Golongan Khawarij dikenali dengan nama ini selepas peristiwa tahkim (penghakiman) dalam Perang Siffin. Sebelum itu, mereka merupakan penyokong tegar Saidina Ali bin Abi Talib RA dan turut serta bersamanya dalam peperangan Jamal dan Siffin. Namun, selepas itu, mereka berpecah daripada kumpulan ‘Ali, menolak keputusan tahkim, dan enggan kembali kepada kesatuan umat meskipun Ali berusaha memujuk dan mengembalikan mereka kepada jalan yang benar.
Sebaliknya, mereka terus berkeras dengan pendirian mereka, bahkan menjadi lebih ekstrem, hingga mencetuskan huru-hara dan melakukan kerosakan di muka bumi. Perkara ini memaksa Ali memerangi mereka, sehingga sebahagian besar golongan Khawarij berjaya ditewaskan dalam Peperangan Nahrawan (معركة النهروان).
Golongan Khawarij tidak menyukai nama "Khawarij," kerana nama tersebut diberikan oleh pihak yang menentang mereka disebabkan pemberontakan mereka terhadap imam atau pemimpin maysrakat Muslimin. Mereka menamakan diri mereka sebagai "al-Syurah" (الشُّراةُ), kerana mereka percaya bahawa mereka telah "menjual" diri mereka kepada Allah dengan janji bahawa mereka akan mendapat syurga. Penamaan ini mereka kaitkan dengan firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah, ayat 111:
}۞إِنَّ ٱللَّهَ ٱشۡتَرَىٰ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَنفُسَهُمۡ وَأَمۡوَٰلَهُم بِأَنَّ لَهُمُ ٱلۡجَنَّةَۚ {
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka." (al-Taubah: 111)
Mereka beranggapan penamaan ini bertepatan dengan selogan yang mereka laungkan: “La Hukma Illa Lillah" (لا حكم إلا لله), "Tiada hukum melainkan milik Allah." Selain itu, mereka juga dikenali sebagai "al-Haruriyyah" (الحرورية), merujuk kepada kampung bernama Harura (حروراء), sebuah perkampungan berhampiran Kufah, yang menjadi tempat pertama perkumpulan mereka keluar menentang Saidina Ali RA.Top of Form
Apabila sebab pemberontakan mereka adalah kerana Saidina Ali menerima tahkim (penghakiman) antara beliau dan Muawiyah, maka mereka telah merangka sebuah teori tentang kepimpinan (khilafah) yang berasaskan kepada dua prinsip umum yang menjadi pegangan bersama;
Prinsip pertama: Kekhalifahan tidak terbatas kepada suku Quraisy sebagaimana pendapat Ahli Sunnah, tetapi boleh diberikan kepada mana-mana Muslim yang layak, walaupun dia seorang hamba dari Habsyah. Khalifah mesti dilantik melalui pemilihan bebas oleh umat Islam, dan setelah dilantik, dia tidak berhak melepaskan jawatannya atau menerima tahkim (penghakiman).
Berdasarkan prinsip ini, golongan Khawarij mengakui kekhalifahan Abu Bakar dan Umar. Namun, mereka hanya mengakui kekhalifahan Uthman pada separuh penggal pertama pemerintahannya, namun menolak dan mengkafirkannya pada separuh penggal kedua pemerintahannya.
Adapun Saidina Ali, mereka mengakui beliau sebagai khalifah yang wajib ditaati dari awal hingga sebelum beliau menerima tahkim. Selepas beliau menerima tahkim, mereka tidak lagi mengakui sebagai khalifah, bahkan mengkafirkannya. Mereka juga tidak mengakui kekhalifahan Muawiyah serta pemerintahan Bani Umayyah, malah mengkafirkan mereka semua.
Selain itu, mereka mengkafirkan Aisyah, Talhah, Zubair, Amr bin Al-As, dan Abu Musa Al-Asy'ari, serta sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan pandangan mereka.
Secara umum, mereka mengkafirkan semua Muslim yang tidak mengikut fahaman mereka, menganggap negara mereka sebagai "darul kufr" (negeri kafir), dan menghalalkan harta serta darah mereka, sehingga halal untuk membunuh anak-anak mereka yang telah dihukum sebagai kafir tersebut.
Prinsip kedua yang menjadi asas pemikiran golongan Khawarij ialah kewajipan memberontak terhadap imam yang zalim. Di sinilah terletaknya bahaya besar dalam pemikiran dan gerakan mereka. Jika mereka hanya terhad kepada perbezaan pendapat secara teori atau perdebatan menggunakan hujah dan bukti, perkara ini mungkin tidak begitu membimbangkan.
Namun, mereka memilih untuk mengangkat senjata terhadap sesiapa yang berbeza pandangan mereka, bermula penentangan mereka terhadap Saidina Ali bin Abi Talib RA, mereka berusaha memaksakan pandangan dan mazhab mereka dengan kekerasan.
Sebagaimana mereka bersikap ekstrem dalam pandangan dan mazhab, mereka juga bersikap ekstrem dalam menggunakan kekuatan dan kekerasan. Akibatnya, mereka menyebabkan kerugian besar kepada umat Islam dan diri mereka sendiri, mengganggu kestabilan negara, serta menimbulkan kekacauan dalam pemerintahan Bani Umayyah, di mana mereka menjadi antara penentang yang paling kuat.Bottom of Form
Bermulanya keluarnya golongan Khawarij menentang Muawiyah apabila beliau memasuki Kufah, manakala al-Hasan bin ‘Ali serta keluarganya keluar dari Kufah menuju ke Hijaz. Mereka menganggap Muawiyah sebagai perampas kuasa pemerintahan yang perlu diperangi, bahkan mereka berkeyakinan memerangi Muawiyah sebagai satu ibadah mereka kepada Allah. Berbeza dengan pandangan mereka terhadap Ali RA, di mana sesetengah mereka masih ragu untuk memeranginya. Oleh itu, selepas kewafatan Ali RA, Muawiyah RA. dan para pemerintah Bani Umayyah selepasnya menghadapi pemberontakan besar dari golongan Khawarij. Golongan Khawarij menjadi duri dalam daging yang mengganggu kestabilan negara selama beberapa waktu.
Orang pertama yang keluar menentang Bani Umayyah adalah Farwah bin Naufal al-Ashja‘ie (فَروةُ بنُ نَوفَلٍ الأشجَعيُّ), yang juga dikenali sebagai Qurrah (قُرَّةَ) Abu Mansur, Abdul Qahir bin Tahir al-Baghdadi dalam kitabnya al-Farq Bain al-Firaq.
Farwah bin Naufal memulakan penentangannya terhadap Muawiyah pada tahun 41H. Beliau di awalnya mengambil tindakan berkecuali dari menentang Ali RA. Bersama lima ratus orang dari kalangan Khawarij yang bersetuju dengannya menuju ke Shahrazur (شَهْرَزُورَ) sambil berkata:
واللهِ ما أدري على أيِّ شيءٍ نقاتِلُ عَلِيًّا؟ أرى أن أنصَرِفَ حتَّى تتَّضِحَ لي بصيرتي في قتالِه أو أتابِعَه
"Demi Allah, aku tidak tahu atas dasar apa kita perlu memerangi Ali. Aku melihat baik aku berpaling dari memerangi ‘Ali, sehingga perkara ini jelas kepadaku, sama ada berperang dengannya atau mengikuti dia."
Ini menunjukkan keraguan Farwah dalam memerangi Ali RA. Namun, setelah Muawiyah memasuki Kufah dan keluarnya al-Hasan dari Kufah bersama keluarganya, Farwah meyakini telah berlaku rampasan kuasa yang dilakukan oleh Muawiyah terhadap al-Hasan bin Ali, dia berkata:
قد جاء الآنَ ما لا شَكَّ فيه، فسِيروا إلى معاويةَ فجاهِدوه
"Sekarang telah datang perkara yang tiada keraguan padanya, marilah kita memerangi Muawiyah dan berjihad melawan dia."
Kemudian mereka menuju ke al-Nukhaylah, sebuah kawasan berhampiran dengan Kufah, dan mendirikan khemah penenpatan di sana. Pada waktu itu, Hasan bin Ali telah bergerak menuju Madinah. Lalu Muawiyah mengutus surat kepadanya untuk meminta Hasan memerangi Farwah. Utusan Muawiyah bertemu dengan Hasan di Qadisiyyah atau berhampirannya, tetapi Hasan tidak bersetuju untuk kembali dan membalas surat kepada Muawiyah dengan berkata:
لَوْ آثَرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ أَحَدًا مِنْ أَهْلِ الْقِبْلَةِ لَبَدَأْتُ بِقِتَالِكَ، فَإِنِّي تَرَكْتُكَ لِصَلَاحِ الْأُمَّةِ وَحَقْنِ دِمَائِهَا
"Sekiranya aku utamakan untuk memerangi seseorang dari kalangan ahli kiblat, nescaya aku akan memulai dengan memerangimu. Namun, aku telah menyerahkan kepadamu demi kebaikan umat ini dan memilih untuk berkecuali dari pertumpahan darah."
Muawiyah menghantar tentera dari Syria untuk menentang golongan Khawarij. Tetapi golongan Khawarij berjaya mengalahkan tentera tersebut. Muawiyah menggunakan taktik dengan berkata kepada penduduk Kufah:
واللهِ لا أمانَ لكم عِندي حتَّى تَكفُّوهم
"Demi Allah, tidak ada jaminan keselamatan bagi kalian daripada aku sehingga kalian menghalang mereka."
Ancaman ini memberi kesan yang besar kepada penduduk Kufah, menyebabkan mereka keluar untuk berperang dengan golongan Khawarij tersebut. Apabila golongan Khawarij melihat penduduk Kufah yang beramai-ramai keluar hendak memerangi mereka, mereka berkata:
أليس معاويةُ عَدُوَّنا وعَدُوَّكم؟ دعونا نقاتِلْه، فإنْ أصَبْنا كُنَّا قد كفيناكم عَدُوَّكم، وإن أصابَنا كُنتُم قد كُفيتُمونا
"Bukankah Muawiyah itu musuh kami dan musuh kalian? Biarkan kami berperang dengannya, jika kami menang, kami telah mengalahkan musuh kalian juga, dan jika kami kalah, kalian telah terselamat."
Namun, penduduk Kufah tidak terpengaruh dengan kata-kata mereka, lalu Khawarij berkata:
رَحِم اللهُ إخوانَنا من أهلِ النَّهرِ، هم كانوا أعلَمَ بكم يا أهلَ الكوفةِ
"Semoga Allah merahmati saudara-saudara kami dari penduduk al-Nahr, mereka lebih mengetahui tentang kalian, wahai penduduk Kufah."
Golongan Asyja’ (أشجَعُ) Berjaya menculik Farwah, lalu menasihatinya dan memberi peringatan, tetapi dia tetap enggan. Maka mereka menangkapnya secara paksa dan membawanya ke Kufah. Golongan Khawarij melantik Abdullah bin Abi Al-Hawsa’ (عَبْد اللَّهِ بْن أَبِي الْحَوْسَاءِ) daripada kabilah Tayy (طَيِّئٍ) sebagai pemimpin mereka. Penduduk Kufah bertempur dengan mereka pada bulan Rabiul Awal (atau ada yang mengatakan pada bulan Rabiul Akhir), dan Abdullah bin Abi Al-Hawsa’ terbunuh.