Lambaian Ramadan

Saturday, July 30, 2011

Kedatangan Ramadan merupakan rahmat daripada Allah SWT yang dikurniakan kepada hamba-hambaNya. Ia merupakan bulan kebaikan, bulan dibanyakkan pahala dan dilipat-gandakan kelebihan berbanding bulan-bulan yang lain. Tujuannya agar sekelian hamba bersegera bergegas merebut dan berusaha mendapatkannya. Nabi SAW bersabda:

إذا دخل رمضان فتحت أبواب الجنة، وغلقت أبواب جهنم، وسلسلت الشياطين

Mafhumnya: “Apabila masuknya Ramadan, dibuka pintu-pintu Syurga, dan ditutup pintu-pintu Neraka, dan dirantainya para Syaitan.” (al-Bukhari dan Muslim) Di dalam hadis yang lain baginda bersabda:

إذا كان أول ليلة من رمضان، صفدت الشياطين ومردة الجن، وغلقت أبواب النيران فلم يفتح منها باب، وينادي منادٍ: يا باغي الخير أقبل، ويا باغي الشر أقصر.. ولله عتقاء من النار وذلك كل ليلة

Mafhumnya: “Apabila malam pertama bulan Ramadan, dirantai para Syaitan dan ketua Jin (Syaitan), ditutup pintu-pintu Neraka, dan tidak dibuka walau satu pintu, diseru pada ketika itu dengan satu seruan: Wahai pencari kebaikan bergembiralah, wahai pencari kejahatan berhentilah, dan bagi Allah ada beberapa orang yang dibebaskan dari Neraka, perkara itu berlaku pada setiap malam (dalam bulan Ramadan).” (Hadis riwayat al-Tirmizi, dinilai Hasan oleh al-Albani)

Oleh yang demikian, apabila tibanya bulan Ramadan Nabi SAW akan memberikan khabar gembira kepada para sahabat baginda dan memberi rangsangan kepada mereka untuk bersungguh-sungguh melakukan amalan soleh. Al-Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA yang berkata: Nabi SAW bersabda:

قد جاءكم شهر رمضان, شهر مبارك, افترض الله عليكم صيامه, يفتح فيه أبواب الجنة, ويغلق فيه أبواب الجحيم, وتغل فيه الشياطين, فيه ليلة خير من ألف شهر, من حُرِمَ خيرها فقد حُرِمْ

Mafhumnya: “Telah datang kepada kamu semua bulan Ramadan, satu bulan yang diberkati, Allah menfardhukan ke atas kamu semua puasa di dalamnya, dibuka pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka, dirantai para syaitan, di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, sesiapa yang dihalang kebaikannya, maka sesungguhnya dia benar-benar dihalang dari kebaikan.” (Hadis Sahih)

Justeru kedatangan Ramadan sepatutnya disambut dengan memperbanyakkan taubat dari kesalahan dan dosa yang dilakukan. Ramadan merupakan bulan untuk memperbanyakkan taubat, jika tidak… bilakah lagi kita akan bertaubat?

Demikian juga bulan Ramadan sepatutnya dipenuhi dengan keazaman untuk meningkatkan kesungguhan beribadah, memperbanyakkan amalan seperti berbuat baik sesama manusia, membanyakkan membaca al-Quran, solat sunat, zikir dan beristighfar kepada Allah SWT. Ramadan juga sepatutnya disambut dengan memperbanyakkan doa kepada Allah supaya ibadah puasa yang dilaksanakan bertepatan seperti yang dikehendaki olehNya.

Bersegeralah kita menyambut Ramadan tahun ini dengan berazam untuk memperolehi kebaikan yang dijanjikan di dalamnya, menyibukkan usaha pada malam dan siang hari untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Jauhilah dari tabiat hanya memikirkan untuk mempelbagaikan jenis makanan dan minuman, membuang masa dan mengabaikan solat. Sesungguhnya setiap Ramadan yang datang dan pergi akan meninggalkan dua kumpulan manusia. Pertama yang beruntung kerana merebut kebaikan yang ada di dalamnya dan Kedua yang terus dalam kerugian yang tidak menghiraukan kedatangannya. Supaya kita termasuk di kalangan kumpulan yang memperoleh keuntungan dengan kehadiran Ramadan. Amin.


Cetak  
Wallahu a'lam