SDI 0206: Benarkah Nabi Hanya Melaksanakan Haji Sekali?

Soalan: 

assalamualaikum ustaz betulkah nabi buat haji hanya sekali.

Jawapan awal: 

Jika yang dimaksudkan adalah selepas berlaku hijrah, maka jawapannya ialah YA, Baginda hanya melakukan haji sekali. Namun jika dimaksudkan sepanjang umur baginda,. dakwaan itu tidak tepat, kerana ada ulama yang berpandangan baginda telah melaksanakan beberapa kali haji yang dilakukan ketika baginda berada di Mekah.

Jawapan setelah semakan semula (22/04/2021):

Kenyataan yang menyatakan Nabi SAW hanya melaksanakan haji sekali seumur hayat baginda adalah kenyatakan yang tidak berapa tepat. Hal ini berdasarkan telah thabit riwayat yang menunjukkan baginda pernah melakukan haji sebelum peristiwa Haji Wada' yang dilakukan baginda pada tahun ke-9 Hijriyyah. Riwayat tersebut terdapat di dalam Sahih al-Bukhari daripada Jubair bin Mut'im RA (جبير بن مطعم) yang berkata:

كُنْتُ أطْلُبُ بَعِيرًا لي [وفي رواية]: أضْلَلْتُ بَعِيرًا لِي- فَذَهَبْتُ أطْلُبُهُ يَومَ عَرَفَةَ، فَرَأَيْتُ النبيَّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ واقِفًا بعَرَفَةَ، فَقُلتُ: هذا واللَّهِ مِنَ الحُمْسِ، فَما شَأْنُهُ هَاهُنَا؟

Maksudnya: Aku pernah mencari unta milikku - dalam sebahagian riwayat dinyatakan: "aku kehilangan untaku - maka aku pergi mencarinya pada hari 'Arafah (di 'Arafah) dan aku mendapati Nabi SAW berdiri (wuquf) di 'Arafah. Aku berkata: "Orang ini (Nabi Muhammad SAW), demi Allah dari kalangan al-Hums, apa yang dia buat di sini?" 

al-Hums الحمس adalah mereka yang dari keturunan Quraisyh, Kinanah dan Jadilah. Mereka dinamakan sebagai al-Hums kerana kuatnya mereka berpegang dengan agama datuk nenek moyang mereka. Orang-orang Quraisyh beranggapan wuquf haji bagi al-Hums atau golongan yang dianggap mulia seperti mereka bukan di 'Arafah, sebaliknya di Muzdalifah yang termasuk di dalam batas tanah Haram, manakala 'Arafah telah terkeluar dari batas tanah Haram dan Quraisyh beranggapan 'Arafah adalah tempat wuquf bagi golongan selain al-Humus. Namun Nabi SAW melakukan amalan wuquf di 'Arafah menyalahi kebiasaan masyarakat jahiliyyah, menjadikan perbuatan baginda itu dianggap pelik oleh Jubair bin Mut'im. 

Keberadaan baginda SAW di 'Arafah pada hari 'Arafah menunjukkan baginda melakukan haji ketika itu. Haji tersebut besar kemungkinan berlaku sebelum peristiwa hijrah, atau berkemungkinan tak berapa lama selepas hijrah, yang pasti ia berlaku sebelum wada' yang dilakukan baginda pada tahun ke-9 hijriyyah dan Jubair bin Mut'im ketika peristiwa haji wada' telahpun memeluk Islam.


Cetak  
Wallahu a'lam