Manusia Itu Lemah Dan Hina

Allah SWT mengeluarkan manusia dari perut ibunya dalam keadaan tidak mengetahui apa-apa, tidak mampu berbuat apa-apa, tidak memiliki apa-apa, tidak mampu memberi atau menahan.

Kemudian, Allah SWT melimpahkan kurnia-Nya kepada manusia yang serba kekurangan tersebut, melimpahkan rahmat kepadanya, mengurniakan kepadanya sebab-sebab kesempurnaan dalam kewujudannya, zahir dan batin. Allah menganugerahkan kepadanya limpahan rahmat-Nya, memberikan pendengaran, penglihatan, dan hati kepadanya, sehingga dia mampu mendapatkan ilmu. Memberi kekuatan kepadanya, sehigga dia dapat bergerak, dapat menguruskan diri, mampu menguasai haiwan untuk dimanfaatkan, ikan di lautan dan burung di udara mampu dimilikinya, haiwan buas mampu dikuasainya, bumi mampu digali dan dibelahkannya, pokok-pokok mampu ditumbangkannya, bangunan² mampu ditinggikan, pandai pula dia membuat helah untuk kepentingan dirinya, apa² keburukan mampu dielakkan dari dirinya... Sehingga dia yang satu ketika pernah berada dalam serba kekurangan dan kefakiran itu menyangka dirinya kini memiliki pemilikan dan segala-galanya. Dia seperti mendakwa dirinya juga memiliki sesuatu selain Allah.

Ketika ini, dia melihat dirinya bukan seperti penglihatannya yang sama ketika kecilnya. Dia lupa, satu ketika dahulu dia adalah bayi yang tidak memiliki apa². Dia hari ini, seperti seorang yang tidak pernah melalui fasa seorang bayi yang serba miskin dan diselubungi kekurangan.

Dia hari ini, sama seperti yang disebut dalam hadis riwayat Ahmad dalam al-Musnad, Daripada Busr bin Jihhash al-Qurasyi (بُسْرِ بْنِ جِحَّاشٍ الْقُرَشِيِّ) yang berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ بَصَقَ يَوْمًا فِي كَفِّهِ فَوَضَعَ عَلَيْهَا أُصْبُعَهُ ثُمَّ قَالَ: «قَالَ اللَّهُ تَعَالَى: بُنَيَّ آدَمَ أَنَّى تُعْجِزُنِي وَقَدْ خَلَقْتُكَ مِنْ مِثْلِ هَذِهِ، حَتَّى إِذَا سَوَّيْتُكَ وَعَدَلْتُكَ وَمَشَيْتَ بَيْنَ بُرْدَيْنِ وَلِلْأَرْضِ مِنْكَ وَئِيدٌ فَجَمَعْتَ وَمَنَعْتَ، حَتَّى إِذَا بَلَغَتِ التَّرَاقِيَ قُلْتَ: أَتَصَدَّقُ وَأَنَّى أَوَانُ الصَّدَقَةِ

Maksudnya: "Satu hari Rasulullah SAW meludah di telapak tangan baginda seterusnya mengisyaratkan dengan jari telunjuk dan berkata: "Allah SWT berfirman: "Wahai anak Adam! Bagaimana mungkin kamu dapat melemahkan Daku? Sesungguhnya Aku telah menciptakan kamu bermula dari seperti air liur ini, sehingga Aku sempurnakan ciptaanmu, kamu berjalan dalam keadaan kagum dengan diri sendiri, kamu berjalan mengeluarkan bunyi hentakan kaki ke bumi, kamu himpun dan tinggalkan mengikut selera mu. Apabila ruh sampai di kerongkong, kamu berkata: "Aku mahu bersedekah?! Telah berlalu waktu untuk bersedekah." (HR Ahmad, Ibn Majah dan al-Hakim, beliau, al-Bushiri dan Ibn Hajar, menilai sanad hadis ini sebagai sahih. Lihat Misbah al-Zujajah dan al-Isabah)


Cetak  
Wallahu a'lam