْعَدَاوَةَ، فَأَبْغَضَنِي الْبَرُّ وَالْفَاجِرُ، بِمَا اسْتَعْظَمَ النَّاسُ مِنْ قَتْلِي حُسَيْنًا، مَا لِي وَلِابْنِ مَرْجَانَةَ، لَعَنَهُ اللَّهُ، وَغَضِبَ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Semoga Allah melaknat Ibn Marjanah (‘Ubaidullah bin Ziyad, pemimpin di ‘Iraq di zaman Yazid bin Mu‘awiah) yang mengeluarkan al-Husain dan memaksanya. Sedangkan Husain telah meminta agar dia dibiar pergi, atau dia dibawa kepadaku, atau dia dibiarkan berada di mana-mana kubu pasukan pertahanan di sempadan negara umat Islam sehingga menemui ajal. Namun ‘Ubaidullah bin Ziyad tidak memperkenankan semua permintaan al-Husain tersebut, dan dia membunuh al-Husain. Dia menjadikan aku dimurkai oleh umat Islam dan dia menanamkan permusuhan umat Islam terhadapku, sehingga semua mereka sama ada yang baik mahupun yang jahat marah kepadaku, dengan sebab besarnya kesalahan yang mereka sangku aku yang membunuh Husain. Aku tidak terbabit dengan jenayah yang dilakukan oleh Ibn Marjanah. Semoga Allah melaknatnya dan menurunkan kemurkaan-Nya ke atas Ibn Marjanah.”  

Namun Ibn Taimiyyah dalam Majmu’ al-Fatawa 3/411 selepas menyebut perkataan Yazid ini, menyatakan:

لَكِنَّهُ مَعَ هَذَا لَمْ يَظْهَرْ مِنْهُ إنْكَارُ قَتْلِهِ، وَالِانْتِصَارُ لَهُ وَالْأَخْذُ بِثَأْرِهِ: كَانَ هُوَ الْوَاجِبَ عَلَيْهِ فَصَارَ أَهْلُ الْحَقِّ يَلُومُونَهُ عَلَى تَرْكِهِ لِلْوَاجِبِ مُضَافًا إلَى أُمُورٍ أُخْرَى

Maksudnya: “Akan tetapi, sekalipun dengan kenyataan ini, tidak zahir darinya pengingkaran terhadap pembunuhan tersebut, tiada juga pembelaan untuk Husain dan mengenakan balasan kepada pelakunya. Sedangkan perkara ini adalah tanggungjawabnya. Keadaan ini menjadikan Ahli Hak (sebahagian Ahli Sunnah) mencercanya kerana pengabaiannya akan tanggungjawabnya, ditambah lagi dengan perkara-perkara lain.”   

Kedua: Peristiwa al-Harrah. Antara perkataan al-Zahabi RH ketika menyebut tentangnya dalam Siyar A’lam al-Nubala’ 4/38:  

غَزْوُ القُسْطَنْطِيْنِيَّةِ، وَكَانَ أَمِيْرَ ذَلِكَ الجَيْشِ، وَفِيْهِم مِثْلُ أَبِي أَيُّوْبَ الأَنْصَارِيِّ. عَقَدَ لَهُ أَبُوْهُ بِوِلاَيَةِ العَهْدِ مِنْ بَعْدِهِ، فَتَسَلَّمَ المُلْكَ عِنْدَ مَوْتِ أَبِيْهِ فِي رَجَبٍ، سَنَةَ سِتِّيْنَ، وَلَهُ ثَلاَثٌ وَثَلاَثُوْنَ سَنَةً. فَكَانَتْ دَوْلَتُهُ أَقَلَّ مِنْ أَرْبَعِ سِنِيْنَ؛ وَلَمْ يُمْهِلْهُ اللهُ عَلَى فِعْلِهِ بِأَهْلِ المَدِيْنَةِ لَمَّا خَلَعُوْهُ

Maksudnya: “…Peperangan Qastantiniyyah, pemimpinnya adalah Yazid bin Mu‘awiah. Dalam barisan tenteranya terdapat Abi Ayyub al-Ansari RA. Bapanya Mu‘awiah melantiknya sebagai pemimpin selepasnnya dan perkara itu berlaku sebaik sahaja kewafatan bapanya Mu‘awiah bin Abi Sufyan RA dalam bulan Rejab 60 Hijriyyah, ketika dia berumur 33 tahun. Dia memerintah selama empat tahun. Allah tidak membiarkan dia begitu sahaja atas perbuatannya terhadap penduduk Madinah (dalam peristiwa al-Harrah) apabila mereka tidak mahu berbai‘ah kepadanya.”

               Kata Ibn Taimiyyah RH dalam Majmu’ al-Fatawa 4/483 ketika menyebut tiga pendirian umat Islam terhadap Yazid bin Mu‘awiah, beliau menyebut pendirian ketiga yang merupakan pendirian yang benar menyatakan:

أَنَّهُ كَانَ مَلِكًا مِنْ مُلُوكِ الْمُسْلِمِينَ لَهُ حَسَنَاتٌ وَسَيِّئَاتٌ وَلَمْ يُولَدْ إلَّا فِي خِلَافَةِ عُثْمَانَ وَلَمْ يَكُنْ كَافِرًا؛ وَلَكِنْ جَرَى بِسَبَبِهِ مَا جَرَى مِنْ مَصْرَعِ الْحُسَيْنِ وَفِعْلِ مَا فُعِلَ بِأَهْلِ الْحَرَّةِ وَلَمْ يَكُنْ صَاحِبًا وَلَا مِنْ أَوْلِيَاءِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ وَهَذَا قَوْلُ عَامَّةِ أَهْلِ الْعَقْلِ وَالْعِلْمِ وَالسُّنَّةِ وَالْجَمَاعَةِ

Maksudnya: “Yazid adalah salah seorang raja umat Islam. Dia mempunyai kebaikan-kebaikannya dan kesalahan-kesalahannya. Dia dilahirkan di zaman pemerintahan ‘Uthman dan dia bukan seorang kafir (seperti dakwaan musuhnya). Namun telah berlaku dengan sebabnya termasuk pembunuhan Husain, peristiwa yang melanda penduduk al-Harrah (di Madinah). Dia juga bukan seorang sahabat, bukan juga dari kalangan para wali Allah yang saleh. Inilah pandangan keumuman mereka yang berakal dan berilmu dan ahli sunnah wal jamaah.”

Peristiwa al-Harrah adalah peristiwa berdarah yang berlaku di Madinah. Pembunuhan yang dilakukan oleh tentera dari pihak Yazid yang diketuai oleh seorang yang bernama Muslim bin ‘Uqbah al-Murri. Para ulama menggelarnya sebagai Musrif disebabkan jenayah pembunuhan banyak nyawa yang dilakukannya dalam periatiwa ini. Pembunuhan ini berlaku disebabkan penduduk Madinah ketika itu tidak lagi memberi taat setia kepada Yazid bin Mu‘awiah. Peristiwa ini berlaku pada tahun 63 Hijriyyah.

Ketiga: Kepungan Mekah untuk menangkap ‘Abdullah bin al-Zubair. Ibn Taimiyyah RH dalam Majmu’ al-Fatawa 3/412 menyatakan:

ثُمَّ أَرْسَلَ جَيْشًا إلَى مَكَّةَ الْمُشَرَّفَةِ فَحَاصَرُوا مَكَّةَ وَتُوُفِّيَ يَزِيدُ وَهُمْ مُحَاصِرُونَ مَكَّةَ وَهَذَا مِنْ الْعُدْوَانِ وَالظُّلْمِ الَّذِي فُعِلَ بِأَمْرِهِ

Maksudnya: “Kemudian dia mengutus kumpulan tentera ke Mekah dan mereka mengepung Mekah. Namun Yazid meninggal dunia ketika para tenteranya mengepung Mekah. Semua ini termasuk dalam tindakan permusuhan dan zalim yang dilakukan dengan arahan daripadanya.”

Seterusnya Ibn Taimiyyah menyebut:

وَلِهَذَا كَانَ الَّذِي عَلَيْهِ مُعْتَقَدُ أَهْلِ السُّنَّةِ، وَأَئِمَّةِ الْأُمَّةِ: أَنَّهُ لَا يُسَبُّ، وَلَا يُحَبُّ. قَالَ صَالِحُ بْنُ أَحْمَدَ بْنِ حَنْبَلٍ: "قُلْت لِأَبِي: إنَّ قَوْمًا يَقُولُونَ: إنَّهُمْ يُحِبُّونَ يَزِيدَ. قَالَ: يَا بُنَيَّ، وَهَلْ يُحِبُّ يَزِيدَ أَحَدٌ يُؤْمِنُ بِاَللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ؟ فَقُلْت: يَا أَبَتِ، فَلِمَاذَا لَا تلعنه؟ قَالَ: يَا بُنَيَّ، وَمَتَى رَأَيْت أَبَاك يَلْعَنُ أَحَدًا؟ وَرُوِيَ عَنْهُ قِيلَ لَهُ: أَتَكْتُبُ الْحَدِيثَ عَنْ يَزِيدَ بْنِ مُعَاوِيَةَ؟ فَقَالَ: لَا، وَلَا كَرَامَةَ، أَوَلَيْسَ هُوَ الَّذِي فَعَلَ بِأَهْلِ الْمَدِينَةِ مَا فَعَلَ؟ فَيَزِيدُ عِنْدَ عُلَمَاءِ أَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ مَلِكٌ مِنْ الْمُلُوكِ، لَا يُحِبُّونَهُ مَحَبَّةَ الصَّالِحِينَ وَأَوْلِيَاءِ اللَّهِ؛ وَلَا يَسُبُّونَهُ، فَإِنَّهُمْ لَا يُحِبُّونَ لَعْنَةَ الْمُسْلِمِ الْمُعينِ؛ لِمَا رَوَى الْبُخَارِيُّ فِي صَحِيحِهِ عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ -رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ- أَنَّ رَجُلًا كَانَ يُدْعَى حِمَارًا، وَكَانَ يُكْثِرُ شُرْبَ الْخَمْرِ، وَكَانَ كُلَّمَا أُتِيَ بِهِ إلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ضَرَبَهُ. فَقَالَ رَجُلٌ: لَعَنَهُ اللَّهُ، مَا أَكْثَرَ مَا يُؤْتَى بِهِ إلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَا تَلْعَنْهُ؛ فَإِنَّهُ يُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ

Maksudnya: “Kerana itu, berdasarkan keyakinan Ahli Sunnah dan para imam ikutan umat Islam, bahawa Yazid bin Mu‘awiah tidak dicerca dan kita tidak juga dizahirkan kecintaan kepadanya. Kata Saleh bin Ahmad bin Hambal: “Aku pernah bertanya kepada bapaku: “Terdapat dalam kalangan umat Islam yang menzahirkan kecintaan mereka kepada Yazid.” Jawab bapaku: “Wahai anak, apakah ada seseorang muslim yang beriman kepada Allah dan hari akhirat akan mencintai Yazid?” Aku menjawab: “Wahai bapa, kenapa kamu tidak melaknat dia?” Jawab bapaku: “Wahai anak, bilakah masanya yang kamu melihat bapamu ini ada melaknat seseorang?” Diriwayatkan juga daripada Imam Ahmad yang pernah ditanya: “Apakah kamu ada menulis hadis dari Yazid bin Mu‘awiah?” Beliau menjawab: “Tidak, tiada kemuliaan menulis hadis darinya. Bukankah dialah orang yang telah melakukan terhadap penduduk Madinah apa yang telag dilakukannya (dalam peristiwa al-Harrah)?” Maka Yazid di sisi ulama dan para imam ikutan umat Islam adalah salah seorang raja. Mereka tidak mencintainya seperti kecintaan mereka terhadap orang saleh dan para wali Allah. Mereka juga tidak mencercanya, kerana mereka tidak suka melaknat seorang muslim tertentu berdasarkan riwayat al-Bukhari dalam kitab Sahihnya daripada ‘Umar bin al-Khattab RA bahawa seorang lelaki digelar sebagai himar. Lelaki itu pula kerap meminum arak. Setiap kali lelaki itu dibawa kepada Nabi SAW atas kesalahannya meminum arak, baginda akan memukul lelaki itu. Kata seorang lelaki lain: “Semoga Allah melaknat kamu. Sudah berapa kali kamu dibawa kepada Nabi SAW disebabkan kesalahan ini?” Sabda Nabi SAW: “Jangan kamu melaknat lelaki ini, sesungguhnya dia seorang lelaki yang cintakan Allah dan rasul-Nya.”  

Kata al-Zahabi RH: وَيَزِيْدُ مِمَّنْ لاَ نَسُبُّهُ، وَلاَ نُحِبُّهُ maksudnya: “Yazid adalah dari kalangan mereka yang kita tidak mencercanya dan tidak pula kita mencintainya.”


Cetak  
Wallahu a'lam