Hilf al-Fudhul

Bulan Zul Qaedah, 33 sebelum Hijrah bersamaan 591M

Perjanjian Hilf al-Fudhul (حِلفُ الفُضولِ) berlaku pada bulan haram di Makkah, di mana beberapa kabilah Quraisy berkumpul untuk bersatu padu. Antara yang hadir ialah Bani Hashim (بَنو هاشمٍ), Bani Muttalib (وبَنو المطَّلبِ), Asad bin Abdul Uzza (وأسدُ بنُ عبدِ العُزَّى), Zuhrah bin Kilab (وزُهْرَةُ بنُ كِلابٍ), dan Taym bin Murrah (وتَيْمُ بنُ مُرَّةَ). Mereka berhimpun di rumah Abdullah bin Judan at-Taimi (عبدِ الله بنِ جُدْعانَ التَّيميِّ) atas factor usia dan kedudukannya yang mulia. Mereka berhimpun untuk membuat perjanjian dan mendapat kata sepakat, berikrar berikrar bahawa tidak akan ada orang yang dizalimi di kota Makkah, sama ada dari penduduk asli Makkah atau sesiapa yang datang dari luar. Mereka semua akan bangkit membantu dan membela hak orang yang dizalimi tersebut sehingga haknya dipulangkan. Rasulullah SAW turut menyaksikan perjanjian ini dan bersabda:

لقد شَهِدتُ في دارِ عبدِ الله بنِ جُدْعانَ حِلفًا ما أحبُّ أنَّ لي بهِ حُمْرَ النَّعَمِ، ولو أُدْعى بهِ في الإسلامِ لأَجبتُ

 "Aku telah menyaksikan di rumah Abdullah bin Jud‘an suatu perjanjian yang bagiku lebih berharga daripada unta merah (harta yang paling bernilai). Sekiranya aku diajak untuk turut serta dalam perjanjian itu pada zaman Islam, aku pasti menyertainya."

Perjanjian ini bercanggah dengan semangat jahiliah yang terkenal dengan semangat assabiyyah (kesukuan) yang sering mencetuskan perselisihan. Sebab tercetusnya perjanjian ini dikatakan kerana seorang lelaki dari kabilah Zubaid (زُبَيْد) tiba di Makkah dengan membawa barang dagangan. Namun, setelah menjualnya kepada al-‘Ash bin Wa’il as-Sahmi (العاصُ بنُ وائلٍ السَّهميُّ), beliau tidak menerima bayaran sewajarnya dari al-‘Ash. Lelaki Zubaid itu pun memohon bantuan dari beberapa Ahlaf Abd ad-Dar (عبدَ الدَّارِ), Makhzum (ومَخزومًا), Jumah (وجُمَحًا), Sahm (وسَهْمًا), dan ‘Adi (وعَدِيًّا), tetapi mereka tidak mempedulikannya. Maka lelaki tersebut naik ke Bukit Abu Qubais (جبلَ أبي قُبَيْسٍ), dan bersyair sambil meninggikan suaranya menggambarkan kezaliman yang menimpanya. Lalu syairnya itu didengari oleh az-Zubair bin Abdul Muttalib (الزُّبيرُ بنُ عبدِ المطَّلب), seraya bangkit dan berkata: ما لهذا مَتْرَكٌ"Orang ini tidak boleh dibiarkan begini," sehingga akhirnya pembesar Quraisy berkumpul dan mengadakan perjanjian yang dikenali sebagai Hilf al-Fudul. Mereka kemudian menuntut al-‘As bin Wa’il agar mengembalikan hak lelaki Zubaid itu.

Perjanjian ini dinamakan Hilf al-Fudul kerana ia menyerupai perjanjian yang telah termeterai antara tiga orang dari kabilah Jurhum (جُرْهُمَ) yang bernama al-Fadhl, iaitu al-Fadhl bin Fudala (الفضلُ بنُ فَضالةَ), al-Fadhl bin Wada’ah (والفضلُ بنُ وَداعةَ), dan al-Fadhl bin al-Harith (والفضلُ بنُ الحارثِ). Apabila perbuatan pembesar-pembesar Quraisy ini menyerupai tindakan tiga lelaki dari Jurhum ini yang kesemuanya bernama al-Fadl, maka perjanjian ini dinamakan sebagai Hilf al-Fudhul (حِلفُ الفُضولِ).


Cetak  
Wallahu a'lam