Di dalam al-Quran Allah SWT berfirman tentang Iblis, maksudnya:
“Dan dia (Iblis) adalah dari kalangan jin. Dan dia mengingkari arahan tuhannya.” (al-Kahf: 50).
Dari ayat ini menunjukkan Iblis bukan dari kalangan Malaikat, sebaliknya ia adalah dari kalangan jin. Al-Imam Ibn Kathir berkata: Allah memperingatkan di sini bahawa iblis adalah dari kalangan jin, iaitulah dia diciptakan dari api seperti dalam firmanNya:
“(Iblis berkata) Aku lebih baik daripadanya (Adam). Engkau ciptakan aku daripada api, sedangkan Engkau menciptakannya dari tanah.” (al-A’raf: 12)
Kata al-Hasan al-Basri: “Bukanlah Iblis itu dari kalangan malaikat sama sekali. Sebaliknya dia adalah asal kepada Jin, sepertimana Adam adalah asal kepada manusia.”
Kata Ibn Kathir: “Ibn Jarir meriwayatkan riwayat ini dengan sanad yang sahih.” Setelah itu Ibn Kathir menyertakan juga pandangan lain melalui riwayat yang berbagai dalam menerangkan siapakah iblis sebenarnya. Ada yang berpandangan ia adalah satu kaum dari kalangan malaikat yang digelar dengan jin. Ada juga yang berkata iblis adalah dari kalangan malaikat yang paling mulia, seterusnya menjadikan timbul rasa takabbur di dalam dirinya yang menggerakkan dia engkar terhadap arahan tuhannya untuk sujud kepada Adam dan terdapat pandangan yang lain juga.
Setelah itu al-Imam Ibn Kathir berkata terhadap riwayat yang berbagai ini: “Dan telah diriwayatkan dalam persoalan ini athar yang banyak daripada salaf (generasi awal), dan kebanyakannya adalah bersumberkan al-Israiliyyat Yahudi dan Kristian), yang dinukilkan bagi tujuan pemerhatian. Wallahu a’lam.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim)