Abdul Muttalib (عبد المطلب), datuk Nabi ﷺ, adalah salah seorang pembesar dan pemimpin Quraisy. Beliau adalah ketua Bani Hasyim dan Bani al-Muttalib, terkenal dengan sifat menjaga janji, seorang yang mulia, dihormati, dan dermawan. Quraisy menamakan beliau “al-Fayyadh الفياض” kerana kemurahannya. Antara anak-anaknya ialah: al-Harith (الْحَارِثُ), al-Zubair (الزُّبَيْرُ), Hajl (حَجْلٌ), Dhirar (ضِرَارٌ), al-Muqawwam (الْمُقَوَّمُ), Abu Lahab (أَبُو لَهَبٍ), al-Abbas (الْعَبَّاسُ), Hamzah (حَمْزَةُ), Abu Talib (أَبُو طَالِبٍ), dan Abdullah (عَبْدُ اللهِ).
Sebelum kelahiran anak-anaknya ini, Abdul Muttalib telah bernazar, jika Allah mengurniakannya sepuluh orang anak lelaki, dia akan menyembelih salah seorang daripada mereka. Apabila Allah mengurniakannya sepuluh orang anak lelaki, beliau membuat undian di antara mereka untuk menentukan siapa yang akan disembelih. Undian itu jatuh kepada Abdullah, anaknya yang bongsu dan paling disayangi. Kemudian beliau membuat undian antara Abdullah dan seratus ekor unta untuk menebusnya. Undian jatuh kepada seratus ekor unta, lalu beliau menyembelih seratus ekor unta tersebut bagi memenuhi nazarnya.
Peristiwa nazar dan tebusan Abdul Muttalib terhadap anaknya Abdullah ini adalah antara peristiwa terkenal sebelum kelahiran Nabi ﷺ. Abdul Muttalib tidak sempat memeluk Islam kerana beliau meninggal dunia ketika Nabi ﷺ berumur lapan tahun.
Peristiwa nazar Abdul Muttalib untuk menyembelih salah seorang anaknya disebut oleh Ibn Hisham dan lainnya dalam al-Sirah al-Nabawiyyah, al-Tabari dalam Tarikh-nya, dan Ibn Abi Shaybah dalam al-Musannaf, daripada Abdullah bin Abbas RA, yang berkata:
كَانَ عَبْدُ الْمُطَّلِبِ بْنُ هَاشِمٍ نَذَرَ إنْ تَوَافَى لَهُ عَشَرَةُ رَهْطٍ أَنْ يَنْحَرَ أَحَدَهُمْ فَلَمَّا تَوَافَى لَهُ عَشَرَةٌ وَأَقْرَعَ بَيْنَهُمْ أَيَّهمْ يَنْحَرُ فَصَارَتْ الْقُرْعَةُ عَلَى عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ وَكَانَ أَحَبَّ النَّاسِ إلَى عَبْدِ الْمُطَّلِبِ فَقَالَ عَبْدُ الْمُطَّلِبِ، اللَّهُمَّ أَهُوَ أَوْ مِائَةٌ مِنْ الْإِبِلِ ثُمَّ أَقْرَعَ بَيْنَهُ وَبَيْنَ مِائَةٍ مِنْ الْإِبِلِ فِي الْجَاهِلِيَّةِ؛ وَصَارَتْ الْقُرْعَةُ عَلَى نَحْرِ مِائَةً مِنْ الْإِبِلِ
“Abdul Muttalib bin Hasyim bernazar jika dia memiliki sepuluh orang anak lelaki (maksudnya jika Allah memberinya sepuluh anak lelaki), dia akan menyembelih salah seorang daripada mereka. Apabila hasratnya itu dipenuhi dan dia memiliki sepuluh orang anak lelaki, beliau membuat undian di antara mereka untuk menentukan siapa yang akan disembelih. Undian jatuh kepada Abdullah bin Abdul Muttalib, (ayahanda Rasulullah ﷺ), yang merupakan anak yang paling disayangi oleh Abdul Muttalib. Lalu Abdul Muttalib berkata: “Ya Allah, dia atau seratus ekor unta?” Kemudian beliau membuat undian antara Abdullah dan unta-unta itu di zaman jahiliyyah. Undian jatuh kepada seratus ekor unta.” (riwayat ini juga di sebut oleh Ibn Taimiyyah dalam Majmu’ al-Fatawa 35/343)
Dalam al-Sirah al-Nabawiyyah karya Ibn Kathir disebut:
ثُمَّ أَشَارَتْ قُرَيْشٌ عَلَى عَبْدِ الْمُطَّلِبِ أَنْ يَذْهَبَ إِلَى الْحِجَازِ فَإِنَّ بِهَا عَرَّافَةً لَهَا تَابِعٌ، فَيَسْأَلُهَا عَنْ ذَلِكَ، ثُمَّ أَنْتَ عَلَى رَأْسِ أَمْرِكَ، إِنْ أَمَرَتْكَ بِذَبْحِهِ فَاذْبَحْهُ، وَإِنْ أَمَرَتْكَ بِأَمْرٍ لَكَ وَلَهُ فِيهِ مَخْرَجٌ قَبِلْتَهُ. فَانْطَلَقُوا حَتَّى أَتَوُا الْمَدِينَةَ فَوَجَدُوا الْعَرَّافَةَ وَهِيَ سَجَاحُ، فِيمَا ذَكَرَهُ يُونُسُ بْنُ بُكَيْرٍ عَنِ ابْنِ إِسْحَاقَ، بِخَيْبَرَ، فَرَكِبُوا حَتَّى جَاءُوهَا فَسَأَلُوهَا وَقَصَّ عَلَيْهَا عَبْدُ الْمُطَّلِبِ خَبَرَهُ وَخَبَرَ ابْنِهِ، فَقَالَتْ لَهُمُ: ارْجِعُوا عَنِّي الْيَوْمَ حَتَّى يَأْتِيَنِي تَابِعِي فَأَسْأَلُهُ. فَرَجَعُوا مِنْ عِنْدِهَا، فَلَمَّا خَرَجُوا قَامَ عَبْدُ الْمُطَّلِبِ يَدْعُو اللَّهَ، ثُمَّ غَدَوْا عَلَيْهَا فَقَالَتْ لَهُمْ قَدْ جَاءَنِي الْخَبَرُ، كَمِ الدِّيَةُ فِيكُمْ؟ قَالُوا: عَشْرٌ مِنَ الْإِبِلِ. وَكَانَتْ كَذَلِكَ. قَالَتْ: فَارْجِعُوا إِلَى بِلَادِكُمْ ثُمَّ قَرِّبُوا صَاحِبَكُمْ وَقَرِّبُوا عَشْرًا مِنَ الْإِبِلِ. ثُمَّ اضْرِبُوا عَلَيْهَا وَعَلَيْهِ بِالْقِدَاحِ فَإِنْ خَرَجَتْ عَلَى صَاحِبِكُمْ فَزِيدُوا مِنَ الْإِبِلِ حَتَّى يَرْضَى رَبُّكُمْ، وَإِنْ خَرَجَتْ عَلَى الْإِبِلِ فَانْحَرُوهَا عَنْهُ فَقَدْ رَضِيَ رَبُّكُمْ وَنَجَا صَاحِبُكُمْ. فَخَرَجُوا حَتَّى قَدِمُوا مَكَّةَ، فَلَمَّا أَجْمَعُوا عَلَى ذَلِكَ الْأَمْرِ قَامَ عَبْدُ الْمُطَّلِبِ يَدْعُو اللَّهَ، ثُمَّ قَرَّبُوا عَبْدَ اللَّهِ وَعَشْرًا مِنَ الْإِبِلِ، ثُمَّ ضَرَبُوا، فَخَرَجَ الْقِدْحُ عَلَى عَبْدِ اللَّهِ، فَزَادُوا عَشْرًا ثُمَّ ضَرَبُوا، فَخَرَجَ الْقِدْحُ عَلَى عَبْدِ اللَّهِ، فَزَادُوا عَشْرًا فَلم يزَالُوا يزِيدُونَ عَشْرًا وَيَخْرُجُ الْقِدْحُ عَلَى عَبْدِ اللَّهِ حَتَّى بَلَغَتِ الْإِبِلُ مِائَةً، ثُمَّ ضَرَبُوا فَخَرَجَ الْقِدْحُ على الابل
“Kemudian Quraisy mencadangkan kepada Abdul Muttalib supaya pergi ke Hijaz kerana di sana terdapat seorang perempuan ahli nujum yang mempunyai jin pendamping, untuk bertanyakan hal itu. Jika dia memerintahkan agar Abdullah disembelih, maka lakukanlah, jika dia memberi cadangan lain yang ada jalan keluar, maka terimalah. Mereka pun berangkat sehingga sampai di Madinah, lalu mereka mendapati ahli nujum itu berada di Khaybar, maka mereka menuju kepadanya. Abdul Muttalib menceritakan kisahnya dan kisah anaknya. Perempuan itu berkata: “Pulanglah dahulu hari ini sehingga jin pendampingku datang kepadaku, lalu aku akan bertanya kepadanya.” Mereka pun pulang. Setelah itu, Abdul Muttalib berdoa kepada Allah. Keesokan paginya mereka datang kembali, lalu wanita ahli nujum itu berkata: “Telah datang berita kepadaku. Berapakah kadar diyat di sisi kamu?” Mereka menjawab: “Sepuluh ekor unta, dan memang itulah kadarnya.” Perempuan itu berkata: “Kembalilah ke negeri kamu, kemudian dekatkan anak kamu dan sepuluh ekor unta, lalu buat undian antara dia dan unta itu. Jika undian jatuh kepada anak kamu, tambahkanlah unta sehingga Tuhan kamu reda. Jika undian jatuh kepada unta, maka sembelihlah unta itu dan anak kamu selamat.” Mereka pun kembali ke Makkah dan melaksanakan perkara tersebut. Undian dibuat dan jatuh kepada Abdullah, lalu mereka menambah sepuluh ekor unta, namun undian masih jatuh kepada Abdullah. Mereka terus menambah sepuluh ekor demi sepuluh ekor, sedangkan undian masih jatuh kepada Abdullah, sehingga jumlahnya menjadi seratus ekor unta. Setelah itu, undian dibuat dan jatuh kepada unta-unta tersebut.”
Ibn Hajar dalam al-Isabah 2/97-98 berkata:
قال موسى بن عقبة عن أبي حبيبة مولى الزبير: سمعت حكيم بن حزام يقول: وُلِدْتُ قبل الفيل بثلاث عشرة سنة وأنا أعقل، حين أراد عبد المطلب أن يذبح عبد الله ابنه
“Musa bin Uqbah meriwayatkan daripada Abu Habibah, mawla al-Zubair: Aku mendengar Hakim bin Hizam berkata: “Aku dilahirkan tiga belas tahun sebelum peristiwa gajah, dan aku sudah berakal ketika Abdul Muttalib mahu menyembelih anaknya Abdullah.”
Aku Anak Kepada Dua Orang Yang Hampir Disembelih
Diriwayatkan daripada Mu‘awiyah bin Abi Sufyan RA bahawa Nabi ﷺ bersabda:
أنا ابْنُ الذَّبِيْحَيْن
“Aku adalah anak kepada dua orang yang hampir disembelih.”
Hadis ini diriwayatkan oleh al-Hakim. Al-Albani dalam al-Silsilah al-Da‘ifah berkata: “Tidak ada asalnya dengan lafaz ini.” Demikian juga kebanyakan ulama menilai riwayat ini sebagai lemah.
Dimaksudkan dengan “dua orang yang hampir disembelih” ialah: Nabi Ismail AS, datuk Nabi ﷺ, yang kisah penebusannya disebut dalam al-Quran pada firman Allah Ta‘ala: {وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ}, maksudnya: “Dan Kami tebus dia (Ismail AS) dengan seekor sembelihan yang besar.” (al-Saffat: 107).
Manakala yang kedua ialah Abdullah, ayah Nabi ﷺ, yang ditebus oleh ayahnya, Abdul Muttalib dengan seratus ekor unta.
Ibn Baz berkata:
أنا ابن الذبيحين: هذا ما روي عنه صلى الله عليه وسلم، وفي صحته نظر، لكنه مشهور، والذبيحان هما إسماعيل وعبد الله، إسماعيل جده ابن إبراهيم عليه الصلاة والسلام، فإن الله جل وعلا أمر إبراهيم بذبحه، ثم نسخ ذلك والحمد لله، لما سلَّما لأمر الله نسخ الله ذلك وفداه بذبح عظيم، وأما عبد الله، فالمشهور أن عبد المطلب نذر إذا وهبه الله عشرة أبناء أن يتقرب إلى الله بذبح أحدهم، فتمَّ له ما رجا وأعطاه العشرة، فأقرع بينهم أيهم يذبحه، فوقعت القرعة على عبد الله، فلم يذبحه وفداه بمائة من الإبل بدلاً من ذبحه
“Aku anak kepada dua orang yang hampir disembelih.” adalah riwayat yang disandarkan kepada Nabi ﷺ, namun kesahihannya dipertikaikan, tetapi ia masyhur. Dua orang yang hampir disembelih itu ialah Ismail dan Abdullah. Ismail ialah moyang baginda, anak kepada Ibrahim AS, yang diperintahkan oleh Allah untuk disembelih, kemudian perintah itu dimansukhkan ketika mereka berdua patuh kepada perintah Allah. Allah menebusnya dengan sembelihan yang besar. Adapun Abdullah, maka yang masyhur bahawa Abdul Muttalib bernazar jika Allah memberinya sepuluh anak lelaki, dia akan mendekatkan diri kepada Allah dengan menyembelih salah seorang daripada mereka. Nazar itu berlaku, undian jatuh kepada Abdullah, tetapi dia tidak disembelih, sebaliknya ditebus dengan seratus ekor unta.” (نور على الدرب: معنى قوله صلى الله عليه وسلم: أنا ابن الذبيحين)
Peristiwa nazar Abdul Muttalib untuk menyembelih salah seorang anaknya, kemudian menebusnya dengan seratus ekor unta, menunjukkan bahawa Allah memelihara Abdullah daripada dibunuh. Abdullah membesar dan kemudiannya berkahwin dengan Aminah binti Wahb (آمنة بنت وهب), yang kemudiannya mengandungkan Rasulullah ﷺ.
Buku-buku sirah juga menceritakan bagaimana Abdul Muttalib mengambil berat terhadap Nabi ﷺ sejak kelahiran baginda, terutama selepas kematian ibunya, Aminah. Antaranya, sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Ya‘la dengan sanad hasan, bahawa suatu ketika Abdul Muttalib mengutus nabi Muhammad untuk mencari untanya yang hilang. Baginda pulang agak lewat sehingga Abdul Muttalib sangat sedih. Apabila Nabi Muhammad kembali membawa pulang unta yang hilang itu, Abdul Muttalib bersumpah untuk tidak lagi mengutus baginda bagi sebarang urusan dan tidak akan berpisah dengan baginda lagi.
Dalam al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisham disebut:
وكان يوضع لعبد المطلب فراش في ظل الكعبة، فكان بنوه يجلسون حول فراشه ذلك حتى يخرج إليه، لا يجلس عليه أحد من بنيه إجلالاً له. فكان رسول الله صلى الله عليه وسلم يأتي وهو غلام جفر (شديد قوي) حتى يجلس عليه، فيأخذه أعمامه ليؤخروه عنه، فيقول عبد المطلب ـ إذا رأي ذلك منهم ـ: دعوا ابني، فوالله إن له لشأناً، ثم يجلسه معه على الفراش، ويمسح ظهره بيده ويسره ما يراه يصنع
“Abdul Muttalib memiliki hamparan di bawah naungan Kaabah. Anak-anaknya akan duduk di sekeliling hamparan itu sehingga beliau datang. Tiada seorang pun daripada anak-anaknya duduk di atas hamparan itu kerana menghormatinya. Rasulullah ﷺ, ketika masih kecil, datang dan duduk di atas hamparan tersebut. Bapa-bapa saudara baginda cuba menghalang, tetapi Abdul Muttalib berkata: “Biarkan anakku ini, demi Allah, dia mempunyai kedudukan yang besar.” Lalu beliau mendudukkan baginda bersama di atas hamparan, mengusap belakang baginda dengan tangannya, dan gembira dengan perbuatan baginda yang dilihatnya.”
Abdul Muttalib terus menjaga dan melindungi Nabi ﷺ sehingga saat kematiannya. Ketika itu beliau menyerahkan penjagaan cucunya itu kepada Abu Talib. Abdul Muttalib meninggal dunia ketika Nabi ﷺ berumur lapan tahun.