Oleh: Mohamad Abdul Kadir bin Sahak
Pegawai Jabatan Mufti Negeri Perlis
Sebuah kisah yang masyhur, tersebar dalam kalangan masyarakat. Namun ia adalah sebuah kisah palsu. Lebih menyedihkan apabila kisah palsu tersebut terpalit dengan satu susuk tubuh mulia Sayyidina ‘Umar bin al-Khattab Radhiyallah ‘anh, sahabat karib Nabi SAW, Khalifah Kedua umat Islam setelah kewafatan baginda SAW, menggantikan Sayyidina Abu Bakr al-Siddiq RA. Kisah palsu tersebut bermula dengan menyatakan:
“Pernah seorang wanita bertemu keluarga ‘Umar atau datang ke rumah ‘Umar bersama seorang bayi. Lalu ‘Umar bertanya kepadanya: “Siapakah ayah bayi ini?” wanita itu menjawab: “Ayahnya ialah anakmu.” Iaitulah Abu Syahmah, anak Sayyidina ‘Umar. Lalu Sayyidina ‘Umar mengutus seseorang bagi mendapatkan kepastian dan ternyatakan Abu Syahmah mengakui keterlanjurannya. Kata Sayyidina ‘Umar: “Mudah-mudahan Allah meredhai beliau, laksanakan hukuman sebat ke atasnya.” Lalu Umar sendiri melaksanakan sebatan tersebut. Ketika sempurna 50 kali sebatan, Abu Syahmah berkata kepada ayahnya Umar: “Wahai bapa! Apakah engkau mahu membunuhku.” Jawab Umar kepada anaknya: “Jika kamu bertemu dengan tuhanmu setelah mati, khabarkan kepada tuhanmu yang bapamu melaksanakan hudud (ke atas anaknya sehingga meninggal dunia).”
Dalam riwayat lain dinyatakan:
“Suatu hari ketika orang ramai berada dalam majlis bersama Ibn ‘Abbas RA, mereka saling menyebut-nyebut kelebihan para sahabat Nabi SAW. Mereka menyebut kelebihan Abu Bakar kemudian kelebihan ‘Umar bin al-Khattab. Ketika Abdullah bin Abbas mendengar nama Umar bin al-Khattab disebut beliau tiba-tiba mengangis dengan tangisan yang bersungguh sehingga jatuh pengsan. Setelah tersedar dari pengsannya beliau berkata: “Semoga Allah merahmati seorang lelaki yang tidak takutkan celaan orang yang mencela kerana Allah. Semoga Allah merahmati seorang lelaki yang membaca al-Quran, beramal dengannya dan melaksanakan hudud Allah (ketetapan hukum Allah) seperti yang diperintahkan. Tidak menghalang dia melaksanakan perintah Allah disebabkan hubungan keluarga yang dekat, tidak menjadikan dia hanya menghukum orang-orang yang jauh (dari hubungan keluarga). Setelah itu beliau berkata: “Demi Allah, aku pernah melihat Umar melaksanakan hukuman had terhadap anaknya sendiri sehingga mati anaknya.” Setelah itu Ibn Abbas menangis dan menangislah orang ramai yang berada di sekelilingnya. Orang ramai berkata: “Wahai sepupu Rasulullah SAW, bolehkah engkau ceritakan kepada kami bagaimana boleh terjadi peristiwa umar melaksanakan hukuman had kepada anaknya tersebut?” jawab Ibn Abbas: “Demi Allah sesungguhnya kamu semua telah kembali mengingatkan aku akan satu perkara yang sebelum ini aku telahpun melupakannya. Wahai sekelian manusia. Suatu hari aku berada di masjid Rasulullah SAW, ketika itu Umar bin al-Khattab sedang duduk dan orang ramai berada di sekitarnya. Umar memberi peringatan dan menjatuhkan hukuman terhadap pertikaian yang ada di kalangan orang ramai. Tiba-tiba masuk seorang wanita dari salah satu pintu masjid menuju ke hadapan melangkah bahu para sahabat Muhajirin dan Ansar sehingga dia sampai kepada Umar seraya berkata: “Assalamu ‘alaika wahai Amir al-Mukminin warahmatullah wabarakatuh.” Umar menjawab: “Wa’alaiki al-Salam wahai Amatallah (Hamba Allah). Apakah kamu ada sesuatu hajat?” Jawab wanita tersebut: “Ya, hajat yang paling besar darimu. Ambillah anakmu ini, engkau lebih berhak terhadapnya daripada aku.” Lalu wanita itu menyingkap kain yang menutupnya, rupa-rupanya di tangannya terdapat seorang bayi. Apabila Umar melihat bayi tersebut, beliau berkata: “Wahai Amatallah (Wahai hamba wanita Allah) singkapkan mukamu.” Lalu wanita itu membuka kain menutup mukanya. Apabila Umar melihatnya beliau berkata: “La hawla wala quwwata illla billah al-Aliy al-Azim. Wahai wanita aku tidak mengenalimu, bagimana mungkin bayi ini boleh menjadi anakku?” menangislah wanita tersebut sehingga air matanya membasahi penutup mukanya, kemudian berkata: “Wahai Amirul mukminin! Jikapun bukan bayi ini anak darimu, ia adalah anak dari anakmu (cucumu).” Kata Umar: Anak ku yang mana satu?” Wanita itu menjawab: “Abu Syahmah.” Umar bertanya: “Apakah bayi ini diperolehi dengan jalan yang halal atau jalan yang haram?” Jawab wanita itu: “Dariku halal, manakala darinya adalah haram.” Umar bertanya lagi: “Bagaimana perkara itu boleh berlaku?” Wanita itu menjawab: “Wahai Amirul mukminin, dengarlah ceritaku. Demi Allah, aku tidak menambah atau mengurangkannya walau satu huruf.” Umar berkata kepada wanita tersebut: “Bertaqwalah kamu kepada Allah. Jangan kamu berkata-kata melainkan kebenaran sahaja.” Kemudian wanita itu bercerita: “Wahai Amirul Mukminin, pada suatu hari, ketika aku berjalan bagi memenuhi salah satu hajatku di tebing kebun milik Bani al-Najjar, tiba-tiba ada suatu teriakan dari arah belakangku, suara itu adalah suara teriakan anakmu Abu Syahmah, berliau berjalan terhoyong-hayang kemabukan. Dia telah meminum arak di salah sebuah kebun Yahudi. Apabila dia hampir denganku, dia berjanji, merayu dan memujuk berkehendakkan diriku, lalu menarikku ke dalam kebun, aku terjatuh dari tebingnya dan pengsan. Demi Allah aku tidak menyedari apa-apa melainkan setelah dia memperolehi dariku apa-apa yang diperolehi oleh seorang lelaki dari isterinya. Setelah itu aku bergegas bangun dan aku sembunyikan perkara itu dari pengetahuan bapa saudara dan jiran tetanggaku. Apabila sempurna tempoh kehamilanku, setelah aku berasa sakit hendak bersalin. Aku pergi ke tempat sekian dan sekian. Lalu aku melahirkan bayi ini. Aku hendak membunuhnya, setelah itu aku menyesal. Oleh itu hukumlah dengan hukuman Allah antara aku dengan dia (Abu Syahmah).” Kata Ibn Abbas: “Umar memerintahkan tukang seruan untuk memanggil orang ramai. Lalu orang ramaipun datang ke masjid. Setelah itu Umar bangun berdiri dan berkata: “Wahai sekelian Muhajirin dan Ansar, jangan kamu semua beredar sehinggalah aku datang semula.” Setelah itu Umar keluar dari masjid dan aku bersama dengannya. Beliau melihatku seraya berkata: “Wahai Ibn Abbas, cepat bersamaku.” Umar berjalan cepat hingga sampai ke rumahnya, lalu mengetuk pintu. Keluarlah seorang wanita khadamnya. Apabila wanita itu melihat wajah Umar yang dikuasai kemarahan, dia berkata: “Apa yang berlaku kepada engkau?” Umar menjawab: “Wahai wanita, anakku Abu Syahmah ada di sini?” Jawab wanita itu: “Dia sedang makan.” Lalu Umar masuk ke dalam rumah dan berkata kepada Abu SYahmah: “Makanlah wahai anak, sebentar lagi makanan ini akan menjadi bekalan terakhir kamu di dunia.” Kata Ibn Abbas: “Aku melihat Abu Syahmah telah berubah air mukanya dan berketar sehingga terjatuh suapan makanan yang berada di tangannya. Lalu Umar bertanya kepadanya: “Wahai anakku! Siapakah aku ini?” Abu Syahmah menjawab: “Engkau bapaku dan Amirul Mukminin.” Kata Umar: “Apakah engkau wajib taat kepadaku atau tidak?” Abu Syahmah menjawab: “Wajib ke atasku dua ketaatan yang fardhu. Pertama engkau bapaku dan kedua engkau Amirul mukminin.” Kata Umar: “Demi kebenaran yang dibawa oleh Nabimu dan demi kedudukan bapamu, jika aku bertanyakan satu perkara kepadamu, mahukah kamu menceritakannya kepadaku?” Jawab Abu Syahmah: “Wahai bapaku, aku tidak akan berkata-kata melainkan benar.” Umar bertanya: “Pernahkah kau bertamu di kebun Yahudi, lalu kamu meminum arak sehingga mabuk?” Jawab Abu Syahmah: “Wahai bapaku, perkara itu telah berlaku dan aku juga telah bertaubat.” Kata Umar: “Wahai anakku, harta yang paling utama bagi orang-orang yang berdosa ialah mengaku bertaubat.” Setelah itu beliau berkata: “Wahai anakku. Aku bersumpah dengan Allah, pada hari tersebut apakah kamu ada masuk ke dalam kebun Bani al-Najjar, lalu kamu mendapati seorang wanita dan kamu merogolnya?” Abu Syahmah diam tidak berkata apa-apa, seterusnya menangis dan memukul-mukul wajahnya. Umar berkata kepadanya: “Tidak mengapa, berlaku benarlah, sesungguhnya Allah sayangkan orang-orang yang benar.” Kata Abu Sayahmah: “Wahai bapa! Perkara itu telah berlaku, syaitan telah berjaya menggodaku, aku sekarang seorang yang bertaubat dan menyesal.” Apabila Umar mendengar pengakuan itu dari Abu Syahmah beliau segera memegang tangannya, mencekak bajunya dan menariknya ke masjid. Kata Abu Syahmah: “Wahai bapaku, jangan engkau memalukan aku di hadapan orang ramai, ambillah pedang dan potonglah badanku bahagian demi bahagian.” Jawab Umar: “Apakah kamu tidak mendengar firman Allah SAW: “Dan hendaklah menyaksikan hukuman yang dikenakan ke atas mereka berdua (pasangan yang berzina) sekumpulan dari kalangan orang yang beriman.” Kemudian Umar menarik Abu Syahmah sehingga berada di hadapan para sahabat Nabi SAW di dalam masjid seraya berkata: “Benar wanita itu dan Abu Syahmah telah mengakuinya.” Umar memiliki seorang hamba sahaya bernama Aflah. Kata Umar: “Wahai Aflah, aku ada hajat denganmu. Jika kamu melaksanakannya, maka kamu aku merdekakan kerana Allah.” Kata Aflah: “Wahai Amirul Mukminin, perintahkanlah kepadaku.” Kata Umar: “Ambil anakku ini, laksanakan sebatan ke atasnya 100 kali, jangan kamu kurangkan pukulan ke atasnya.” Jawab Aflah: “Aku tidak dapat melaksanakannya.” Aflah menangis sambil berkata: “Alangkah baik jika aku tidak dilahirkan oleh ibuku, untuk aku menyebat tuanku sendiri.” Umar berkata: “Sesungguhnya taat kepadaku adalah ketaatan kepada Rasul jua. Laksanakanlah arahanku kepadamu.” Lalu Umar menarik baju Aflah sehingga menyebabkan orang ramai menangis teresak-esak. Abu Syahmah menunjukkan jarinya kepada Umar seraya berkata: “Wahai bapaku, kesihanilah daku.” Umar menjawab: “Tuhanmu akan mengasihanimu.sesungguhnya Tuhan amat mengasihaniku dan kamu.” Kemudian Umar berkata: “Wahai Aflah! Laksanakan sebatan.” Maka Aflah melaksanakan pukulan pertama. Kata Abu Syahmah: “Dengan nama Allah yang maha pengasih dan penyayang.” Kata Umar: “Sebaik-baik nama ialah nama yang engkau sebut itu wahai anakku.” Ketika Aflah melakukan sebatan kedua. Abu Syahmah berteriak: “Aduh..” Kata Umar: “Bersabarlah, sepertimana kamu telah melakukan maksiat tersebut.” ketika dipukul kali ketiga, beliau berkata: “Keamanan.” Berkata Umar: “Tuhanmu akan mengurniakan kepadamu keamanan.” Ketika sebatan keempat, Abu Syahmah berkata: “Mohon bantuan!!!” Umar menjawab: “Bantuan ketika keperitan.” Ketika sebatan kesepuluh, beliau berkata: “Wahai bapaku, apakah engkau hendak membunuhku?” Jawab Umar: “Wahai anakku! Dosamulah yang membunuhmu.” Ketika sebatan yang ke 30, beliau berkata: “Demi Allah engkau telah membakar jantung hatiku.” Jawab Umar: “Wahai anakku, neraka itu lebih bersangatan panasnya.” Ketika sebatan yang ke 40, beliau berkata: “Wahai bapaku, tinggalkan aku, supaya aku boleh pergi menurut kehendakku.” Jawab Umar: “Wahai anakku, jika aku mengambil hukum had Allah ini dari poketmu, maka pergilah kemana sahaja yang kamu kehendaki.” Ketika sebatan yang ke 50, beliau berkata: “Wahai bapaku, aku bersumpah dengan al-Quran, dengan apa yang engkau telah menyebabkan aku terbeban.” Jawab Umar: “Wahai anakku, bukankah al-Quran telah memberi pengajaran kepadamu dan melarangmu dari melakukan maksiat kepada Allah? Wahai Aflah, teruskan sebatan.” Ketika sampai sebatan yang ke 60, Abu Syahmah berkata: “Wahai bapaku, bantulah daku.” Umar menjawab: “Wahai anakku, sesungguhnya Ahli neraka apabila meminta tolong, mereka tidak akan diberi pertolongan.” Ketika sampai sebatan yang ke 70, beliau berkata: “Wahai bapaku, berikan aku minum seteguk air.” jawab Umar: “Wahai anakku! Sesungguhnya tuhanmu akan mensucikan kamu dan Nabimu Muhammad SAW akan memberi minum kepadamu yang kamu tidak akan dahaga selama-lamanya. Wahai Aflah teruskan sebatan.” Apabila sampai pada sebatan yang ke 80, Abu Syahmah berkata: “Wahai bapaku, Assalamu ‘alaika.” Jawab Umar: “Wa’alaikassalam, jika kamu bertemu dengan Nabi Muhammad, sampaikan salamku kepada baginda, katakan kepada baginda: “Engkau telah meninggalkan Umar, dia membaca al-Quran dan melaksanakan hudud. Wahai Aflah, teruskan sebatan.” Apabila sampai sebatan yang ke 90, berhenti suara Abu Syahmah dan beliau semakin lemah. Semua para sahabat Rasulullah SAW berdiri dari setiap sudut berkata: “Wahai Umar, lihatlah berapa yang masih berbaki, tangguhkan dahulu ke waktu lain.” Jawab Umar: “Sepertimana kamu (Abu Syahmah) tidak menangguhkan berbuat maksiat, maka demikian juga tidak ditangguhkan hukumannya.” Lalu datang ibu Abu Syahmah berteriak menangis dan berkata: “Wahai Umar, aku akan laksanakan haji berjalan kaki dan bersedekah sekian dan sekian dirham bagi menggantikan sebatan yang berbaki.” Jawab Umar: “Sesungguhnya haji dan sedekah tidak dapat menggantikan hukuman had,” Kata Umar: “Wahai Aflah, sempurnakan sebatan had.” Lalu Aflah menyempurnakan sebatan. Pada sebatan yang terakhir, Abu Syahmah jatuh tersungkur meninggal dunia. Kata Umar: “wahai anakku, semoga Allah membersihkan semua kesalahan-kesalahanmu.” Umar merangkul kepala anaknya ke dalam pangkuannya sambil menangis. Orang ramai datang melihat, ternyatakan Abu Syahmah telah meninggal dunia. Tiada satu hari yang lebih berat dari hari ini. Orang ramai berteriakan. Selepas 40 hari, Huzaifah bin al-Yaman datang bertemu Umar pada pagi hari Jumaat dan berkata: “Aku bermimpi pada malam hari berjumpa Rasululllah SAW. Aku lihat Abu Syahmah bersama dengan baginda, memakai dua helai kain sutera hijau. Rasulullah SAW bersabda: “Sampaikan salamku kepada Umar. Katakan kepadanya: “Demikianlah yang diperintahkan oleh Allah kepadamu supaya kamu membaca al-Quran dan melaksanakan hukum hudud.” Kata Abu Syahmah pula: “sampaikan salamku kepada bapaku, katakan kepadanya: “Allah membersihkan kamu sepertimana kamu telah membersihkan aku.”
Dalam sebahagian riwayat lain dinyatakan:
“Umar memiliki dua orang anak lelaki. Salah seorang bernama Abdullah dan seorang lagi bernama Ubaidillah diberi kuniah dengan Abu Syahmah, beliau seorang yang lebih hampir bacaan al-Qurannya dengan Rasulullah SAW. Suatu hari beliau ditimpa sakit tenat, menjadikan para isteri Nabi SAW pergi menziarahinya. Ketika menziarahinya mereka berkata kepada Umar: “Jika engkau bernazar untuk anakmu ini sepertimana Ali bin Abi Tolib bernazar untuk anaknya Hasan dan Husain sehingga Allah mengurniakan kepada mereka berdua keafiatan.” Umar menjawab: “Aku bernazar jika Allah kurniakan kepada anakku ini keafiatan, aku akan berpuasa 3 hari.” Ibunya juga bernazar seperti itu juga. Apabila Abu Syahmah semakin sembuh, beliau dijemput oleh seorang Yahudi. Yahudi tersebut membawakan nabiz tamar kepada Abu Syahmah. Lalu Abu Syahmah meminum nabiz tersebut. Apabila dia merasa badannya semakin baik dia keluar hendak pulang ke rumah. Beliau masuk ke kebun Bani al-Najjar dan mendapati ada seorang wanita terbaring, lalu beliau menggoda dan merogol wanita tersebut. Ketika dia hendak pergi, wanita itu mecela dan mengoyakkan baju Abu Syahmah dan segera pulang ke rumahnya…” kisah berikutnya adalah adalah seperti di atas.
Kesemua hadis ini adalah palsu. alJauzajaniy di dalam al-Abathil wa al-Manakir wa al-Sihah wa al-Masyahir 2/185, selepas menyebut kisah di atas berkata: "Hadis Rekaan lagi Batil... direka oleh para Qussas (Para penceramah)."
Kata Ibn al-Jauzi dalam kitabnya al-Maudhu'at 3/608:
"Hadis ini Palsu, direka oleh para Qussas (para penceramah), mereka memulakannya, mengulang-ngulangnya, menghuraikannya dan memanjang-manjangkannya."
Dlm kitab yang sama pada halaman 613 pula beliau berkata:
"Hadis ini Palsu, bagaimana sekalipun ia diriwayatkan, dr manapun jalan ia dinukilkan, ia telah direka oleh golongan jahil para qussas bertujuan menjadikan org awam dan para wanita menangis. Mereka (para qussas) telah mereka-reka kisah itu dan membawa setiap perkara jelek ke dlmnya, lalu mereka menisbahkan cerita rekaan mereka kepada 'Umar sesuatu yg tidak layak buat 'Umar, mereka juga telah menisbahkan kpd para sahabat nabi sesuatu yg tidak layak buat mereka. Ungkapan-ungkapan yg ada di dalam kisah itu juga penuh dengan kecacatan yg membuktikan ia adalah kisah palsu, hukum-hakam yg menyeleweng, yg ada di dlm kisah tersebut adalah bukti pereka kisah tersebut buruk kefahamannya, tiada pengetahuannya."
Al-Suyuthi berkata: “Palsu, padanya ramai periwayat yang majhul. Kata Al-Daraqutni: “Hadis Mujahid daripada Ibn Abbas tentang Abu Syahmah bukan hadis Sahih.” Telah diriwayatkan juga dari jalan Abdul Qudus bin al-Hajjaj daripada Safwan daripada Umar. Abdul Quddus adalah seorang pendusta dan pemalsu hadis…” (al-Laali al-Masnu’ah Fi al-Ahadis al-Maudhu’ah - Kitab al-Manaqib – Manaqib Buldan wa al-Ayyam, hadis bilangan 1775)
Jika diselidiki, sememangnya ada kisah 'Umar menghukum sebat anaknya iaitulah Abdul Rahman, anak sulung beliau kerana meminum arak. Kisah tersebut adalah seperti berikut:
Abdul al-Razzaq meriwayatkan di dalam al-Musannaf 9/23 dengan katanya:
"Mengkhabarkan kpd kami Ma'mar, daripada al-Zuhri daripada Salim, daripada Ibn Umar yang berkata:
شرب أخي عبد الرحمن بن عمر ، وشرب معه أبو سروعة عقبة بن الحارث وهما بمصر في خلافة عمر فسكرا ، فلما أصبحا انطلقا إلى عمرو بن العاص، وهو أمير مصر " فقالا : طهرنا فإنا قد سكرنا من شراب شربناه ، فقال عبد الله : فذكر لي أخي أنه سكر فقلت : ادخل الدار أطهرك ، ولم أشعر أنهما أتيا عمرا ، فأخبرني أخي أنه قد أخبر الأمير بذلك ، فقالعبد الله : " لا يحلق القوم على رءوس الناس ادخل الدار أحلقك ، وكانوا إذ ذاك يحلقون مع الحدود فدخل الدار " ، فقال عبد الله : فحلقت أخي بيدي ، ثم جلدهم عمرو فسمع بذلك عمر فكتب إلى عمرو أن ابعث إلي بعبد الرحمن على قتب ففعل ذلك ، فلما قدم على عمر جلده ، وعاقبه لمكانه منه ، ثم أرسله فلبث شهرا صحيحا ، ثم أصابه قدره فمات فيحسب عامة الناس أنما مات من جلد عمر ولم يمت من جلد عمر .
Maksudnya: “Saudaraku 'Abd al-Rahman bin 'Umar telah meminum khamar, telah minum bersamanya ketika itu Abu Sirwa'ah 'Uqbah bin alHarith sehingga mabuk, kedua-dua mereka di Mesir di zaman pemerintahan 'Umar. Apabila pagi hari, mereka berdua pergi bertemu 'Amr bin al-'Ash, gabenor (bagi pihak 'Umar) di Mesir ketika itu. Mereka berdua berkata: "Sucikan kami, kerana kami telahpun mabuk disebabkan air (arak) yang kami minum." Kata 'Abdullah saudaraku (abdul Rahman) sebut kepadaku yang beliau telah mabuk. Aku berkata kepadanya: "Masuklah ke dalam rumah, aku sucikan kamu (kerana kesalahan tersebut), aku tidak menyangka mereka berdua telah mengadu kepada 'Amr. Lalu saudaraku (Abdul Rahman) memberitahu yang mereka berdua telah mengaku melakukan kesalahan itu kepada gabenor (Amr bin al-Ash). Kata Abdullah: "Jangan mereka mencukur di hadapan org ramai, masuk ke dalam rumah, biar aku yang mencukur rambutmu, umat Islam ketika itu akan mencukur rambut bersama hukuman hudud (ke atas pesalah). Lalu beliau masuk ke dalam rumah." Sambung Abdullah: "Lalu aku mencukur rambut saudaraku (Abdul Rahman) dengan tanganku sendiri. Setelah itu 'Amr melaksanakan hukuman sebat (minum khamar) ke atas Abdul Rahman. Hal itu sampai ke pengetahuan 'Umar al-Khattab, lalu 'Umar menulis surat kepad 'Amr untuk dihantar pulang Abdul Rahman kepadanya di atas tunggangan. Lalu dilaksanakan oleh 'Amr. Apabila Abdul Rahman dibawa sampai kepada 'Umar, beliau menyebatnya lagi sebagai hukuman disebabkan kedudukannya (anak kepada khalifah), setelah itu Abdul Rahman dilepaskan. Beliau dalam keadaan sihat sejahtera selama sebulan, setelah itu meninggal dunia. Org ramai mengira beliau meninggal disebabkan sebatan yg dilakukan oleh 'Umar, akan tetapi beliau meninggal dunia bukan disebabkan sebatan 'Umar."
Kisah ini diriwayatkan oleh Ibn Syabbah di dalam Tarikh al-Madinah 3/841, al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra 17/472, al-Khatib al-Baghdadi di dalam Tarikh Baghdad 3/481, al-Jauzajani di dalam al-Abathil wa al-Manakir wa al-Sihah wa al-Masyahir 2/193 dan selain mereka.
Al-Jauzajani berkata: "Hadith ini Thabit, dan Isnadnya bersambung lagi Sahih." Kata Ibn Kathir di dalam Musnad al-Faruq 2/250: "Isnadnya Sahih." Ibn al-Jauzi di dalam kitabnya al-Muntazham Fi Tarikh al-Muluk wa al-Umam 4/185 berkata:
"Dan tidak sepatutnya disangka bahawa Abdul Rahman meminum arak. Sebaliknya beliau hanyalah meminum nabiz dengan takwilan dr beliau sendiri, beliau menyangka nabiz yg diminumnya tidak memabukkan, demikianlah juga Abu Sirwa'ah. Namun apabila air itu memabukkan mereka, maka mereka berdua minta dibersihkan (dr kesalahan mabuk) dengan dilaksanakan hukum had. Sesungguhnya memadai dengan penyesalan sahaja (dgn kesalahan tersebut), akan tetapi mereka berdua marah kpd diri sendiri yg telah berlaku cuai terhadap larangan Allah Taala, lalu mereka menyerahkan diri mereka utk dilaksanakan hukum had. Adapun sebatan ulangan yg dilakukan oleh 'Omar ke atas Abdul Rahman adalah sebatan memberi pengajaran bukan sebatan had."
Ada perbezaan pendapat dalam kalangan ulama tentang pengulangan sebatan yang dilakukan oleh 'Umar ke atas anaknya Abdul Rahman. Namun yang penting Abdul Rahman meninggal dunia bukan disebabkan sebatan had minum arah mahupun berzina. Demikian juga beliau tidak meninggal dunia disebabkan sebatan yang dilakukan oleh 'Umar al-Khattab.
Kata Ibn 'Abd al-Barr di dalam al-Isti'ab 2/842:
"Amr telah menyebat Abdul Rahman di Mesir disebabkan meminum khamar. Kemudian beliau dibawa ke Madinah. Beliau disebat sekali lagi oleh bapanya ('Umar al-Khattab) sebagai sebatan didikan seorang bapa. Setelah itu Abdul Rahman ditimpa sakit dan meninggal dunia selepas sebulan. Demikianlah yang diriwayatkan oleh Ma'mar daripada al-Zuhri daripada Salim daripada bapanya. Adapun penduduk 'Iraq mereka berkata: "Abdul Rahman meninggal dunia di bawah sebatan 'Umar, demikian itu adalah satu kekeliruan."
Kata al-Baihaqi: "Yang lebih menghampiri maksud sebatan 'Omar itu adalah sebatan Ta'zir, ini kerana sebatan hukum Had tidak boleh diulang. Wallahu a'lam."
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata: "Amr menyebat Abdul Rahman secara sembunyi, sedangkan hukuman hudud dilakukan secara terang-terangan. Maka 'Umar bin al-Khattab mengingkari perbuatan 'Amr tersebut, 'Umar tidak mengira sebatan (yang dilakukan oleh 'Amr) itu (sebagai hukum Had), sehinggalah diserahkan Abdul Rahman kepadanya dan sampai di Madinah, lalu 'Umar melaksanakan sebatan secara terang-terangan kerana berpandangan hukuman Had belum gugur dengan perlaksanaan yang pertama. Setelah itu anak beliau terus hidup beberapa tempoh, kemudian jatuh sakit dan meninggal dunia, beliau tidak meninggal dunia disebabkan hukuman Had, tiada juga 'Umar menyebat anaknya sekalipun telah meninggal dunia sepertimana yg didakwa oleh para pendusta." (Majmu' al-Fatawa 15/287. Dengan maksud yang sama juga disebut di dalam Minhaj al-Sunnah 6/36)
Imam Ibn Kathir ada pandangan yang juga menarik berkaitan sebab 'Umar mengulangi sebatan. Beliau berkata: "Adapun 'Umar mengulangi sebatan Had ke atas anaknya, dapat dipikul membawa maksud ia menyempurnakan sebatan menjadi 80 sebatan... dan boleh difahami dari perbuatan 'Umar menyebat kali kedua Abdul Rahman adalah disebabkan Abdul Rahman adalah keluarga beliau. Sesungguhnya pada awal pemerintahan 'Umar, beliau telah nyatakan kepada ahli keluarganya, agar mereka tidak melakukan apa-apa perkara yang ditegah kepada orang ramai, jika tidak akan digandakan hukuman ke atas mereka (ahli keluarga Umar). Inilah yang zahir berdasarkan perkataan Ibn 'Umar sendiri: "apabila Abdul Rahman sampai di Madinah, 'Umar menyebatnya disebabkan kedudukan beliau dengannya (ahli keluarga)."