Asas menghukum orang Islam sekalipun ahli bid'ah dan sufi bid'ie tak sama dengan menghukum orang kafir

Tazkirah Jumlah paparan: 109
 
Seorang kafir yang sujud kepada berhala tidak ditanya kenapa sujud kepada berhala. Namun seorang yg zahirnya muslim, apabila melakukan perkara yang boleh membawa kepada kekufuran TIDAK BOLEH dihukum kafir semata-sama dengan perbuatannya itu. Kata alSyaukani RH:
 
اعلم أن الحكم على الرجل المسلم بخروجه من دين الإسلام ودخوله في الكفر لا ينبغي لمسلم يؤمن بالله واليوم الآخر أن يقدم عليه إلا ببرهان أوضح من شمس النهار
 
Maksudnya: "Ketahuilah bahawa hukumam ke atas seorang muslim dengan mengatakan dia telah terkeluar dari agama Islam dan menjadi penganut agama kufur, tidak boleh didahulukan ke atas seseorang muslim yang beriman kepada Allah dan hari kiamat melainkan dengan adanya bukti jelas, lebih jelas dari sinar matahari di siang hari."
 
Justeru, seorang yang dikenali sebagai muslim, jika melakukan perbuatan sujud dan di hadapannya terdapat sesuatu, tidak boleh dengan mudah dihukum kafir dengan semata-mata perbuatannya itu, melainkan mestilah perbuatannya itu bersama iktiqad yang kufur. 
 
Asas hukum kufur dikenakan ke atas seorang muslim apabila perbuatannya bersama iktiqad kufur ini ialah berdasarkan firman allah SWT:
 
مَن كَفَرَ بِٱللَّهِ مِنۢ بَعۡدِ إِيمَٰنِهِۦٓ إِلَّا مَنۡ أُكۡرِهَ وَقَلۡبُهُۥ مُطۡمَئِنُّۢ بِٱلۡإِيمَٰنِ وَلَٰكِن مَّن شَرَحَ بِٱلۡكُفۡرِ صَدۡرٗا فَعَلَيۡهِمۡ غَضَبٞ مِّنَ ٱللَّهِ وَلَهُمۡ عَذَابٌ عَظِيمٞ
 
Maksudnya: "Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar." (alNahl: 106) 
 
Ibn Kathir RH mendatangkan riwayat daripada al'Aufi daripada Ibn 'Abbas RA yang mengatakan ayat ini turun sempena peristiwa 'Ammar bin Yasir yang disiksa oleh golongan musyrikin Mekah sehinggalah beliau bersetuju kufur terhadap Nabi SAW. alBaihaqi RH menyebut riwayat dalam perristiwa tersebut 'Ammar bin Yasir mencela Nabi SAW dan memuji sembahan-sembahan musyrikin kerana tidak tahan dengan azab yang dikenakan ke atasnya. 
 
Namun ungkapan kufur yang dilafazkan oleh 'Ammar tidak menjadikan dia terkeluar dari agama Islam dengan nas ayat alQuran ini. Kerana itu seorang muslim jika melakukan perbuatan yang boleh difahami akan menjadikannya kafir dan murtad, tidak boleh dihukum kafir hanya semata-mata perbuatannya itu, kerana mungkin ada sesuatu yang mendorong dia melakukannya dan menghalang kita menjatuhkan hukum kafir terhadapnya, seperti:
 
1) dipaksa.
2) takwilan yang salah lagi sesat.
3) jahil, dan lain-lain.
Cetak
Wallahu a'lam