Firman Allah SWT:
قِيلَ يَنُوحُ اهْبِطُ بِسَلَامٍ مِنَّا وَبَرَكَاتٍ عَلَيْكَ وَعَلَى أُمَمٍ مِمَّن مَّعَكَ وَأُمَمٌ سَنُمَيْعُهُمْ ثُمَّ يَمَسُّهُم مِنَّا عَذَابٌ أَلِيمٌ تِلْكَ مِنْ أَنْبَاءِ الْغَيْبِ نُوحِيهَا إِلَيْكَ مَا كُنتَ تَعْلَمُهَا أَنتَ وَلَا قَوْمُكَ مِن قَبْلِ هَذَا فَاصْبِرْ إِنَّ الْعَاقِبَةَ لِلْمُتَّقِينَ
"Dikatakan: ‘Wahai Nuh! Turunlah dengan keselamatan daripada Kami dan keberkatan ke atasmu dan ke atas umat-umat yang bersamamu. Dan umat-umat (yang lain) yang akan Kami beri kenikmatan, kemudian mereka akan ditimpa azab yang pedih daripada Kami.’ Itu adalah sebahagian daripada berita-berita ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad). Engkau tidak mengetahuinya, begitu juga kaummu, sebelum ini. Maka bersabarlah. Sesungguhnya kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa." (Surah Hud: 48-49)
Pertama: Firman Allah SWT: قِيلَ يَنُوحُ اهْبِطُ بِسَلَامٍ مِنَّا ‘Dikatakan: Wahai Nuh, turunlah dengan keselamatan daripada Kami’
[*] "Dikatakan: Wahai Nuh" (Surah Hud: 48)
Perkataan "dikatakan" diungkapkan dalam bentuk majhul tanpa ada huruf ‘ataf sebelumnya, untuk membawa kisah ini kepada penutupnya. Fa’il yang berkata ialah Allah SWT, yang telah mewahyukan kepada Nabi Nuh AS.
[*] اهْبِطُ atau “Turunlah" (Surah Hud: 48)
Kalimah "turunlah" menggambarkan seolah-olah kapal Nabi Nuh itu terapung di udara. Disebabkan ombak yang tinggi, kapal itu kelihatan seperti di udara, maka ungkapan yang digunakan ialah "turunlah". Selain itu, kapal tersebut mungkin berada di tempat yang tinggi, maka istilah "turun" lebih sesuai. Ungkapan "turun" juga memberikan gambaran bahawa mereka turun dari bahagian atas kapal, dan perjalanan ke daratan memerlukan penggunaan tangga atau kayu condong. Sekiranya bahagian atas kapal tersebut berada di aras tanah yang sama dengan permukaan daratan, ungkapan yang lebih sesuai ialah اخرج atau "keluarlah."
[*] Ayat: بِسَلَامٍ مِنَّا وَبَرَكَاتٍ عَلَيْكَ "Dengan keselamatan daripada Kami dan keberkatan ke atasmu" (Surah Hud: 48)
Maksudnya, Nabi Nuh AS, sama ada manusia atau apa sahaja yang bersamanya diperintahkan untuk turun dengan keselamatan yang diberikan oleh Allah SWT, serta keberkatan yang melimpah daripada-Nya.
[*] Ungkapan: بِسَلَام مِنَّا “Dengan Keselamatan daripada Kami” (Surah Hud: 48)
Ungkapan ini menunjukkan bahawa Allah SWT memberikan keamanan yang mencakupi segala aspek yang diperlukan oleh manusia, seperti keselamatan daripada bencana, daripada keburukan makhluk, dan daripada kematian akibat kelaparan atau kehausan dan seumpamanya.
Keselamatan daripada ALlah juga mengandungi maksud:
Keselamatan yang dijanjikan membawa makna ketenangan, kedamaian dan kestabilan (السكينة والأمن والاستقرار والهدوء). Tamadun manusia yang kedua ini dibina atas asas yang kukuh, iaitu السلام atau keamanan dan keselamatan, sebagaimana yang dijelaskan dalam firman-Nya: بِسَلَام مِنَّا iaitu “Dengan keselamatan daripada Kami” (Surah Hud: 48).
السلام atau keselamatan ini juga meliputi pelbagai aspek:
- Keselamatan agama dan tauhid.
- Keselamatan untuk para pengikut Nabi Nuh: Mereka dijanjikan perlindungan daripada segala ancaman.
- Keselamatan dalam asas kehidupan baru yang akan diimpim oleh baginda.
- Keselamatan dalam aspek ekonomi, sosial, dan politik, demikian juga dalam hubungan manusia dengan alam semesta, persekitaran, dan sesama manusia menjadi lebih baik dan teratur.
Nama Allah السلام “As-Salam”:
Salah satu nama Allah yang indah ialah As-Salam (Yang Maha Sejahtera). Dalam bahasa, As-Salam membawa maksud bebas daripada sebarang kecacatan dan kekurangan (البراءة من العيوب والنقائص). Ia mencakupi makna ketenangan, kedamaian dan kestabilan (السكينة والأمن والاستقرار والهدوء).
[*] Kesempurnaan sifat Allah السلام:
Allah SWT adalah Zat yang sempurna dalam sifat, perbuatan, dan keadilan-Nya, bebas daripada segala yang tidak sesuai dengan kemuliaan-Nya.
Dari nama As-Salam, terbitlah perkataan الإسلام “Islam”, iaitu agama Allah SWT, sebagaimana firman-Nya:
إِنَّ الَّذِينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ
“Sesungguhnya agama di sisi Allah adalah Islam” (Surah Ali Imran: 19).
Kata Ibn Qayyim al-Jauziyyah RH:
من اسم السلام جَلَّ جَلالُهُ قولان: أحدهما: أنه مصدر، وإطلاقه عليه كإطلاق العدل عليه، والمعنى: أنه ذو السلام، وذو العدل على حذف المضاف. والثاني: أن المصدر لمعنى الفاعل أي: السالم، كما سميت ليلة القدر سلاماً، أي: سالمة من كل شر بل هي الخير لا شر فيه
“Dari nama السلام terdapat dua pandangan: (Pertama) Ia adalah kata terbitan (مصدر) menamakan ALlah dengan السلام bermaksud Dialah ALlah ذو السلام Yang Memiliki Keselamatan dan kesejahteraan, sebagaimana menamakan Allah SWT dengan العدل iaitu Diala Allah ذو العدل Yang Memiliki Keadilan, dimana dihazaf mudhafnya (ذو). (Kedua) Ia adalah kata terbitan (مصدر) yang memaksudkan fa’il atau kata nama bagi pelaku, iaitu السالم bermaksud Zat yang sempurna dan selamat daripada segala kekurangan. Ia sepertimana dinamakan malam Lailatul Qadr yang disebut sebagai سلاما iaitu سالمة atau malam yang selamat dan sejahtera, tiada sebarang keburukan padanya atau ia penuh kebaikan tanpa keburukan.” (Bada’i’ al-Fawa’id 2/67)