Pada tahun 11H bersamaan 632M, Setelah Khalid bin al-Walid RA menyelesaikan misinya di Yamamah, memerangi pengikut nabi palsu Musailimah al-Kazzab dan golongan yang tidak mengeluarkan zakat, beliau menerima arahan untuk bergerak menuju ke Iraq bagi membantu al-Mutsanna bin Haritsah (الْمُثَنَّى بن حارِثةَ). Khalid menuju ke al-Hirah (الحِيرَةِ) dan bertemu dengan pasukan al-Mutsanna serta pasukan Iyadh bin Ghanm (عِياضِ بن غَنْمٍ) di Hurmuz (هُرْمُزَ) yang terletak di al-Ubullah (الأُبُلَّة).
Beberapa peperangan berlaku di kawasan tersebut, yang dikenali sebagai kawasan timur Iraq di bawah penguasaan kerajaan Parsi. Dalam operasi ini, pelbagai kawasan berjaya dibuka seperti: al-Hirah, Al-Anbar (الأَنْبار), Dumat al-Jandal (دُومَة الجَنْدَلِ), al-Firadh (الفِراض), dan lainnya di Iraq.
Khalid bin al-Walid juga memperolehi kemenangan dalam banyak pertempuran menentang pasukan Parsi dan sekutu mereka, termasuk orang Arab Nasrani atau Kristian yang memihak kepada Parsi.