Soalan:
Assalamualaikum ustaz.. Betul kah ini yg nabi Yusuf kawin den zulaika?
Jawapan:
Pertama: Para ulama berbeza pandangan tentang nama isteri pembesar Mesir yang menggoda Nabi Yusuf. Ada yang mengatakan namanya Ra’iel (راعيل), ada pula yang mengatakan namanya Zulaikha (زليخا). Al-Hafidz Ibn Kahir seperti menyokong Zulaikha itu adalah gelaran atau laqabnya.
Kedua: Tidak terdapat bukti dari al-Quran dan al-Sunnah yang mengiya atau menidakkan kisah yang mendakwa Nabi Yusuf akhirnya berkahwin dengan Zulaikha. Cumanya kisah ini didatangkan antaranya oleh seorang imam yang agung dan rujukan Sirah yang terkenal iaitulah Muhammad bin Ishak RH. Kisah ini juga disebut di dalam kitab-kitab tafsir lain. Muhammad bin Ishak di dalam kitab sirahnya menceritakan, ketika Nabi Yusuf berkata:
“Jadikanlah aku orang yang menjaga perbendaharaan Mesir, sesungguhnya aku adalah seorang yang pandai menjaga dan seorang yang berpengetahuan.” (Yusuf: 55)
Lalu raja Mesir memperkenankan permintaan Nabi Yusuf tersebut, dan beliau melucutkan jawatan Itfir (إطفير) seorang pembesar Mesir atau suami kepada Zulaikha. Seterusnya Ibn Ishak menyebut: “Dan disebut kepadaku, bahawa Itfir, meninggal dunia pada malam tersebut. Setelah itu Raja Mesir bernama al-Rayyan bin al-Walid mengkahwinkan Nabi Yusuf dengan isteri Itfir iaitulah Ra’iel (Zulaikha). Apabila Ra’iel masuk menemui Nabi Yusuf, baginda berkata: “Bukankah ketika ini lebih baik berbanding apa yang kamu kehendaki (dahulunya)?” Kata Ibn Ishak seterusnya: “Lalu orang ramai mendakwa Zulaikhapun menjawab dengan berkata: “Wahai al-Siddiq, jangan engkau mencerca aku, sesungguhnya aku seorang wanita seperti engkau sendiri lihat memiliki rupa dan cantik, akan tetapi suamiku adalah seorang yang tidak mendatangi wanita (tidak dapat menggauli isterinya). Sedang kamu pula seorang yang Allah jadikan memiliki ketampanan dan kehaibahan, lalu menyebabkan daku dikalahkan oleh diriku seperti apa yang telah engkau perhatikan.” (kata Ibn Ishak): “Orang ramai juga mendakwa setelah itu Nabi Yusuf mendapatinya (Zulaikha atau Ra’iel) masih perawan, mereka bersama lalu dikurniakan dua orang anak lelaki iaitulah Ifrathim bin Yusuf (إفراثيم بن يوسف) dan Minsya bin Yusuf (منشا بن يوسف). Dari Ifrathim lahir pula Nun, bapa kepada Yusa’ bin Nun dan Rahmah Isteri Ayyub AS.”
Selain Ibn Ishak, kisah ini juga diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim di dalam al-Tafsir 7/2161, dari jalan Salamah daripada Ibn Ishak. Demikian juga al-Tobari di dalam Jami’ al-Bayan 16/151. Terdapat juga kisah yang seumpama ini dari Zaid bin Aslam seorang Tabi’ie lagi seorang yang mulia, dan dari Wahab bin Munabbih yang terkenal sebagai seorang yang suka mendatangkan riwayat dari Isra’iliyyat (sumber cerita dari Ahli Kitab). Perkara ini dinukilkan oleh al-Suyuthi di dalam al-Durr al-Manthur 4/553. Al-Imam Ibn al-Qayyim berkata:
“Bab ke-27, berkaitan sesiapa yang meninggalkan sesuatu yang dicintainya namun haram, akan dicurahkan kepadanya perkara yang halal atau akan digantikan oleh Allah untuknya suatu yang lebih baik lagi. Tajuk bab ini dan kaedahnya bahawa sesiapa yang meninggalkan sesuatu kerana Allah, maka Allah akan gantikan suatu yang lebih baik kepadanya. Sepertimana Yusuf al-Siddiq AS meninggalkan isteri al-‘Aziz kerana Allah, lalu baginda memilih lebih rela dipenjarakan berbanding melakukan perkara yang keji. Lalu Allah telah menggantikan kepada baginda dengan diberikan kedudukan (penjaga perbendaharaan Mesir) di muka bumi sepertimana yang dikehendakiNya, dan wanita tersebut datang kepada baginda dengan rendah diri dan penuh keinginan untuk menyambungkan hubungan yang halal. Lalu baginda mengahwini wanita tersebut, ketikamana baginda menemuinya, baginda berkata: “Ini adalah lebih baik berbanding apa yang kamu mahukan dahulu.” Perhatikanlah, bagaimana Allah SWT telah membalas untuk baginda dari kesempitan penjara dengan kedudukan tinggi di muka bumi sebagaimana yang dikehendakiNya, dan menghinakan al-‘Aziz (pembesar Mesir yang memenjarakan baginda), dan para wanita lain memperakui baginda bebas dari tuduhan berlaku jahat terhadap isteri pembesar tersebut. Inilah dia sunnahNya Ta’ala ke atas para hambaNya dahulu dan sekarang sehinggalah ke hari kiamat.” (Raudhah al-Muhibbin, halaman: 445)
Sekalipun begitu, perlu diingatkan juga bahawa perkataan Ibn al-Qayyim ini bukanlah membuktikan secara pasti bahawa kisah Nabi Yusuf mengahwini Zulaikha ini suatu yang benar-benar berlaku. Sebaliknya yang lebih terserlah, kisah ini diambil dari Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian). Ini kerana penghikayatan Muhammad bin Ishak yang terdiri dari kisah-kisah sejarah dahulu-kala yang tidak diketahui sanadnya yang bersambung, secara kebiasaannya ia diambil dari Ulama Ahli Kitab. Justeru kisah yang seumpama ini lebih baik diserahkan hakikatnya kepada Allah SWT. Baginda Nabi SAW bersabda:
لَا تُصَدِّقُوا أَهْلَ الْكِتَابِ وَلَا تُكَذِّبُوهُمْ وَقُولُوا آمَنَّا بِالَّذِي أُنْزِلَ إِلَيْنَا وَأُنْزِلَ إِلَيْكُمْ وَإِلَهُنَا وَإِلَهُكُمْ وَاحِدٌ وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ
Maksudnya: “Jangan kamu semua mempercayai Ahl al-Kitab dan jangan juga mendustakan mereka. Katakanlah kami telah beriman dengan apa-apa yang telah diturunkan kepada kami dan apa-apa yang telah diturunkan kepada kamu semua, dan tuhan kami dan kamu semua adalah satu, dan kami semua menyerah diri kepadaNya (Yang Satu Itu).” (HR al-Bukhari)
Kami juga ingin peringatkan bahawa tidak perlu menyibukkan diri dengan kisah-kisah seumpama ini dan mencari-cari perincian yang tiada faedah. Kerana itu Allah SWT tidak memperincikan kisah ini di dalam al-Quran. Sekiranya kisah seumpama ini memiliki faedahnya sudah tentu ia akan diceritakan oleh Allah SWT ataupun melalui lidah Rasulullah SAW. Kerana itu al-Syeikh al-Sa’diy RH di dalam kitab Tafsirnya dipermulaan surah Yusuf berkata:
واعلم أن الله ذكر أنه يقص على رسوله أحسن القصص في هذا الكتاب، ثم ذكر هذه القصة وبسطها، وذكر ما جرى فيها، فعلم بذلك أنها قصة تامة كاملة حسنة، فمن أراد أن يكملها أو يحسنها بما يذكر في الإسرائيليات التي لا يعرف لها سند ولا ناقل وأغلبها كذب، فهو مستدرك على الله، ومكمل لشيء يزعم أنه ناقص، وحسبك بأمر ينتهي إلى هذا الحد قبحاً، فإن تضاعيف هذه السورة قد ملئت في كثير من التفاسير، من الأكاذيب والأمور الشنيعة المناقضة لما قصه الله تعالى بشيء كثير. فعلى العبد أن يفهم عن الله ما قصه، ويدع ما سوى ذلك مما ليس عن النبي صلى الله عليه وسلم ينقل.
Maksudnya: “Dan ketahuilah bahawa Allah SWT telah menyebut bahawa DIA akan menceritakan kepada RasulNya (Muhammad SAW) sebaik-baik kisah di dalam al-Quran. Setelah itu DIA menceritakan kisah Nabi Yusuf dengan panjang lebar. DIA (SWT) menyebut apa yang berlaku. Maka dengan itu dapat diketahui bahawa kisah yang diceritakan olehNya telah sempurna, lengkap dan baik. Maka sesiapa yang menghendaki menyempurnakannya lagi atau memperelokkannya lagi dari cerita-cerita al-Isra’iliyyaat yang tidak diketahui sanad dan siapa yang menceritakannya bahkan kebanyakannya adalah cerita dusta, ini bermakna orang itu hendak melakukan penilaian ke atas Allah, dan menyempurnakan sesuatu yang disangkanya masih ada kekurangan. Cukuplah dengan kejelekan perkara ini, sesungguhnya tambahan-tambahan tentang surah ini (Surah Yusuf) telah dipenuhi dalam kebanyakan kitab tafsir, tambahan-tambahan itu terdiri dari kisah-kisah dusta dan banyak perkara-perkara rekaan/buruk yang bertentangan dengan apa yang diceritakan oleh Allah Taala. Justeru bagi seseorang hamba itu hendaklah dia memahami apa-apa yang diceritakan oleh Allah dan meninggalkan selain dari itu yang terdiri dari apa-apa yang tidak dinukilkan dari Nabi SAW.”