Penciptaan Langit dan Bumi

Allah SWT berfirman:

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَجَعَلَ الظُّلُمَاتِ وَالنُّورَ ثُمَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِرَبِّهِمْ يَعْدِلُونَ


"Segala puji bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, serta menjadikan kegelapan dan cahaya. Kemudian orang-orang kafir menyamakan (Allah dengan makhluk-Nya)." (Surah Al-An’am: 1)

Firman-Nya lagi:

إِنَّ رَبَّكُمُ اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ

"Sesungguhnya Tuhanmu adalah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam hari." (Surah Al-A’raf: 54)

Demikian juga terdapat ayat-ayat lain dalam Al-Quran yang menyebut tentang penciptaan ini.

 

Perbezaan Pendapat Tentang Enam Hari

Para ulama tafsir berbeza pendapat tentang tempoh enam hari penciptaan ini:

  1. Pendapat majoriti ulama mengatakan hari-hari ini adalah seperti hari-hari biasa yang kita lalui.
  2. Pendapat Ibn Abbas, Mujahid, Al-Dhahhak (الضَّحَّاكِ), dan Ka’ab Al-Ahbar (وَكَعْبِ الْأَحْبَارِ) mengatakan, setiap hari daripada enam hari tersebut sama dengan seribu tahun menurut kiraan manusia. Pendapat ini diriwayatkan oleh Ibn Jarir dan Ibn Abi Hatim. Pendapat ini dipilih oleh Imam Ahmad bin Hanbal dalam kitabnya yang membantah fahaman Jahmiyyah, menjadi pandangan pilihan Ibn Jarir dan beberapa ulama mutakkhirin lain.

Ibn Jarir RH meriwayatkan daripada al-Dhakkak bin Muzahim (الضَّحَّاكِ بْنِ مُزَاحِمٍ) dan selain beliau yang menyebut tentang nama enam hari tersebut iaitulah Abjad (أَبْجَدْ), Hawwaz (هَوَّزْ), Hutti (حُطِّي), Kalaman (كَلَمُنْ), Sa'fas (سَعْفَصْ), Qarashat (قَرَشَتْ).

 

Hari Permulaan Penciptaan

Para ulama juga berbeza pendapat tentang hari apa Allah memulakan penciptaan langit dan bumi. Ibn Jarir menukilkan tiga pandangan.

Riwayat daripada Muhammad bin Ishak yang berkata:

يَقُولُ أَهْلُ التَّوْرَاةِ ابْتَدَأَ اللَّهُ الْخَلْقَ يَوْمَ الْأَحَدِ. وَيَقُولُ أَهْلُ الْإِنْجِيلِ: ابْتَدَأَ اللَّهُ الْخَلْقَ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ. وَنَقُولُ نَحْنُ الْمُسْلِمُونَ فِيمَا انْتَهَى إِلَيْنَا عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ابْتَدَأَ اللَّهُ الْخَلْقَ يَوْمَ السَّبْتِ. وَهَذَا الْقَوْلُ الَّذِي حَكَاهُ ابْنُ إِسْحَاقَ عَنِ الْمُسْلِمِينَ مَالَ إِلَيْهِ طَائِفَةٌ مِنَ الْفُقَهَاءِ مِنَ الشَّافِعِيَّةِ وَغَيْرِهِمْ

"Ahli Taurat (Yahudi) mengatakan bahawa Allah memulakan penciptaan pada hari Ahad. Ahli Injil (Kristian) pula mengatakan bahawa Allah memulakan penciptaan pada hari Isnin. Kami, kaum Muslimin, berdasarkan apa yang sampai kepada kami daripada Rasulullah SAW, mengatakan bahawa Allah memulakan penciptaan pada hari Sabtu. Pendapat ini, yang dinyatakan oleh Ibn Ishaq mengenai Muslimin, dipegang oleh sebahagian fuqaha dari kalangan ulama Syafi’iyyah dan lainnya."

Akan didatangkan nanti hadis Abu Hurairah tentang Allah menciptakan tanah pada hari Sabtu.

Pendapat yang mengatakan penciptaan bermula pada hari Ahad diriwayatkan juga oleh Ibn Jarir daripada As-Suddi (السُّدِّيِّ), daripada Abu Malik, dan Abu Salih, daripada Ibn Abbas, daripada Murrah (مُرَّةَ), daripada Ibn Mas'ud, serta daripada sekelompok sahabat. Ibn Jarir turut meriwayatkan pendapat ini daripada Abdullah bin Salam (عَبْد اللَّهِ بْن سَلَامٍ) dan memilihnya sebagai pandangan yang lebih kuat. Pendapat ini disebut dalam Taurat, dan dipilih oleh sebahagian fuqaha yang lain. Pendapat ini lebih sesuai dengan namanya sebagai 'Ahad' (hari pertama). Oleh itu, penciptaan disempurnakan dalam enam hari, dengan hari terakhirnya adalah hari Jumaat. Maka, umat Islam menjadikan hari Jumaat sebagai hari raya mingguan mereka. Hari ini juga adalah hari yang telah Allah sesatkan daripada Ahli Kitab sebelum kita, sehingga ketika mereka diminta untuk memilih hari hari untuk melaksanakan ibadat di dalamnya, mereka memilih hari selain Jumaat.

 

 


Cetak  
Wallahu a'lam