SDI 1455: Seseorang Isteri Di Akhirat Adalah Milik Suami Terakhirnya Ketika Di Dunia

Thursday, July 26, 2012

Soalan:

Assalamualaikum,
Suami saya telah kembali ke Rahmatullah setelah seminggu kami diijabkabulkan. Saya sentiasa memohon doa kehadrat Allah agar kami ditemukan dan disatukan semula sebagai suami isteri di syurga kelak. Saya berdoa agar arwah dapat menjadi satu-satunya suami saya di dunia dan akhirat. Soalan saya:

1) Adakah doa saya ini menjadi satu kesalahan?

2) Adakah benar isteri menjadi milik suaminya yang terakhir? Jika benar, adakah tidak menjadi kesalahan jika saya tidak mahu menikah untuk kali kedua.

Terima kasih

Jawapan:

Terima kasih kepada Puan dengan soalan yang diajukan. Kami memohon kepada Allah SWT agar Puan terus berada dalam keredhaan dan kesabaran, seterusnya mengharapkan balasan pahala dari Allah di atas ujian tersebut. Jawapan dari kami untuk persoalan puan adalah seperti berikut:

1.  Ia berbalik sejauhmana keperluan Puan terhadap perkahwinan itu sendiri. Puan berhak membuat pilihan berdasarkan keperluan puan kepada perkahwinan. Jika puan merasakan tiada keperluan untuk berkahwin, maka puan berhak untuk tidak berkahwin. Apapun, perkahwinan adalah suatu yang amat digalakkan oleh Nabi SAW kerana amat banyak kebaikan darinya, antara kebaikan tersebut ialah untuk memenuhi tuntutan berpasangan, memperolehi zuriat, mengembangkan hubungan kekeluargaan dan seumpamanya.

2.  Berdasarkan pendapat yang lebih kuat, seseorang wanita di akhirat kelak akan menjadi milik suami terakhirnya ketika di dunia sekiranya kedua-dua mereka merupakan ahli Syurga. Puan juga tidak bersalah jika memilih untuk tidak berkahwin kali kedua.

HURAIAN

Terdapat perbezaan pandangan ulama dalam persoalan ini: ‘Apakah Di Akhirat Kelak’ Seseorang Isteri Akan Menjadi Milik Suami Terakhirnya Di Dunia?’ Terdapat tiga pendapat ulama:

i.              Pertama: Jika seseorang wanita pernah berkahwin lebih dari seorang suami, maka ia akan bersama dengan suaminya yang paling baik akhlak bersamanya ketika di dunia. Namun pendapat ini lemah, hal ini kerana ia bersandar kepada sebuah hadis Mungkar yang diriwayatkan daripada Ummu Habibah yang pernah berkata:

يا رسول الله ، المرأة يكون لها الزوجان في الدنيا ، ثم يموتون ويجتمعون في الجنة ، لأيهما تكون ؟ للأول أو للآخر

Mafhumnya: “Wahai Rasulullah, seseorang wanita yang pernah berkahwin dengan dua orang suami ketika di dunia, kemudian kedua-duanya meninggal dunia dan masuk ke dalam syurga, wanita itu menjadi milik suaminya yang mana satu, yang pertama atau yang kedua?” Lalu diriwayatkan baginda menjawab:

لأحسنهما خلقا كان معها يا أم حبيبة ، ذهب حسن الخلق بخير الدنيا والآخرة

Mafhumnya: “Wanita itu menjadi milik suaminya yang lebih baik akhlak bersama dengannya ketika di dunia wahai Ummu Habibah. Orang yang berakhlak baik itu akan membawa bersamanya kebaikan dunia dan akhirat.” (Hadis ini disertakan oleh al-Imam al-Qurtubi di dalam kitabnya al-Tazkirah fi Ahwal al-Mauta wa al-Akhirah)

Seperti yang saya nyatakan di atas, hadis ini termasuk di dalam himpunan hadis-hadis yang Mungkar seperti yang dihukumkan oleh Ibn ‘Adiy, katanya: “Kebanyakan yang diriwayatkan olehnya (salah seorang periwayat hadis ini bernama Ubaid bin Ishak al-‘Attor) sama ada Mungkar al-Isnad ataupun Mungkar al-Matan.” (Sila lihat al-Kamil 5/347). Oleh yang demikian hadis ini tidak boleh dijadikan hujah, maka jadilah pendapat ini suatu yang tidak kukuh.

ii.             Kedua: Dia diberi peluang untuk memilik salah seorang daripada suami-suaminya tersebut.

Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-Munajjid berkata: “Daku tidak dapati bagi sesiapa (di kalangan ulama) yang menyebut pendapat ini memiliki apa-apa dalil.”

iii.            Ketiga: Ia menjadi milik suami terakhirnya ketika di dunia. Dan inilah pendapat yang lebih kuat dalam persoalan ini. Ia disokong dengan hadis yang dimarfu’kan kepada Nabi SAW, iaitulah:

أيما امرأة تُوفي عنها زوجها ، فتزوجت بعده ، فهي لآخر أزواجها

Mafhumnya: “Mana-mana wanita yang kematian suami, setelah itu dia berkahwin lagi, maka wanita itu adalah untuk suaminya yang terakhir (ketika di dunia).” (Dinilah Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’ dan di dalam al-Silsilah al-Sahihah)

Al-Imam al-Tobarani meriwayatkan bahawa Mu’awiyah bin Abi Sufian pernah meminang Ummu al-Darda’ selepas meninggalnya Abu al-Darda’. Lalu pinangan Mu’awiyah itu ditolak dan dijawab oleh Ummu al-Darda’ dengan berkata:

إني سمعت أبا الدرداء يقول سمعت رسول الله  صلى الله عليه وسلم  يقول أيما امرأة توفي عنها زوجها فتزوجت بعده فهي لآخر أزواجها وما كنت لأختارك على أبي الدرداء

Mafhumnya: “Sesungguhnya daku pernah mendengan Abu al-Darda’ berkata yang beliau pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Mana-mana wanita yang kematian suaminya, kemudian wanita itu berkahwin dengan suami yang lain, maka ia menjadi milik suaminya yang terakhir ketika di dunia. Maka aku tidak akan memilih engkau untuk menggantikan tempat Abu al-Darda’.”  Lalu Mu’awiyah menjawab:

فعليك بالصوم فإنه مَحْسَمَة

Mafhumnya: “Jika demikian hendaklah kamu (wahai Ummu al-Darda’) membanyakkan berpuasa, kerana puasa itu menghilangkan keinginan syahwat nikah.”  (al-Mu’jam al-Awsat 3/275)


Cetak  
Wallahu a'lam