Tahun: 11 Hijriyyah
Tahun Masihi: 632
Butiran Peristiwa:
Setelah Khalid bin al-Walid berangkat dari Zul Qissah (ذي القصَّةِ) dan berpisah dengan Abu Bakar as-Siddiq, mereka telah sepakat untuk bertemu di kawasan Khaibar bersama para panglima. Rancangan ini diumumkan untuk menakutkan orang-orang Arab Badwi. Abu Bakar memerintahkan Khalid untuk menyerang Tulaihah bin Khuwailid al-Asadi (طليحةَ بن خُوَيلدٍ الأسديِّ) terlebih dahulu sebelum menuju kepada Bani Tamim (بني تميمٍ).
Tulaiha berada bersama kaumnya dari Bani Asad (بني أسَدٍ), serta disokong oleh Ghatafan (غَطفانَ), dan beberapa suku lain seperti Bani ‘Abs (بنو عبسٍ), Dhibyan (ذبيان), serta Bani Judailah (بني جديلةَ) dan Ghouth (الغوثِ) dari Tayyi’ (طَيِّئ). Khalid Bersiap sedia berhadapan dengan Tulaiha. Di peringkat awal beliau menghantar beberapa utusan, memperingatkan Tulaihah agar dia tidak menyebabkan tertumpahnya darah pengikutnya, namun Tulaiha enggan dan meneruskan dalam tindakan zalimnya.
Khalid akhirnya memutuskan untuk memeranginya. Banyak suku Arab Badwi yang memerhati dan melihat pihak mana yang akan menang. Tulaiha memimpin kaumnya dan sekutunya dalam peperangan, akan tetapi orang ramai yang menyertainya melarikan diri dan meninggalkan Tulaihah. Ketika tentera Muslim datang kepada Tulaihah, dia melarikan diri ke Syam dengan menaiki kuda, bersama isterinya al-Nawwar (النوارَ) yang menaiki unta. Pengikutnya berpecah, dan sebahagian besar mereka tewas dan terbunuh.
Tulaiha, mula murtad semasa hayat Nabi ﷺ. Dia mendapat sokongan daripada ‘Uyainah bin Hisn (عُيَينةُ بنُ حِصنٍ) yang juga telah murtad dari agama Islam. Khalid bin al-Walid Berjaya menangkap ‘Uyainah dan membawanya ke Madinah dalam keadaan tangannya diikat ke leher. Apabila dia masuk ke kota Madinah dalam keadaan sedemikian, anak-anak di Madinah mengejek dan memukulnya sambil berkata:
أيْ عَدُوَّ اللهِ، ارتدَدْتَ عن الإسلامِ
“Wahai musuh Allah, kamu telah murtad dari Islam?”
Dia menjawab:
واللهِ ما كنتُ آمنتُ قطُّ!
“Demi Allah, aku tidak pernah beriman sama sekali!”
Ketika dia dibawa ke hadapan Abu Bakar, dia diberi peluang untuk bertaubat. Darahnya tidak ditumpahkan, dan akhirnya dia kembali kepada Islam dan dia menjadi seorang yang kuat berpegang dengan agama.
Demikian juga Tulaihah sendiri akhirnya bertaubat dan kembali kepada Islam. Dia pergi ke Mekah untuk melakukan umrah pada zaman pemerintahan Abu Bakar. Namun, dia merasa malu untuk bertemu dengan Abu Bakar sepanjang hayatnya dan pulang tanpa berjumpa dengan Abu Bakar RA. Setelah itu, Tulaiha turut serta dalam pertempuran bersama Khalid bin al-Walid RA. Abu Bakar menulis surat kepada Khalid:
أنِ استَشِرْه في الحربِ ولا تُؤَمِّرْه
“Gunakan pendapatnya dalam peperangan, tetapi jangan kamu lantik dia sebagai pemimpin.”