Di awal surah al-A’raf iaitulah bermula ayat 11 Allah SWT menceritakan kisah Nabi Adam dan perkara-perkara yang berkaitan. Setelah itu Allah menceritakan kisah para Nabi AS. Lalu dimulakan dengan Nuh kerana baginda merupakan rasul yang pertama (berdasarkan pandangan sebahagian ulama) diutuskan kepada penduduk bumi setelah Nabi Adam AS.
Nama baginda ialah: Nuh bin Lamik bin Mutawasylih bin Khanukh (نُوحُ بْنُ لَامِكَ بْنِ مُتَوَشْلِحَ بْنِ خَنُوخَ). Khanukh adalah nama lain bagi Nabi Idris seperti yang dinyatakan oleh para ulama. Nabi Idris adalah orang pertama yang menulis dengan pena, bapa baginda Bard bin Muhalyil bin Qanin bin Yanish bin Syith bin Adam ( بَرْدَ بْنِ مُهَلْيِلِ بْنِ قَنِينَ بْنِ يَانِشَ بْنِ شِيثَ بْنِ آدَمَ) seperti yang dinyatakan oleh Muhammad bin Ishak dan lainnya dari kalangan para ulama Nasab.
Abdullah bin ‘Abbas dan ramai dari kalangan ulama tafsir berkata kaum nabi Nuh adalah yang pertama menyembah berhala. Ia terjadi apabila orang-orang saleh (baik) dalam kalangan mereka meninggal dunia, mereka binakan di atasnya (kubur) masjid-masjid dan mereka membuat gambar orang-orang saleh tersebut bagi tujuan mengingati keadaan dan ibadat orang-orang saleh agar mereka dapat mencontohinya.
Apabila berlalu masa yang panjang, gambar itu dibuat patung. Apabila berlalunya beberapa zaman, akhirnya patung itu disembah dan diberi nama mengikut nama orang-orang saleh tersebut, antaranya Waddan, Suwa’an, Yaghuth, Ya’uuq dan Nasra (وَدًّا وَسُوَاعًا وَيَغُوثَ وَيَعُوقَ وَنَسْرَا). Apabila kesyirikan ini tersebar, maka Allah SWT mengutuskan Nabi Nuh mengarahkan mereka semua supaya kembali mentauhidkan Allah SWT. (Lihat Tafsir Ibn Kathir)