Menurut Abu Mikhnaf (أَبُو مِخْنَفٍ), permulaan peristiwa ini berlaku pada tahun 81H. Namun Al-Waqidi mengatakan ia berlaku pada tahun 82H. Manakala Ibn Jarir menyebut kisah ini pada tahun 81H seperti yang disebut oleh Abu Mikhnaf.
Sebab terjadinya fitnah ini adalah kerana Ibn Al-Asy'ath adalah seorang yang tidak disukai oleh Al-Hajjaj. Ibn Al-Asy'ath menyedari hal ini, namun beliau menyembunyikan pengetahuannya itu, menunggu kejatuhan al-Hajjaj dari kepimpinan di ‘Iraq bagi pihak Khalifah ‘Abdul Malik bin Marwan.
Apabila Al-Hajjaj melantik Ibn Al-Asy'ath untuk memimpin pasukan tentera untuk memasuki Rutbil (رُتْبِيلَ), di bawah kerajaan Turki, beliau pergi dan melakukan apa yang di arahkan oleh al-Hajjaj, sehingga berjaya membuka beberapa wilayah di Turki.
Beliau berpandangan adalah lebih baik bagi tenteranya untuk berhenti dari melakukan pembukaan sehingga tahun berikutnya untuk menguatkan atau mengembalikan tenaga mereka. Maka beliau menulis surat kepada Al-Hajjaj mengenai hasratnya itu. Namun suratnya dibalas oleh Al-Hajjaj dengan mengecamnya sebagai seorang pengecut dan enggan berperang. Al-Hajjaj juga memerintahkannya dengan tegas untuk terus mara memasuki Rutbil. Al-Hajjaj mendesak Ibn al-Asy‘ath dengan kiriman surat kedua dan ketiga dari beliau.
Apabila ketiga-tiga surat dari Al-Hajjaj diterima, yang memaksanya untuk melaksanakan perintah tersebut, Ibn Al-Asy'ath mengumpulkan pengikutnya dan memberikan mereka penjelasan mengenai apa yang beliau fikirkan dan mengenai surat-surat yang dihantar oleh Al-Hajjaj, yang mengarahkan mereka agar tetap segera mara dan menawan Rutbil. Keadaan ini membangkitkan rasa marah para tentera yang bersama Ibn al-Asy‘ath, mereka berkata:
لَا ، بَلْ نَأْبَى عَلَى عَدُوِّ اللَّهِ الْحَجَّاجِ ، وَلَا نَسْمَعُ لَهُ وَلَا نُطِيعُ
"Tidak, kami menolak perintah musuh Allah, al-Hajjaj, dan kami tidak akan mendengarnya atau mentaati arahan dia lagi."
Kata Abu Mikhnaf: Maka telah menceritakan kepadaku Mutarrif bin Amir bin Wathilah Al-Kinani (مُطَرِّفُ بْنُ عَامِرِ بْنِ وَاثِلَةَ الْكِنَانِيُّ), bahawa bapanya adalah orang pertama yang berkata dalam hal ini, dan beliau adalah seorang penyair dan seorang khatib. Di antaranya adalah apa yang beliau katakan:
إِنَّ مَثَلَ الْحَجَّاجِ فِي هَذَا الرَّأْيِ وَمَثَلَنَا كَمَا قَالَ الْأَوَّلُ لِأَخِيهِ : احْمِلْ عَبْدَكَ عَلَى الْفَرَسِ ، فَإِنْ هَلَكَ هَلَكَ ، وَإِنْ نَجَا فَلَكَ . إِنَّكُمْ إِنْ ظَفِرْتُمْ كَانَ ذَلِكَ زِيَادَةً فِي سُلْطَانِهِ ، وَإِنْ هَلَكْتُمْ كُنْتُمُ الْأَعْدَاءَ الْبُغَضَاءُ
Perumpamaan Al-Hajjaj dalam perkara ini dan kita adalah seperti yang dikatakan oleh seorang saudara kepada saudaranya: “Naikkan hambamu ke atas kuda, jika dia mati, maka matilah, dan jika hambamu itu selamat, maka kebaikan untukmu.” Sesungguhnya, jika kamu semua menang, itu adalah menambah kekuatan kepada kekuasaannya, dan jika kamu kalah, kamu adalah musuh yang dibenci."
Kemudian beliau berkata:
اخْلَعُوا عَدُوَّ اللَّهِ الْحَجَّاجَ - وَلَمْ يَذْكُرْ خَلْعَ عَبْدِ الْمَلِكِ - وَبَايِعُوا لِأَمِيرِكُمْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ الْأَشْعَثِ ، فَإِنِّي أُشْهِدُكُمْ أَنِّي أَوَّلُ خَالِعٍ لِلْحَجَّاجِ
"Tanggalkan (janji kesetiaanmua) dengan musuh Allah, Al-Hajjaj – beliau tidak menyebut tentang menanggalkan janji kesetiaan kepada Abdul Malik bin Marwan – dan berbai'ah untuk ketua kamu, Abdur Rahman bin Al-Asy'ath, kerana sesungguhnya saya menyaksikan bahawa saya adalah orang pertama yang menanggalkan taat setia saya kepada Al-Hajjaj."
Maka orang ramai dari setiap penjuru berkata: خَلَعْنَا عَدُوَّ اللَّهِ "Kami tanggalkan taat setia kepada musuh Allah (al-Hajjaj)."
Mereka segera pergi kepada Abdur Rahman bin Al-Asy'ath dan memberikan bai'ah kepadanya menggantikan Al-Hajjaj, dan mereka tidak menyebut tentang menanggalkan taat setia kepada Abdul Malik bin Marwan yang merupakan khalifah Umat Islam.
Perjanjian Antara Ibn Al-Asy'ath Dan Rutbil
Ibn Al-Asy'ath menghantar utusan kepada Rutbil (رُتْبِيلَ) dan membuat perjanjian bahawa jika dia berjaya mengalahkan Al-Hajjaj, maka tidak akan ada cukai (الخراج) dikenakan ke atas Rutbil selama-lamanya. Kemudian Ibn Al-Asy'ath mara dengan para tentera yang bersamanya dari Sijistan menuju ke ‘Iraq untuk menentang al-Hajjaj sekaligus merebut Iraq dari penguasaan al-Hajjaj. Namun, ketika mereka berada di pertengahan jalan, pengikutnya berkata:
إِنَّ خَلْعَنَا لِلْحَجَّاجِ خَلْعٌ لِابْنِ مَرْوَانَ
"Sesungguhnya kita menanggalkan taat setia kita terhadap Al-Hajjaj bermakna tertanggal juga taat setia terhadap Ibn Marwan."
Maka mereka pun menanggalkan kedua-dua bai‘ah mereka kepada al-Hajjaj dan Ibn Marwan, dan memperbaharui bai'ah (janji setia) kepada Ibn Al-Asy'ath. Mereka berbai'ah kepadanya untuk berpegang kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya, serta menentang pemimpin-pemimpin sesat dan berjihad melawan orang yang menghalalkan perkara yang haram.
Apabila berita ini sampai kepada al-Hajjaj, beliau menulis surat kepada Abdul Malik bin Marwan, memaklumkan peristiwa tersebut dan mendesaknya untuk segera mengirimkan tentera untuk membantunya menghadapi pasukan Ibn al-Asy‘ath. Al-Hajjaj kemudiannya bergerak ke Basrah.
Ketika berita pasukan Ibn Al-Asy'ath sampai kepada Al-Muhallab (الْمُهَلَّبَ), dia menulis surat kepada Ibn Al-Asy'ath mengajak beliau untuk bergabung kembali. Namun Ibn Al-Asy'ath menolak ajakan tersebut. Al-Muhallab menulis surat kepada Ibn Al-Asy'ath dengan katanya:
إِنَّكَ يَا ابْنَ الْأَشْعَثِ قَدْ وَضَعْتَ رَجْلَكَ فِي رِكَابٍ طَوِيلٍ ، أَبْقِ عَلَى أُمَّةِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، اللَّهَ اللَّهَ ، انْظُرْ لِنَفْسِكَ فَلَا تُهْلِكْهَا ، وَدِمَاءِ الْمُسْلِمِينَ فَلَا تَسْفِكْهَا ، وَالْجَمَاعَةِ فَلَا تُفَرِّقْهَا ، وَالْبَيْعَةِ فَلَا تَنْكُثْهَا ، فَإِنْ قُلْتَ : أَخَافُ النَّاسَ عَلَى نَفْسِي ، فَاللَّهُ أَحَقُّ أَنْ تَخَافَهُ مِنَ النَّاسِ ، فَلَا تُعَرِّضْهَا لِلَّهِ فِي سَفْكِ الدِّمَاءِ ، أَوِ اسْتِحْلَالِ مُحَرَّمٍ ، وَالسَّلَامُ عَلَيْكَ
"Wahai Ibn Al-Asy'ath, sesungguhnya kamu telah meletakkan kaki kamu di jalan yang panjang. Peliharalah umat Muhammad SAW, Allah, Allah. Jagalah dirimu dan jangan membinasakannya. Jangan tumpahkan darah umat Islam, jangan cerai-beraikan kesatuan mereka, dan jangan khianati bai'ahmu. Jika kamu katakana: “Aku takutkan orang ramai dan terpaksa mengikut kehendak mereka, maka ketahuilah bahawa Allah lebih berhak untuk kamu takuti daripada orang lain. Jangan terlibat dalam pembunuhan darah atau melakukan apa-apa yang haram. Semoga keselamatan menyertaimu."
Surat Al-Muhallab kepada Al-Hajjaj
Al-Muhallab juga menulis surat kepada Al-Hajjaj:
أَمَّا بَعْدُ ، فَإِنَّ أَهْلَ الْعِرَاقِ قَدْ أَقْبَلُوا إِلَيْكَ مِثْلَ السَّيْلِ الْمُنْحَدِرِ مِنْ عَلِ ، لَيْسَ شَيْءٌ يَرُدُّهُ حَتَّى يَنْتَهِيَ إِلَى قَرَارِهِ ، وَإِنَّ لِأَهْلِ الْعِرَاقِ شِرَّةً فِي أَوَّلِ مَخْرَجِهِمْ وَصَبَابَةً إِلَى أَبْنَائِهِمْ وَنِسَائِهِمْ ، فَلَيْسَ شَيْءٌ يَرُدُّهُمْ حَتَّى يَصِلُوا إِلَى أَهْلِيهِمْ ، وَيَشَمُّوا أَوْلَادَهُمْ ، ثُمَّ وَاقِعْهُمْ عِنْدَهَا ، فَإِنَّ اللَّهَ نَاصِرُكَ عَلَيْهِمْ إِنْ شَاءَ اللَّهُ
"Amma ba'du, sesungguhnya penduduk Iraq telah datang kepadamu seperti arus yang turun dari puncak bukit, tiada yang dapat menghalang mereka sehingga mereka mencapai tujuan mereka. Sesungguhnya penduduk Iraq sangat bersemangat di awal perjalanan mereka dan amat rindu untuk bertemu dengan keluarga mereka, tiada yang dapat menghalang mereka sehingga mereka sampai ke rumah mereka dan menghidu anak-anak mereka. Setelah itu, barulah mereka akan berhadapan dengan kamu. Sesungguhnya Allah akan membelamu untuk menghadapi mereka, in sya Allah."
Apabila Al-Hajjaj membaca surat tersebut, dia berkata:
فَعَلَ اللَّهُ بِهِ وَفَعَلَ ، لَا وَاللَّهِ مَا لِي نَظَرَ ، وَلَكِنْ لِابْنِ عَمِّهِ نَصَحَ
"Allah melakukan apa yang Dia lakukan. Tidak, demi Allah, aku tidak ada kepentingan dalam hal ini, tetapi bagi sepupuku, dia berhak memberi nasihat."
Ketika surat Al-Hajjaj sampai kepada Abdul Malik bin Marwan, baginda sangat terkejut dengan berita itu. Baginda turun dari tempat duduknya dan mengirimkan surat kepada Khalid bin Yazid bin Muawiyah, untuk dibacakan surat Al-Hajjaj kepadanya. Khalid menjawab:
يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ ، إِنْ كَانَ هَذَا الْحَدَثُ مِنْ قِبَلِ خُرَاسَانَ فَخَفْهُ ، وَإِنْ كَانَ مِنْ قِبَلِ سِجِسْتَانَ فَلَا تَخَفْهُ
"Wahai Amirul Mu’minin, jika peristiwa ini datangnya dari Khurasan, maka berwaspadalah, tetapi jika ia datang dari Sijistan, maka janganlah kamu khawatir."
Persiapan Tentera dan Kekalahan Tentera Hadapan Hajjaj
Kemudian, Abdul Malik bin Marwan memulakan persiapan tentera dari Syam ke Iraq untuk memberi sokongan kepada al-Hajjaj. Demikian juga al-Hajjaj bersiap untuk menghadapi pasukan Ibn al-Asy'ath. Al-Muhallab ada memberi nasihat kepada al-Hajja, namun beliau menolak nasihat dari al-Muhallab tersebut yang dipenuhi keikhlasan dan kebenaran.
Al-Hajjaj berterusan mengutus surat kepada Abdul Malik bin Marwan selaku Khalifah, memberi laporan mengenai pergerakan Ibn al-Asy'ath setiap pagi dan petang, di mana mereka berhenti, dari mana mereka bergerak, dan siapa di antara mereka yang paling cepat pergi menyertai Ibn al-Asy‘ath.
Orang ramai semakin menyertai Ibn al-Asy'ath dari setiap sudut, sehingga dikatakan Ibn al-Asy'ath disokong seramai 33,000 tentera berkuda dan 120,000 tentera berjalan kaki.
Al-Hajjaj, dengan tentera dari Syam, bergerak mara dari Basra untuk menghadapi pasukan Ibn al-Ash'ath dan berhenti singgah di Tustar (تُسْتَرَ). Al-Hajjaj mengarahkan Mutahhir bin Hayy al-Akki (مُطَهِّرَ بْنَ حَيٍّ الْعَكِّيَّ) menjadi komander untuk bahagian hadapan, bersama dengan Abdullah bin Zumayt (عَبْدُ اللَّهِ بْنُ زُمَيْتٍ) sebagai komander kedua. Mereka sampai di Dujayl (دُجَيْلٍ), dan bertembung dengan pasukan Ibn al-Asy'ath yang hanya terdiri daripada 300 tentera berkuda di bawah pimpinan Abdullah bin Aban al-Harithi (عَبْدُ اللَّهِ بْنُ أَبَانٍ الْحَارِثِيُّ). Pertempuran besar berlaku pada hari Raya Adha di tepi Sungai Dujayl, dan tentera hadapan al-Hajjaj dikalahkan. Banyak dari pasukan Hajjaj yang terbunuh, sekitar 1500 orang, dan dirampas harta benda, kuda, dan peralatan perang.
Berita kekalahan itu sampai kepada Hajjaj, dan dia merasa sangat tertekan. Ketika itu dia sedang berucap di hadapan tenteranya, dia berkata:
أَيُّهَا النَّاسُ ، ارْجِعُوا إِلَى الْبَصْرَةِ ، فَإِنَّهُ أَرْفَقُ بِالْجُنْدِ
"Wahai orang ramai, kembali ke Basra kerana itu lebih baik untuk tentera."
Tentera Hajjaj pun berundur, dikejar oleh pasukan Ibn al-Ash'ath yang tidak membiarkan sesiapa yang terpisah kecuali mereka membunuhnya atau menangkapnya. Hajjaj melarikan diri sehingga dia sampai di al-Zawiyah (الزَّاوِيَةَ) dan berkhemah di sana. Dia berkata:
لِلَّهِ دَرُّ الْمُهَلَّبِ ! أَيُّ صَاحِبِ حَرْبٍ هُوَ، قَدْ أَشَارَ عَلَيْنَا بِالرَّأْيِ ، وَلَكِنَّا لَمْ نَقْبَلْ
"Semoga Allah memberkati al-Muhallab! Betapa hebatnya dia sebagai seorang pemimpin perang. Dia telah memberi kami nasihat yang sangat baik, namun kami tidak menerimanya."
Hajjaj menghabiskan wang perak yang banyak untuk perbelanjaan tentera di Zawiah, dan membuat parit mengelilingi kemnya. Sementara itu, orang-orang Iraq yang menyertai pasukan Ibn al-Asy‘ath memasuki Basra, bertemu keluarga mereka dan mencium anak-anak mereka. Ibn al-Asy'ath memasuki Basra, berucap di hadapan orang ramai dan mengajak mereka untuk membai‘ahnya menggantikan Abdul Malik bin Marwan dan al-Hajjaj. Ibn al-Asy'ath berkata kepada mereka:
لَيْسَ الْحَجَّاجُ بِشَيْءٍ ، وَلَكِنِ اذْهَبُوا بِنَا إِلَى عَبْدِ الْمَلِكِ لِنُقَاتِلَهُ
"al-Hajjaj tidak nilainya, tetapi marilah kita mara menuju Abdul Malik bin Marwan untuk memeranginya."
Ramai dari kalangan penduduk Basra menyetujui gerakan Ibn al-Asy'ath. Mereka terdiri daripada para ulama, qari, orang-orang tua dan para pemuda. Ibn al-Asy'ath kemudiannya memerintahkan untuk dibina parit di sekeliling Basrah dan peristiwa ini berlaku pada akhir bulan Zulhijjah tahun 81H.