Para ulama berbeza pandangan apakah makhluk pertama yang diciptakan oleh Allah SWT. Terdapat tiga pandangan yang masyhur:
Pandangan pertama mengatakan makhluk pertama yang diciptakan ialah al-Qalam (القلم) atau pena. Iaitulah pena yang diperintahkan oleh Allah untuk mencatit takdir bagi setiap makhluk di Lauh al-Mahfuz (لوح المحفوظ) 50,000 tahun sebelum diciptakan langit dan bumi. Pandangan ini berdasarkan hadis daripada ‘Ubadah bin al-Samit RA, Nabi SAW bersabda:
إِنَّ أَوَّلَ مَا خَلَقَ اللَّهُ القَلَمَ، فَقَالَ: اكْتُبْ، فَقَالَ: مَا أَكْتُبُ؟ قَالَ: اكْتُبِ القَدَرَ مَا كَانَ وَمَا هُوَ كَائِنٌ إِلَى الأَبَدِ
Maksudnya: "Bahawa yang pertama kali diciptakan oleh Allah SWT ialah Qalam. Lalu Dia berfirman kepadanya: “Tulislah,” dan Qalam bertanya: Apakah yang perlu aku tuliskan?” Allah berfirman: “Tuliskan ketetapan setiap sesuatu.” Lalu pen aitu menulis apa yang telah dan akan berlaku.” (Hadis sahih riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan Ahmad)
Hadis ini di sisi ulama yang pertama merupakan dalil bahawa penciptaan pertama Allah Taala adalah al-Qalam.
Pandangnan kedua mengatakan, makhluk pertama yang diciptakan adalah al-‘Arasy. Inilah pendangan majoriti ulama dan tarjihan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim. Perkara ini berdasarkan riwayat al-Imam al-Bukhari dalam Sahihnya daripada Imran bin Husain RA yang berkata: “Datang orang-orang Yaman kepada Nabi SAW dan bertanya:
يَا رَسُولَ اللَّهِ جِئْنَاكَ لِنَتَفَقَّهَ فِي الدِّينِ وَنَسْأَلَكَ عَنْ أَوَّلِ هَذَا الْأَمْرِ مَا كَانَ؟ قَالَ ﷺ: كَانَ اللَّهُ وَلَيْسَ شَيْءٌ غَيْرَهُ، وَكَانَ عَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ، ثُمَّ كَتَبَ فِي الذِّكْرِ كُلَّ شَيْءٍ، ثُمَّ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ
“Wahai Rasulullah, kami datang kepadamu untuk belajar agama dan bertanya kepadamu tentang permulaan perkara ini (permulaan makhluk), apakah permulaannya?. Nabi SAW bersabda: “Dahulunya yang ada hanyalah Allah, tidak ada sesuatu yang lain selain-Nya. ‘Arasy-Nya pula di atas air. Kemudian Allah menulis di Luh Mahfuz setiap Sesuatu. Kemudian Dia menciptakan langit dan bumi.”
Hadis ini menunjukkan makhluk pertama yang diciptakan oleh Allah adalah Arasy. ‘Arasy itu pula berada di atas air, sebelum penulisan al-Qalam pada Luh Mahfuz. Ini menunjukkan Qalam dicipta setelah adanya ‘Arasy.
Pandangan ketiga mengatakan makhluk pertama yang dicptakan oleh Allah adalah air. Dalil pandangan ini adalah dalil hadis pandangan kedua. Di mana di dalamnya Nabi SAW menyebut: “Dahulunya yang ada hanyalah Allah, tidak ada sesuatu yang lain selain-Nya. ‘Arasy-Nya pula di atas air.” Ini menunjukkan, air telah tercipta dahulu, setelah itu Allah SWT menciptakan ‘Arasy dan setelah itu al-Qalam. Inilah pandangan terkuat dalam permasalahan ini.
Daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Asy RA yang berkata, aku pernah mendengar Nabi SAW bersabda:
كتب الله مقادير الخلائق قبل أن يخلق السماوات والأرض بخمسين ألف سنة
Maksudnya: “Allah SWT menulis ketetapan setiap sesuatu 50,000 tahun sebelum Dia menciptakan segala langit dan bumi.”
Dalam hadis ini Nabi SAW menyebut tentang penulisan atau kitabah akan takdir setiap sesuatu. Kitabah ini salah satu daripada maratib al-Qadr di sisi Ahlu Sunnah Wal Jamaah, iaitulah ilmu Allah, kitabah di Luh Mahfuz, masyi’ah dan al-Ijad, al-Sun’ wa al-Khalq atau penciptaan.