SDI 1771: Perbezaan Antara Masjid Nabawi Dan Masjid Quba'

Soalan:

Apakah masjid Nabawi dan masjid Quba’ itu dua masjid yang sama atau yang berbeza? Saya pernah dengar ada ustaz yang kata masjid Quba itu adalah masjid yang pertama sekali dibina di dalam Islam. Mohon penjelasan ustaz.

Jawapan:

Pertama:

Tiada kekeliruan dalam riwayat-riwayat sejarah antara Masjid Quba’ dan Masjid Nabawi sama sekali, bahkan perbezaan antara keduanya adalah jelas. Jarak antara keduanya juga amat ketara, di mana Masjid Quba’ berada di satu tempat dan Masjid Nabawi di tempat yang lain. Keadaan ini tidak mungkin berlaku kekeliruan dalam penulisan sejarah.

Quba’ (قباء) dahulunya adalah sebuah kampung yang terletak di luar Kota Madinah didiami oleh Bani ‘Amru bin ‘Auf (بنو عمرو بن عوف). Ia terletak kira-kira dua batu dari Madinah, bersamaan lebih daripada tiga kilometer.

Al-Yaqut al-Hamawi (ياقوت الحموي) berkata:                

وأصله اسم بئر هناك عرفت القرية بها، وهي مساكن بني عمرو بن عوف من الأنصار... وهي قرية على ميلين من المدينة على يسار القاصد إلى مكة، بها أثر بنيان كثير

"Asalnya adalah nama sebuah telaga di situ, yang kampung itu dikenali dengan telaga tersebut. Ia merupakan tempat tinggal Bani ‘Amru bin ‘Auf daripada golongan Ansar… Ia merupakan sebuah kampung yang terletak dua batu (dua mil) dari Madinah, di sebelah kiri orang yang menuju ke Mekah, dan di situ terdapat banyak kesan binaan." (Mu'jam al-Buldan (4/302).

Kedua:

Ketika Nabi menghampiri Kota Madinah dalam peristiwa Hijrah, Baginda singgah di Quba’ dan tinggal di sana selama empat hari. Baginda membina Masjid Quba’ dan bersolat di dalamnya, kemudian Baginda meneruskan perjalanan ke Madinah dan membina masjidnya di situ, iaitu di tempat unta Baginda berhenti.

Al-Mubarakfuri berkata:

في يوم الاثنين 8 ربيع الأول سنة 14 من النبوة- وهي السنة الأولى من الهجرة- الموافق 23 سبتمبر سنة 622 م نزل رسول الله صلى الله عليه وسلم بقباء . وأقام رسول الله صلى الله عليه وسلم بقباء أربعة أيام: الاثنين والثلاثاء والأربعاء والخميس . وأسس مسجد قباء وصلى فيه ، وهو أول مسجد أسس على التقوى بعد النبوة . فلما كان اليوم الخامس- يوم الجمعة- ركب بأمر الله له، وأبو بكر ردفه، وأرسل إلى بني النجار- أخواله- فجاؤوا متقلدين سيوفهم، فسار نحو المدينة، فأدركته الجمعة في بني سالم بن عوف، فجمع بهم في المسجد الذي في بطن الوادي، وكانوا مائة رجل . وبعد الجمعة دخل النبي صلى الله عليه وسلم المدينة- ومن ذلك اليوم سميت بلدة يثرب بمدينة الرسول صلى الله عليه وسلم، ويعبر عنها بالمدينة مختصرا- وكان يوما تاريخيا أغر . وسارت الناقة حتى وصلت إلى موضع المسجد النبوي اليوم فبركت، ولم ينزل عنها حتى نهضت وسارت قليلا، ثم التفتت ورجعت فبركت في موضعها الأول، فنزل عنها، وذلك في بني النجار- أخواله- صلى الله عليه وسلم

"Pada hari Isnin, 8 Rabi‘ul Awwal tahun ke-14 kenabian – iaitu tahun pertama hijrah – bersamaan 23 September tahun 622 Masihi, Rasulullah tiba di Quba’. Baginda tinggal di Quba’ selama empat hari: Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis. Baginda membina Masjid Quba’ dan bersolat di dalamnya. Ia adalah masjid pertama yang dibina atas dasar takwa selepas kenabian baginda. Pada hari kelima (iaitu) hari Jumaat, Baginda menaiki tunggangan atas perintah Allah, dan Abu Bakar membonceng di belakang baginda. Baginda menghantar utusan kepada Bani Najjar – iaitu kaum kerabat ibunya – lalu mereka datang dengan pedang disendengkan di bahu-bahu mereka. Maka Baginda bergerak menuju ke Madinah, dan Baginda tiba pada hari Jumaat di kawasan Bani Salim bin ‘Auf. Baginda mendirikan solat Jumaat bersama mereka di masjid yang terletak di tengah lembah, dan mereka berjumlah seratus orang. Selepas solat Jumaat, Nabi masuk ke Kota Madinah – dan sejak hari itu, tempat yang dahulu dikenali sebagai Yathrib dinamakan sebagai Madinah Rasul , dan diringkaskan sebagai al-Madinah – dan ia merupakan satu hari yang bersejarah yang gilang-gemilang. Unta Baginda terus berjalan hingga sampai ke tempat Masjid Nabawi pada hari ini lalu untuk baginda berhenti duduk di situ. Baginda tidak turun daripadanya sehinggalah ia bangkit dan berjalan sedikit, kemudian ia berpaling dan kembali ke tempat yang pertama lalu berhenti semula di situ. Maka Baginda turun daripadanya. Kejadian ini berlaku di kawasan Bani Najjar – kaum kerabat sebelah ibu Baginda ." (ringkasan dari ar-Rahiq al-Makhtum, hlm. 154)

Ketiga:

Tidak ada seorang pun daripada kalangan ulama yang mengatakan bahawa Masjid Quba’ adalah Masjid Rasulullah . Kerana perbezaan antara keduanya adalah maklum, dan hadis-hadis yang mutawatir serta tersebar luas dalam Sunnah menunjukkan bahawa keduanya adalah berbeza.

Cumanya, terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama berkenaan maksud firman Allah Ta‘ala:

لَمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَنْ تَقُومَ فِيهِ

“Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa sejak hari pertama, adalah lebih layak untuk engkau solat di dalamnya” (Surah at-Taubah: 108).

Apakah yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah Masjid Nabawi atau Masjid Quba’? Isu ini terkenal dalam kalangan ulama. Ada yang berpendapat ia merujuk kepada Masjid Quba’, dan ada yang mengatakan ia Masjid Nabawi, manakala sebahagian lagi berpendapat ayat tersebut merangkumi kedua-dua masjid, dan kedua-duanya termasuk dalam maksud ayat. Pendapat terakhir ini telah dipilih oleh Ibn Hajar dan sebahagian ulama lain.

Syaikh al-Islam Ibn Taymiyyah rahimahullah berkata:            

مسجد قباء أسس على التقوى، ومسجده صلى الله عليه وسلم أيضا أسس على التقوى وهو أكمل في ذلك، فلما نزل قوله تعالى: لمسجد أسس على التقوى من أول يوم أحق أن تقوم فيه فيه رجال يحبون أن يتطهروا والله يحب المطهرين [سورة التوبة: 108] بسبب مسجد قباء، تناول اللفظ لمسجد قباء ولمسجده صلى الله عليه وسلم بطريق الأولى

"Masjid Quba’ dibina atas dasar takwa, dan Masjid Nabi juga dibina atas dasar takwa, malah lebih sempurna dalam hal itu. Maka apabila turun firman Allah Ta‘ala: “Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa sejak hari pertama, adalah lebih layak untuk engkau solat di dalamnya. Di dalamnya ada orang-orang yang suka membersihkan diri dan Allah suka kepada orang-orang yang bersuci” (Surah at-Taubah: 108) – ayat ini diturunkan berkaitan dengan Masjid Quba’, tetapi lafaznya turut merangkumi Masjid Nabi adalah lebih utama." (Minhaj as-Sunnah an-Nabawiyyah (4/24) Lihat juga: Majmu’ al-Fatawa (27/406), Zad al-Ma‘ad oleh Ibn al-Qayyim (hlm. 382), dan Fath al-Bari oleh Ibn Hajar (7/245)


Cetak  
Wallahu a'lam