Sebahagian Arab Kembali Murtad Setelah Kewafatan Nabi SAW Dan Kebijaksanaan Abu Bakar al-Siddiq RA

Pada tahun 11H bersamaan 632M

Apabila Rasulullah SAW wafat, ramai orang Arab murtad, kemunafikan mulai menonjol, dan keadaan menjadi genting dan kritikal. Abu Bakar as-Siddiq tetap berpendirian untuk menghantar tentera yang diketuai oleh Usamah bin Zaid yang dibentuk oleh Rasulullah SAW. Hal ini menyebabkan bilangan tentera yang tinggal di Madinah sedikit. Ramai orang Arab Badwi mulai berniat untuk menyerang Madinah. Maka Abu Bakar meletakkan pengawal di sekeliling kota Madinah dan tentera bersiap siaga setiap malam atas sebarang kemungkinan yang berlaku.

Keadaan ini menyebabkan rombongan Arab yang tiba di Madinah menyatakan kesediaan untuk melaksanakan solat tetapi enggan membayar zakat. Ada juga yang enggan menyerahkan zakat kepada Abu Bakar. Para sahabat berbincang dengan Abu Bakar dan mencadangkan agar membiarkan mereka dahulu dalam keadaan begitu sehingga iman mereka kukuh. Namun, Abu Bakar menolak cadangan tersebut. Sehingga Umar bin al-Khattab berkata kepada Abu Bakar:

علامَ تقاتِلُ النَّاسَ؟ وقد قال رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم: أُمِرتُ أن أقاتِلَ النَّاسَ حتى يَشهَدوا أنْ لا إلهَ إلَّا اللهُ وأنَّ محمَّدًا رسولُ اللهِ، فإذا قالوها عصَمَوا مني دِماءَهم وأموالَهم إلَّا بحَقِّها؟

Maksudnya: “Mengapa engkau hendak memerangi mereka, sedangkan Rasulullah SAW bersabda: “Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad adalah Rasul Allah. Apabila mereka mengucapkannya, mereka selamat darah dan harta mereka kecuali hak-haknya?”

Abu Bakar menjawab:

واللهِ لو منعوني عَناقًا -وفي روايٍة: عِقالًا- كانوا يؤدُّونه إلى رَسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم، لأقاتِلَنَّهم على مَنْعِها؛ إنَّ الزكاةَ حقُّ المالِ، واللهِ لأقاتِلَنَّ مَن فَرَّق بين الصَّلاةِ والزكاةِ

“Demi Allah, jika mereka menahan walau seekor anak kambing - dalam riwayat lain : tali ikatan unta - yang mereka berikan kepada Rasulullah, pasti aku akan memerangi mereka kerana penolakan itu. Zakat adalah hak harta, dan demi Allah, aku akan memerangi sesiapa yang memisahkan antara solat dan zakat.”

Umar berkata:

فما هو إلَّا أن رأيتُ اللهَ قد شَرَح صَدْرَ أبي بكرٍ للقِتالِ، فعَرَفْتُ أنَّه الحَقُّ

“Kemudian aku melihat bahawa Allah telah melapangkan dada Abu Bakar untuk berperang, dan aku tahu itulah kebenaran.”

Abu Bakar kemudian memerangi mereka hingga tidak ada seorang pun di Semenanjung Arab yang tinggal kecuali mereka yang patuh kepada Allah dan Rasul-Nya atau mereka yang berada dalam perjanjian damai dengan Abu Bakar, seperti penduduk Najran dan seumpamanya. Kebanyakan peperangan ini berlaku pada akhir tahun ke-11 Hijrah dan awal tahun ke-12 Hijrah.


Cetak  
Wallahu a'lam