Tahun Hijrah: 18 Sebelum Hijrah (18 QH)
Tahun Masihi: 605
Diriwayatkan oleh Mujahid, daripada maulanya yang menceritakan bahawa dia termasuk dalam kalangan orang yang membina Kaabah pada zaman jahiliah. Dia berkata:
فَبَنَيْنا حتَّى بلغنا موضعَ الحَجَرِ وما يَرى الحَجَرَ أحدٌ، فإذا هو وَسْطَ حِجارتِنا مِثلَ رأسِ الرَّجلِ، يَكادُ يَتراءى منه وجهُ الرَّجلِ، فقال بطنٌ من قُريشٍ: نحن نَضعهُ. وقال آخرون: نحن نَضعهُ. فقالوا: اجعلوا بينكم حَكَمًا. قالوا: أوَّلُ رجلٍ يَطلُعُ مِنَ الفَجِّ. فجاء النَّبيُّ صلى الله عليه وسلم، فقالوا: أتاكمُ الأَمينُ. فقالوا له، فوضعهُ في ثوبٍ ثمَّ دعا بُطونَهم فأخذوا بنواحيه معهُ، فوضعهُ هو صلَّى الله عَليهِ وسلَّم
"Kami membina (semula) Kaabah (setelah rosak dilanda banjir besar) sehingga tiba di tempat Hajar Aswad. Tidak ada seorang pun yang ada melihat Hajar Aswad (dalam keruntuhan tersebut). Namun tiba-tiba ia kelihatan berada di tengah himpunan batu-bata, seperti kepala seorang lelaki, hampir dapat dilihat wajah seorang lelaki dari (cahaya)nya. Ketika itu, salah satu kaum Quraisy berkata, "Kami akan meletakkannya (di tempatnya)." Kaum Quraisy yang lain juga berkata, "Kami yang akan meletakkannya." Akhirnya mereka berkata: "Mari kita memilih kata pemutus antara kita." Mereka pun memutuskan, orang pertama yang masuk melalui lembah ini (dan masuk ke Masjid) akan menjadi hakim pemutus untuk kita." Lalu datanglah Nabi Muhammad SAW, dan mereka berkata, "Telah datang kepada kamu seorang yang dipercayai." Mereka pun menceritakan hal tersebut kepada baginda, lalu Baginda meletakkan Hajar Aswad di atas sehelai kain, lalu baginda memanggil semua kabilah untuk memegang bahagian tepi kain tersebut bersama-sama. Setelah itu, Baginda SAW sendiri yang meletakkan Hajar Aswad ke tempatnya.”