Tahun: 13 tahuh sebelum Hijrah
Bulan Qamariyah: Syawal
Tahun Masihi: 610
Butiran Peristiwa:
Wahyu terhenti untuk suatu tempoh waktu dari diturunkan kepada Rasulullah ﷺ, hingga hal tersebut menjadi satu bebanan yang dirasai oleh baginda dan membuat baginda berasa sedih. Tidak lama selepas keadaan itu, tiba-tiba malaikat Jibril datang kepada baginda membawa surah Ad-Dhuha. Di dalamnya Allah bersumpah kepada baginda bahawa Dia tidak meninggalkan baginda dan tidak membenci baginda.
Dalam Sahih Bukhari, terdapat riwayat daripada Jundub bin Abdullah (جندب بن عبدالله) رضي الله عنه yang mengatakan:
احْتَبَسَ جِبْرِيلُ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ علَى النبيِّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ، فَقالتِ امْرَأَةٌ مِن قُرَيْشٍ -وهي أمُّ جميلٍ أَرْوى بنتُ حَرْبٍ أُخْتُ أبي سُفيانَ وزوجُ أبي لَهَبٍ-: أَبْطَأَ عليه شيطَانُهُ، فَنَزَلَتْ: {وَالضُّحَى واللَّيْلِ إذَا سَجَى، ما ودَّعَكَ رَبُّكَ وما قَلَى}
“Malaikat Jibril menahan diri (tidak datang) kepada Nabi ﷺ, lalu seorang wanita dari Quraisy – iaitu Ummu Jamil Arwa binti Harb (adik Abu Sufyan dan isteri Abu Lahab) – berkata: “Syaitan yang mendampinginya sudah lama tidak datang.” Maka turunlah firman Allah: “Demi waktu dhuha, dan demi malam apabila ia sunyi. Tuhanmu tidak meninggalkanmu dan tidak pula membencimu.” (Surah Ad-Dhuha: 1-3)